[ KALAM PIMPINAN: MUAMALAT DALAM ISLAM]


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, puji-pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat Baginda.

وَقُلْ جَآءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
_“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.”_
(Surah al-Isra’: 81)

Di antara perkara yang ajaran Islam berusaha untuk tegakkan adalah suasana yang solehah (al-Biah al-Solehah). Kewujudan persekitaran yang baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada di dalamnya. Apabila manusia hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya ia akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup dikalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya. Nabi SAW menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud:

_“Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya.”_
(Riwayat Ahmad, dinilai Hasan oleh al-Albani)

Di atas kepentingan membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab kita agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang terpuji dan dipelihara dari kemungkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.

PERBANKAN ISLAM DAN KONVENSIONAL

Kepekaan umat Islam mengenai kandungan makanan dan minuman yang ingin dibeli untuk dibekalkan ke dalam organ tubuh badan mereka semakin menjadi kesungguhan mereka. Rata-rata masyarakat Islam khususnya di Malaysia akan melihat tanda keramat ‘Halal’ yang disahkan statusnya oleh badan-badan Islam yang berautoriti seperti JAKIM. Penilitian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kandungan dan penyediaan makanan tersebut sememangnya dipuji oleh Islam.

Namun begitu, ada perkara yang masih menyelubungi kita apabila kesedaran masyarakat terhadap halal haram di dalam urusan kewangan atau perbankan masih di tahap yang amat lemah. Tidak kurang juga ada yang tidak dapat membezakan perbezaan yang wujud di dalam dua aliran dan fahaman yang berbeza di antara perbankan yang diasaskan atas dasar Islam dan perbankan konvensional yang tidak merujuk kepada Islam yang sudah bertapak begitu lama di dalam masyarakat dunia.

Hakikatnya, kepekaan terhadap tatacara urusniaga dan amalan perbankan sepatutnya perlu juga diambil perhatian yang serius setanding dengan kepekaan mereka dalam permasalahan makanan dan minuman. Ini kerana jika kepekaan berkaitan halal dan haram dalam aspek pemakanan diambil perhatian kerana adanya sumber-sumber dan dalil-dalil yang datangnya dari perintah dan suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, begitu juga halnya di dalam aspek kewangan dan perbankan yang terdapat dalil-dalil yang datang dari sumber yang sama tadi, maka saranan tersebut perlu dilaksanakan sewajarnya supaya kita tidak kelihatan seolah-olah mendiskriminasikan suruhan-suruhan Allah SWT dan Rasulullah SAW tersebut.

Umum mengetahui bahawa memang terdapat perbezaan apabila bicara mengenai cara hidup Islam dan cara hidup yang tidak berasaskan Islam. Begitu juga halnya dengan perbezaan di antara perbankan Islam dengan perbankan bukan Islam atau yang sering kita istilahkan sebagai Perbankan Konvensional walaupun pada pandangan mata kasar ianya kelihatan sama.

Perbezaaan ini bolehlah juga diibaratkan sebagai perbezaan antara benar dan salah dan perbezaan antara hak dan batil mengikut kaca mata Islam. Firman Allah SWT dalam menggambarkan beberapa bentuk perbezaan adalah seperti berikut:

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
_“Dan janganlah kamu mencampur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benari itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.”_
(Surah al-Baqarah: 42)

Antara beberapa perbezaan diantara perbankan Islam dan perbankan konvensional ialah:
1. Sumber Rujukan.
- Perbankan Islam: al-Quran dan sunnah sebagai rujukannya.
- Perbankan Konvensional: berdasarkan kepada akal dan pengalaman manusia.

2. Dasarnya Iman dan Taqwa.
- Perbankan Islam: dibina atas dasar iman dan taqwa.
- Perbankan Konvensional: dibina atas dasar pemikiran manusia yang terbatas dan dipimpin oleh hawa nafsu.

3. Bermatlamatkan Redha Allah SWT.
- Perbankan Islam: ditubuhkan untuk mengecapi matlamat keredhaan Allah SWT semata-mata.
- Perbankan Konvensional: mencari keredhaan manusia.

4. Perihal Pahala dan Dosa.
- Perbankan Islam: menitikberatkan permasalahan yang berkaitan dengan pahala dan dosa.
- Perbankan Konvensional: tidak menilai urusniaga mereka dengan nilaian kacamata Allah SWT.

5. Bertunjangkan Aqidah Islamiah.
- Perbankan Islam: bertunjangkan aqidah Islamiah yang jitu kepada Allah SWT.
- Perbankan Konvensional: tiada kaitan dengan aqidah dalam urusniaga mereka.

6. Berlandaskan Kaedah Fiqh Muamalat.
- Perbankan Islam: pemakaian kontrak yang dilaksanakan oleh perbankan Islam yang benar-benar bertepatan dengan cara pemakaian yang digariskan oleh Islam.
- Perbankan Konvensional: mengaut keuntungan yang rata-rata kebanyakannya dengan cara memberikan pinjaman.

7. Adil dan Berkongsi Manfaat.
- Perbankan Islam: menitikberatkan keadilan dan perkongsian manfaat.
- Perbankan Konvensional: konsep keadilan dalam amalan urusniaga yang terkeluar dari orbit Islam menyebabkan keadilan itu tidak dapat diserlahkan.

Sebagaimana yang kita ketahui, sistem perbankan Islam di Malaysia telah berkembang pada tahap tertinggi, menjadikan Malaysia kini peneraju sistem perbankan Islam di dunia. Dengan ini, masyarakat harus bijak memilih sistem perbankan yang mampu memberi kemudahan di dunia dan akhirat. Pencapaian di dalam sektor perbankan Islam bukanlah dicapai dengan mudah, malah ianya pasti memerlukan perancangan yang teliti dan penuh berhikmah.

Akhir kalam, diharapkan penulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada semua mahasiswa/wi khususnya serta kepada masyarakat awam secara amnya bagi mempertingkatkan imej Islam itu sendiri, InsyaAllah. Justeru itu, kita haruslah bergerak bersama-sama bagi meneraju perubahan yang positif bagi sistem perbankan ini. Wallahu’alam.


Disediakan oleh:
AIMAN HAZIQ BIN HAJI KAMARUDDIN
Bendahari Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020.

“Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]