[ RISALAH HISBAH: BUDAYA COUPLE: APA PERANAN KITA? ]


BUDAYA COUPLE: APA PERANAN KITA?

Budaya berpasangan atau lebih dikenali sebagai ‘couple’ dilihat semakin parah dalam kalangan masyarakat kini. Budaya ini seolah-olah menjadi trend ikutan remaja sebelum mereka mendirikan rumah tangga dan akhirnya dilihat lebih banyak memberi impak yang buruk daripada kebaikan kepada masyarakat kini.

Islam mencegah lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk mengadakan hubungan yang tidak syarie. Dalil yang kuat menentang hubungan ini seperti yang terdapat di dalam surah al-Israk, ayat 32: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk”. Dalam ayat ini, Allah SWT melarang kita untuk mendekati zina, menunjukkan bahawa setiap perbuatan yang menghampiri zina seperti berbual-bual di luar batas kerja, berbalas-balas mesej, bergurau-gurau manja antara berlainan jantina, mendorong kepada haram yang dilarang oleh ayat tadi.

Rasulullah SAW juga bersabda, “Barangsiapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka jangan sesekali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya adalah syaitan”. (HR Ahmad)

Budaya couple ini bukan sahaja melampaui batas dalam syariat Islam, malah turut menjatuhkan maruah seseorang mahasiswa Islam. Kebanyakan mereka juga banyak membazirkan masa dan wang di tempat yang tidak sepatutnya. Lebih malang lagi, wang perbelanjaan pemberian ibu bapa digunakan buat memenuhi kehendak pasangannya, malah masa yang terhad sebagai mahasiswa diisi dengan perbuatan-perbuatan yang ditegah oleh Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, semua pihak harus sedar akan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kita sekarang. Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran, ayat 104 yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang menyeru ke arah kebajikan, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”. Tanggungjawab membanteras gejala tidak sihat ini bukan sahaja terletak di bahu Hisbah BKAWM semata-mata. Nasihat yang berhemah dan teguran yang membina perlu supaya kelompok ini sedar dan bertaubat kepada Allah SWT.

Sebagai mahasiswa al-Azhar, kita seharusnya fokus pada pelajaran dan berusaha untuk menimba ilmu seluas-luasnya di bumi barakah ini. Setiap individu dan masyarakat perlu membudayakan cara hidup yang diajar di dalam agama Islam agar dapat membentuk satu persekitaran yang baik dan solehah.

Hisbah BKAWM menggesa semua pihak sentiasa menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan agar biah solehah di bumi Mesir ini terus terjaga. Jika ingin membina hubungan yang baik, gunalah saluran yang betul, jangan gadaikan maruah kalian ke lembah kemaksiatan. Hargailah setiap masa muda kita dengan perkara yang bermanfaat dan berguna untuk Islam. Semoga kita semua sentiasa berada di bawah pemeliharaan Allah SWT.



Disediakan oleh,
Unit Hisbah BKAWM, 
Jabatan Yang Dipertua, 
BKAWM sesi 2015/2016.

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]