[KALAM PIMPINAN TIMBALAN UNIT KEMASYARAKATAN, SUKAN DAN REHLAH: MANFAATKAN CUTI KULIAH]

[KALAM PIMPINAN TIMBALAN UNIT KEMASYARAKATAN, SUKAN DAN REHLAH: MANFAATKAN CUTI KULIAH]

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas rahmat dan kasih sayangNya, dapat kita merasai segala nikmat yang ada di dunia ini, selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, para keluarga dan sahabat kerana tingginya semangat perjuangan mereka dapat kita lihat Islam itu tertegak sehingga hari ini.


Baginda bersabda :

اغتنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ : شَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شَغْلِكَ وَحَيَاَتكَ قَبْلَ مَوْتِكَ

“Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa mudamu sebelum datang masa tuamu. Masa sihatmu sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk dan masa hidup sebelum tiba masa mati.”

(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi):

Seringkali kita merasa tidak cukup masa kerana banyaknya tanggungjawab. Allah menjadikan sehari 24 jam dari mulanya diciptakan dunia sehingga hari ini. Sepertimana yang kita ketahui sahabat baginda Anas bin Malik RA dapat meriwayatkan 2286 hadis dalam tempoh 20 tahun, dan baginda Rasulullah SAW dapat membangunkan Islam yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini dalam masa 23 tahun dengan 24 jam sehari yang Allah kurniakan sama seperti kita. Tiada sesaat pun daripada masa mereka yang dibazirkan.

Maka hendaklah kita merancang dan menyusun masa lapang kita dengan baik, isi dengan perkara-perkara yang bermanfaat agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi. Seperti yang disebutkan di dalam Al-quran:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali bagi mereka yang beriman dan melakukan amal kebaikan, serta mereka yang berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.”

Masa berlalu dengan amat pantas. Sesungguhnya masa tidak dapat diundur kembali walaupun baru seminit ia berlalu pergi. Imam Syafie ada menyebut, "Yang paling jauh bukannya bintang, matahari dan bulan. Tapi adalah masa yang telah berlalu dan tidak mungkin akan kembali. Semalam yang luput menjadi kenangan, semalam yang terluput mengukir sesalan. Yang ada hanya hari ini dan yang akan datang. Gunakan hari ini sebaik mungkin. Kerana esok belum pasti milik kita. Sedangkan semalam telah pergi buat selama-lamanya."

Akhirnya, isilah waktu cuti yang berbaki ini dengan ilmu, amal dan perkara-perkara yang bermanfaat sebelum datangnya tanggungjawab lain yang akan membataskan masa kita. Harapan saya juga agar dapat kita bersama-sama menjayakan aktiviti dan program yang dianjurkan oleh BKAWM. InsyaAllah setiap aktiviti dan program yang dianjurkan memberi manfaat. Marilah kita sama-sama menjadi orang yang memberi manfaat kepada orang lain. Wallahua’lam.



Nur Aeni binti Mohamad,
Timbalan Unit Kemasyarakatan, Sukan dan Rehlah,
BKAWM Sesi 2015/2016.

"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]