Ziarah Mahabbah Mengerat Hubungan Dua Hala
KAHERAH, 4 Ogos 2014- Barisan AJK Hal Ehwal Wanita Islam (HEWI) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah mengadakan Ziarah Mahabbah sempena Aidilfitri ke Markas HEWI PMRAM 2014 yang bertempat di Hayyu Sabie. Seramai 6 orang AJK HEWI BKAWM telah berkunjung ke markas yang diketuai oleh saudari Nur Hazimah binti Mat Basri selaku Naib Pengerusi HEWI 2 merangkap pemangku Naib Pengerusi HEWI 1.
Kunjungan bermula seawal jam 10 malam dan berakhir pada jam 12 malam. Pelbagai juadah disediakan oleh tuan rumah. Aktiviti ziarah berlangsung dalam suasana yang cukup harmoni dan penuh mahabbah. Pelbagai perkara yang bermanfaat dibicarakan dan dibincangkan.
Seterusnya, AJK HEWI yang hadir sempat bertaaruf dan saling bertukar-tukar maklumat diri dengan tuan rumah di samping mendengar ucapan daripada wakil bagi kedua-dua pihak. Saudari Farida Hamimie binti Mohd Saupi, Ketua Unit Kesenian, Kebudayaan dan Kemasyarakatan HEWI PMRAM mewakili tuan rumah mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan yang dilakukan. Beliau mengingatkan kepada semua agar dalam kita menyambut kemeriahan Syawal, jangan lupa untuk meneruskan pesta ibadah kita di bulan Ramadhan dengan berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Ziarah Mahabbah berakhir dengan sesi fotografi.
Pihak BKAWM mengharapkan agar dengan Ziarah Mahabbah yang dianjurkan ini dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara BKAWM dengan PMRAM sebagai persatuan induk mahasiswa Malaysia di Mesir yang merupakan salah satu daripada Penaung kepada BKAWM dan selaku pencetus kelahiran BKAWM di bumi kinanah ini. Di kesempatan ini, barisan AJK HEWI mengambil peluang untuk mengucapkan, “Selamat Hari Raya Aidilfitri, كل عام وأنتم بخير” kepada semua mahasiswa dan mahasiswi yang berada di perlembahan nil ini khususnya kepada anak-anak Wilayah Persekutuan.
“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
Comments
Post a Comment