Kalam Pimpinan: Peranan Mahasiswa di Institusi Pendidikan dan Pentadbiran
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Setinggi-tinggi
kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT atas segala limpahan nikmat-Nya yang
telah dikurniakan buat seluruh umat manusia sehingga saat jari ini menaip
penulisan ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad
SAW yang mana, atas pengorbanan besar baginda, para ahli bait serta seluruh
sahabat baginda, risalah dakwah ini masih berterusan sehingga hari ini. Seterusnya
seluruh mahasiswa-mahasiswi Islam sekalian.
Para penyair ada menyebut:
"
ليس الفتى من قال أبي كان، ولكن الفتى من يقول هأناذا "
Mahasiswa
merupakan aset kepada pembangunan sesebuah negara pada masa akan datang. Mereka
ini merupakan generasi pemuda yang bakal menerajui pengurusan manusia di dalam
sesebuah masyarakat atau negara kelak. Oleh itu, mahasiswa perlu ada persiapan
yang terbaik bagi menunaikan tanggungjawab ini. Ini merupakan satu
tanggungjawab yang besar bagi mahasiswa terutamanya mahasiswa Azhari di
perlembahan Nil ini.
Sempena musim imtihan
yang bakal tiba, saya menyeru kepada seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan di
Mesir untuk sama-sama kita membulatkan tekad, mengatur langkah yang lebih
komited bagi menghadapi medan peperangan mahasiswa kini. Harapan di peringkat
BKAWM adalah untuk melihat kita semua berjaya dengan memperoleh keputusan yang
terbaik, di samping tidak melupakan sahabat-sahabat di sekeliling kita. Kalau
boleh kita tidak mahu terima khabar ada dalam kalangan kita yang tidak najah
dan seumpamanya.
Sesuai dengan
pepatah yang telah disebutkan di atas yang bermaksud, “Bukanlah dinamakan
pemuda, mereka yang hanya berbangga dengan kejayaan generasi terdahulu dari
kalangan ayah-ayah mereka serta datuk-datuk mereka. Tetapi yang dinamakan
pemuda adalah yang mengatakan inilah kami yang sedang mencipta sejarah baru
untuk kebaikan generasi yang akan datang.” Syair ini sangat mendalam mesejnya
jika dihayati. Susun atur bahasanya juga pasti meniupkan semangat yang tinggi
bagi mana-mana pemuda yang membacanya demi mencipta kejayaan yang lebih baik
daripada generasi sebelumnya.
Kita pada hari ini
sedang mencipta kejayaan untuk tatapan generasi akan datang supaya dijadikan
teladan dan pedoman bagi mereka dalam menempuh kehidupan yang fana ini.
Keperluan kita untuk meraih sijil daripada pengajian menjadi semakin penting
pada zaman kini, zaman yang bilamana seseorang memerlukan sesuatu pengiktirafan
yang rasmi bagi membuktikan bahawa beliau benar-benar seorang yang dapat
menyampaikan ilmu agama mahupun berkhidmat di mana-mana institusi kesihatan.
Untuk itu, perlu untuk kita sentiasa memberi fokus kepada matlamat dan
cita-cita ini supaya kita dapat mempersiapkan diri sebaik mungkin untuk
berhadapan dengan masyarakat kelak.
Melihat pada situasi
di Malaysia hari ini, kita sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihanraya
Umum Kali Ke-13 (PRU-13) bagi menentukan pemimpin-pemimpin yang bakal
meneruskan pentadbiran Kerajaan Malaysia untuk satu penggal yang ke seterusnya
sama ada di peringkat pusat mahupun negeri. Setiap calon sedang berkempen
manifesto masing-masing yang memberi pengharapan kepada rakyat Malaysia untuk memilih
mereka sebagai pemimpin di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen
masing-masing.
Demi melihat Malaysia
terus maju dan berkebajikan, kita selaku mahasiswa yang prihatin terhadap
pentadbiran negara perlu memilih calon yang mempunyai sifat-sifat kepimpinan
yang sesuai mengikut kehendak agama khususnya serta sesuai bagi masyarakat
umumnya. Secara umum, kitab Al-Qiyadah Al-Muathirah ada menggariskan
syarat-syarat kepimpinan yang berpengaruh dan berkesan:
1.
Berjiwa seorang Murabbi,
iaitu yang memahami dasar matlamatnya untuk mendapat keredaan Allah SWT dan
membentuk rakyat untuk bersama dengannya mencapai matlamat tersebut.
2.
Berjiwa seorang Pendidik,
iaitu yang sentiasa mendidik rakyat, membimbing dan melatih mereka untuk
melaksanakan kerja dengan komitmen yang tinggi.
3.
Berjiwa seorang Pengurus,
iaitu yang mempunyai skil mengurus sumber dan tenaga untuk bekerja dengan
mendapat hasil yang terbaik.
Pada hari Jumaat
yang mulia ini, saya ingin menarik perhatian pembaca untuk menyingkap kembali
peristiwa 25 Januari 2011 yang mana revolusi rakyat Mesir telah berlaku. Kita
BKAWM sendiri telah menyaksikan sendiri setiap detik yang berlalu, bagaimana
kebangkitan rakyat Mesir yang jelas menzahirkan kemarahan mereka terhadap
tampuk kepimpinan yang zalim dan tidak telus pada ketika itu. Kita tidak mahu
dan minta Allah jauhkan Malaysia daripada berlakunya peristiwa sebegitu. Di
mana kebajikan rakyat diabaikan, sistem pilihanraya yang tidak telus dan
sebagainya. Bukanlah maksud saya untuk menakut-nakutkan, tetapi sekadar
peringatan untuk kita memastikan calon pilihan kita adalah yang terbaik bagi maslahat
negara kita dan generasi selepas kita.
Akhir kata, semoga
semangat yang ada pada jiwa-jiwa kita semua pada musim pilihanraya ini akan
menjadi inspirasi buat kita dalam mempersiapkan diri untuk menghadapi
peperiksaan fasa akhir pada kali ini. Saya mewakili seluruh barisan kepimpinan
Ahli Jawatankuasa Tadbir BKAWM bagi sesi ini ingin mengucapkan bittaufiq
wannajah kepada seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir yang bakal
menghadapi imtihan tidak lama lagi. Siiru ‘ala barakatillah,
sekian.
“KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN”
"MEMARTABAT KEILMUAN, MEMIMPIN KESATUAN"
Muhammad Syazwan Syamil bin Mohd Razman
Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2012/2013.
Comments
Post a Comment