[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, atas nikmat yang tidak terhitung yang diberikan dan terus-menerus mengalir dalam setiap langkah kehidupan kita.

Seterusnya selawat dan salam keatas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW, kerana dengan berbanyak berselawat inilah menjadi tanda kita kasih dan sayang kepada Baginda Nabi Muhammad SAW Sungguh tiada yang layak kita sayangi melebihi kasih sayang kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Rasulullah Shallalahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, 

“Berdua lebih baik daripada sendiri, bertiga lebih baik daripada berdua, berempat lebih baik daripada bertiga, maka hendaklah kalian tetap bersama berjemaah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengumpulkan umatku kecuali atas sebuah petunjuk (hidayah).” (HR. Ahmad)

Berdasarkan hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Islam mengajarkan kepada umatnya satu konsep secara berjemaah dalam melakukan sesuatu perkara atau kerja. Hal ini memudahkan mencari solusi terutama dalam perkara yang berkaitan urusan agama serta kehidupan bilamana dilakukan secara berjemaah.

Manusia tidak mampu untuk menjalani kehidupan sendiri untuk memenuhi keperluan seharian. Ia memerlukan bantuan daripada orang lain, dalam Islam sendiri mensyariatkan  kepada manusia dalam beberapa ibadah untuk melakukan secara bersama-sama.

Solat fardu , ia lebih baik dikerjakan secara berjemaah. Puasa, haji, zakat, dan ibadah lain, syariatnya adalah dikerjakan dengan berjemaah.

Selain daripada ibadah, dalam status kehidupan juga kita perlukan Jemaah. Sejak awal penciptaan manusia, memerlukan Jemaah untuk melengkapi antara satu sama lain.

Nabi Adam ‘alaihissalam diturunkan ke bumi, kemudian Allah taala mencipta Hawa untuk menemani Nabi Adam ‘alaihissalam. Nabi Musa ‘alaihissalam ketika diutus menjadi nabi, ia juga bersama saudaranya, Harun. Nabi Isa ‘alaihissalam selalu didamping pengikut setianya yang dikenal dengan Hawariyun.

Antara contoh tersebut dapat kita lihat bahawa manusia sangat saling memerlukan antara satu sama lain. 

Islam dan jemaah adalah dua perkataan yang tidak boleh dipisahkan, kerana kedua dua perkataan ini saling melengkapi satu sama lain, sebagaimana Allah taala berfirman:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali Imran :103)

Firman Allah itu menjelaskan kepada kita bahawa Islam amat menitikberatkan semangat bersatu. 

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud:

“Wajiblah kamu bersama-sama dengan jemaah dan berwaspadalah kamu terhadap perpecahan".(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

"Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala kepada manusia, samalah seperti serigala kepada kambing, ia akan memakan kambing yang jauh terpencil daripada kumpulannya, maka berhati-hatilah kamu dan hendaklah kamu sentiasa bersama-sama dengan jemaah dan orang ramai".(Hadis riwayat Ahmad)

Dapatlah dikatakan manusia yang selalu berbalah dan sukar untuk hidup secara berjemaah hanya mementingkan dirinya sahaja. Dan disebabkan oleh kepentingan diri itu, menyebabkan manusia itu mudah digoda oleh syaitan. 

Umar al-Khattab pernah berkata:

"Sesungguhnya tiada Islam melainkan dengan jemaah, tiada jemaah melainkan dengan kepemimpinan dan tiada kepemimpinan melainkan dengan ketaatan".(Hadis riwayat Ahmad)

Jika ditelusuri perjalanan sejarah awal Islam, kemantapan iman sahabat Nabi SAW diterapkan melalui ukhuwah yang sentiasa hidup dalam satu jemaah yang kuat. Sikap yang tidak mementingkan diri sendiri dapat dilihat dalam diri mereka yang diselitkan sifat mahmudah. 

Rasulullah Shallalahu ‘Alaihi Wasallam diutus untuk mengeluarkan manusia dari zaman jahiliah ,  tiada pemimpin,  tiada pengikut,  tidak tahu siapa yang perlu ditaati untuk menuju zaman terang benderang,  iaitu cahaya Islam. Maka dengan berjemaahlah, Islam dapat berdiri kukuh menaungi dunia dengan kedamaian. Terbukti pada zaman Rasulullah SAW, masyarakat Madinah yang selalu berperang, dengan datangnya Islam, mereka menjadi masyarakat yang aman tenteram. Rasul menjadi Imam dan para sahabat menjadi makmumnya. Sementara orang-orang yang belum menerima Islam, mereka bersepakat dalam sebuah perjanjian iaitu Piagam Madinah yang mengatur kehidupan beragama serta kehidupan antara umat Islam dan yahudi serta suku kaum yang lain supaya hidup dalam keadaan damai dan harmoni.

Sehinggalah setelah wafatnya Rasulullah SAW, Abu Bakar dianggap sebagai Amirul Mukminin, memimpin umat untuk sentiasa taat menjalankan syariat. Begitu juga setelah wafatnya beliau, diangkatlah Umar, Uthman seterusnya Ali bin Abi Thalib. Kepemimpinan empat sahabat itulah yang menjadi potret terbaik kehidupan berjemaah.

Seterusnya hingga pada zaman Khalifah Turki Uthmani, umat Islam masih memiliki bentuk kepemimpinan, walaupun sistemnya berubah menjadi kerajaan sejak zaman kepimpinan Muawiyah bin Abi Sufyan (setelah Ali bin Abi Thalib wafat).

Akan tetapi, hidup berjemaah dengan satu kepemimpinan mula ditinggalkan, Islam semakin lama terjun bebas dan pada akhirnya diperlekehkankan oleh orang-orang kafir. Dapat kita lihat pada saat ini, di Palestin, puluhan tahun rakyatnya menderita, tetapi tiada yang mampu menolongnya. Muslim di Rohingya dibunuh, para wanitanya diperkosa, mereka teraniaya, tetapi tiada yang mampu berbuat sesuatu untuk menghentikannya. Muslim di Xin jiang juga bernasib sama, namun tiada yang mampu menegakkan hak mereka. Itulah potret umat Islam saat ini yang tidak memiliki kepemimpinan, sehingga mereka teraniaya dan tidak ada yang mampu menyelamatkan.

Maka kita sebagai umat Islam perlu sedar akan saudara seislam kita yang dianiaya. Kita perlu menggalas semula persatuan umat dan mengamalkan Islam secara sempurna, hidup bersatu-padu  dalam satu jemaah, satu kepemimpinan, membangun kesedaran umat untuk kembali kepada Al-Quran dan Hadis.

Jika umat Islam tidak berjemaah, maka potensi kekuatan umat Islam semakin berkurang. Meskipun banyak orang soleh di antara kita, tapi semuanya seperti perahu-perahu kecil yang mudah terhempas dan dibadai ombak sekiranya tidak berhimpun dalam sebuah wadah yang yang besar iaitu Jemaah.

Dan mungkin juga banyak orang hebat di antara kita, tetapi kehebatan itu seperti pasir yang berbukit yang akan beterbangan saat angin datang membadai. Banyak potensi yang tersimpan pada setiap individu umat Islam kini, tetapi kebanyakannya tidak bersatu dalam satu wadah Jemaah.

Oleh sebab itu, kebangkitan umat seperti yang dilakukan Rasulullah SAW perlulah dimulakan dari sekarang. Umat Islam perlu bersatu dalam satu wadah jemaah, satu kepemimpinan, persatukan umat Islam dalam jalinan cinta, dan ukhuwah Islamiah, membuat umat Islam serasi dalam keharmonian.

Oleh yang demikian, kekuatan umat Islam boleh disusun mengikut potensi masing-masing untuk disalurkan  kepada Islam dan akan menjadi satu kekuatan yang akan disegani kawan dan ditakuti lawan. Sekali lagi bukan disebabkan jumlah yang banyak, tetapi kerana persatuan dan kesatuanlah yang membuatkan kita menjadi kekuatan yang sempurna sebagaimana pada zaman Rasul dan para sahabat, disegani lawan dan kawan bukan kerana jumlah mereka tapi kerana ketaatan dan kebersamaan mereka.

Sahabat yang dikasihi sekalian,

Jemaah adalah satu cara untuk mempersatukan visi, misi dan tujuan umat Islam iaitu untuk beribadah dan berjuang sesuai dengan apa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya kepada kita. Tujuannya hanya satu, iaitu reda dan pertolongan Allah, bukan kerana kepentingan peribadi, kelompok atau ingin meraih kehidupan dunia.

Islam sangat menegaskan pentingnya berada dalam jemaah, kerana kehidupan di dunia ini seperti berlayar di lautan. Ombak yang bergulung-gulung mampu membawa siapa saja dan apa saja yang terombang-ambing di tengah lautan.

Maka sahabat sekalian, apalagi yang membuatkan kita memilih jalan sendiri-sendiri, sedangkan Islam menuntut untuk berada dalam barisan jemaah. Kerana syariat Islam bukan sekadar menjadikan peribadi yang baik, tetapi mengajak orang-orang yang sudah baik untuk menjadi yang lainnya baik pula, serta merubah dunia menjadi lebih baik lagi. Sebab kita takkan pernah tahu sampai bila kita mampu berdiri kukuh dalam keimanan bila kita berjalan sendiri. Bagaimana kita boleh sedar ketika kita berada di titik terlemah kita, namun tak ada seorang pun yang mengingatkan dan membangkitkan iman kita. Oleh itu, tetaplah berdiri dalam satu barisan, berpegang erat, dan sentiasa istiqamah dalam jemaah.

Jadi, marilah kita bersama-sama mengamalkan doa agar Allah tetapkan iman kita yang pernah dibacakan oleh Nabi Muhammad SAW, doanya berbunyi:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوْبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ 

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu.” (HR. Ahmad dan at Tirmidzi)

Dalam al quran juga mempunyai doa yang boleh kita amalkan supaya Allah Taala mendorong kita ke jalan yang benar, dan doanya berbunyi:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Tuhan Yang melimpa-limpah Pemberi-Nya .” (Surah ali Imran: 8)

Untuk akhirnya, Jemaah bukanlah untuk mengongkong kehidupan, tetapi hanya orang yang ikhlas dalam hatinya yang inginkan reda dan pertolongan Allah saja yang akan bersedia bersatu dalam satu Jemaah dan satu kepemimpinan sesuai dengan petunjuk al-Quran dan Sunnah.

Waallahu a’lam. 

Disediakan oleh:

BALQIS BATRISYIA BINTI BASRI
Timbalan Unit Penerangan dan Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
sesi 2019/2020.

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]