[ KALAM PIMPINAN: IBRAH ASHABUL KAHFI ]


Bismillahirrahmanirrahim.

Firman Allah SWT:
ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلۡكِتَـٰبُ لَا رَیۡبَۛ فِیهِۛ هُدࣰى لِّلۡمُتَّقِینَ
Maksudnya: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa."

Allah SWT telah menurunkan al-Quran itu sebagai penunjuk jalan dan pedoman bagi seluruh manusia dalam setiap perbuatan dan amalan seharian dan ketahuilah bahawa mukjizat al-Quran itu sangat besar sehinggakan setiap satu ayat dan surah di dalamnya penuh dengan maksud dan isi-isi yang tersirat sesuai sepanjang zaman.

Begitu juga dengan surah yang mempunyai pelbagai kisah dan pedoman berkaitan fitnah dan juga sejarah umat terdahulu iaitu surah al-Kahfi.

Surah al-Kahfi yang bermula dengan kisah tentang pemuda yang lari daripada seorang raja yang zalim bagi memelihara akidah mereka.

Disini kita dapat lihat bahawa jiwa seorang pemuda itu perlu dipelihara daripada 'parasit' yang mampu merosakkan semangat pemuda terutamanya daripada budaya tidak sihat yang sedang berleluasa kini.

Seterusnya, berkaitan dengan kisah pemilik dua kebun yang memberi perumpamaan kepada kita supaya jangan sesekali mudah ditipu dengan kehidupan dunia yang hanya sementara sedangkan platform atau stesen terakhir kita adalah akhirat dan bukanlah dunia yang fana ini.

Selain daripada itu, berkaitan dengan kepentingan dalam menuntut ilmu dan jangan sesekali berasa ilmu kita itu sudah cukup untuk menjadikan diri kita seorang yang alim. Kisah berkaitan pengembaraan ilmu Nabi Musa dan Nabi Khidir a.s menjadi bukti bahawa akan sentiasa wujud mereka yang lebih berilmu daripada kita.

Jadilah seperti padi yang mana makin berisi, makin menunduk dan bukannya makin berisi itu makin mendongak dan mendabik dada ke langit mengatakan bahawa kita yang paling berilmu.

Seterusnya, kita juga perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi fitnah-fitnah yang sedang berleluasa kini mahupun dalam dunia realiti atau dalam dunia maya. Sudah sinonim bahawa apabila kita bicarakan soal fitnah ini, tiada fitnah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal. Surah al-Kahfi ini juga jika diamalkan, dengan izin-Nya kita akan dilindungi daripada fitnah Dajjal tersebut.

Akhirnya, terdapat pelbagai pengajaran dan pedoman yang dapat kita peroleh sebagai apa pun kita kerana al-Quran itu sentiasa relevan sepanjang zaman dan segala isi dan apa yang tertulis di dalamnya adalah bukti-bukti dan fakta-fakta yang tidak dapat disangkal kerana tepat dan sangat berguna sebagai petunjuk untuk kita menghadapi dunia yang penuh mehnah dan tribulasi ini.

Wallahua'lam.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD ZUHAIRI BIN KHAIRIL ARIFFIN
Ketua Lajnah Kebajikan dan Perumahan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
sesi 2019/2020.

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]