[ KALAM PIMPINAN: GENERASI RABBANI ]

[ KALAM PIMPINAN: GENERASI RABBANI ]

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita terus thabat dalam menyampaikan risalah Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman:

مَا كَانَ لِبَشَرٍ اَنْ يُّؤْتِيَهُ اللّٰهُ الْكِتٰبَ وَا لْحُكْمَ وَا لنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُوْلَ لِلنَّا سِ كُوْنُوْا عِبَا دًا لِّيْ مِنْ دُوْنِ اللّٰهِ وَلٰكِنْ كُوْنُوْا رَبَّا نِيّٖنَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُوْنَ الْكِتٰبَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُوْنَ 

"Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmah serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah SWT dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya."
(Surah Ali-Imran: Ayat 79)

Satu generasi yang sangat ditakuti oleh golongan kafir, iaitu generasi rabbani di kalangan umat Islam. Siapakah generasi rabbani itu? Generasi rabbani ialah generasi yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya. 

Generasi inilah yang menyebabkan umat Islam hebat di suatu masa dahulu.

Antara ciri-ciri generasi rabbani ialah:

1. Faqih dan menguasai ilmu agama

Seperti mana kita tahu, agama itu adalah cara hidup yang sempurna. Parameter untuk mengetahui sama ada sesuatu itu baik atau buruk hanya dapat dilihat dari sisi agamanya. Apabila seseorang pemuda itu memiliki kefahaman yang baik tentang agama, dia akan dapat memilih dan menilai mana yang baik dan mana yang buruk untuk dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

2. Mempunyai pengurusan yang baik

Generasi rabbani itu sangat teratur dalam segala urusannya. Mereka dapat laksanakan banyak aktiviti yang berfaedah dalam satu masa hanya kerana mereka mempunyai penyusunan jadual yang rapi. Pentingnya pengurusan yang baik ini kerana apabila pengurusan diri baik, maka akan berpeluang untuk menguruskan orang lain dalam keadaan baik juga.

3. Memahami politik Islam

Generasi rabbani adalah mereka yang peka terhadap kondisi rakyat dan negaranya serta memiliki kesedaran bahawa pentingnya politik Islam itu dalam kehidupan kita.

4. Mengamalkan apa yang dipelajari

Apa gunanya mempunyai pengetahuan tetapi tidak memanfaatkannya untuk orang lain. Generasi rabbani itu adalah generasi yang dapat mengaplikasikan pengetahuannya untuk kepentingan umum.

5. Amanah

Amanah yang dimaksudkan di sini adalah mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Mereka tidak hanya sibuk memikirkan diri mereka sendiri sahaja, bahkan  mereka bersedia dan sibuk menyebarkan kebaikan untuk umat Islam yang lain.

Seterusnya, sahabat sahabiah yang dirahmati Allah sekalian,

Imam Hasan al-Banna juga telah menjadikan 10 Muwasafat Tarbiah itu sebagai definisi generasi rabbani “Peribadi yang membentuk diri agar menjadi insan kamil (sempurna) yang mempunyai aqidah sejahtera, ibadah yang sahih, akhlak yang mantap, pemikiran yang berasaskan ilmu, tubuh yang kuat, hidup yang berdikari, diri yang berjihad, masa yang dihargai, tugas yang tersusun dan senantiasa memberi manfaat kepada orang lain.”

Sayyid Qutb juga ada mendefinisikan generasi rabbani dengan ciri-ciri:

1. Selalu membersihkan diri dari segala unsur jahiliah.
2. Sumber rujukan mereka yang utama hanyalah al-Quran.
3. Apa yang dipelajari semata-mata hanyalah untuk diamalkan.

Maka jelaslah di sini bahawa generasi rabbani itu adalah mereka yang dilahirkan dari tarbiah al-Quran. Kelak, merekalah yang akan menerbitkan fajar dan sinar kejayaan Islam setelah lamanya terbenam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan generasi rabbani itu.

Wallahu a'lam.

Disediakan oleh:
NUR NAJWA LAILI BINTI MOHD KHIRI @ MOHD KHAIRI
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
sesi 2021

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]