XPDC '14 Menyingkap Sejarah al-Fayoum
KAHERAH, 26 Ogos 2014- Unit Perumahan dan Rehlah (UPR) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan Ekspedisi Jejak Fayoum 2014 (XPDC ‘14) pada 21 Ogos yang lalu bagi siswa dan 23 Ogos yang lalu bagi siswi. Dengan bertemakan “Alam Ditelusuri, Erat Silaturrahim”, XPDC ‘14 telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai 15 orang peserta siswa dan 35 orang peserta siswi.
Bersesuaian dengan temanya, XPDC ‘14 diadakan bagi mencapai dua objektif utama. Objektif pertama ialah meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T dengan menghayati dan mentadabbur alam ciptaan-Nya. Manakala objektif yang kedua ialah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli BKAWM. Kedua-dua objektif ini diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang XPDC ‘14.
Para peserta XPDC ‘14 dibawa untuk melihat tempat-tempat bersejarah di kota ibrah Fayoum. Antara tempat-tempat yang dilawati ialah Wadi ar-Rayyan, Istana Qarun, Tasik Qarun, Taman Ain Selien dan Kincir Air Nabi Yusuf A.S. Pelbagai sirah dan sejarah berkaitan kota Fayoum diceritakan oleh mushrif yang menemani para peserta berkaitan tempat-tempat yang dilawati. Pelbagai pengajaran juga dapat diambil oleh para peserta melalui kisah-kisah yang diceritakan. Antaranya ialah kisah Qarun yang bersikap takabbur dan sombong kepada Allah dan nabi Musa setelah dimakbulkan doanya oleh Allah untuk menjadi hamba yang kaya supaya dapat membantu orang-orang miskin. Akhirnya, Qarun dan semua harta-hartanya ditenggelamkan Allah di Tasik Qarun seperti firmanNya dalam surah al-Qasas ayat 81:
“Maka kami benamkanlah Qarun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).”
Di samping itu, para peserta juga dihidangkan dengan beberapa aktiviti yang dilaksanakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwah sesama peserta. Antaranya, sesi taaruf sesama peserta, tazkirah pendek yang disampaikan oleh peserta, pertandingan kuiz dan penyampaian hadiah. Aktiviti-aktiviti ini walaupun hanyalah aktiviti sampingan, tetapi penting untuk memecah bendungan yang ada dalam kalangan peserta di samping dapat mencapai objektif yang disasarkan oleh pihak penganjur. Natijahnya, para peseta dapat mengikuti XPDC ‘14 dalam keadaan ceria dan mesra sesama mereka meskipun ramai di antara mereka yang tidak pernah bertemu mata pun sebelum ini. Tambahan pula, taakhi zon A PMRAM cawangan Wilayah Persekutuan iaitu PMRAM cawangan Kedah turut sama menghantar wakil bagi menyertai XPDC ‘14 ini.
Pihak BKAWM mengharapkan agar para peserta XPDC ‘14 dapat mengambil manfaat daripada aktiviti yang dianjurkan ini. Di samping dapat mengeratkan ukhuwah sesama ahli BKAWM sejajar dengan tema BKAWM pada sesi ini, iaitu “Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”
“Satu Fikrah, Satu Amal”
Comments
Post a Comment