BKAWM KELUARGA KITA!
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang.
Alhamdulillah,
setinggi-tinggi kesyukuran dengan limpah dan kurniaNya, serta rahmat dan
inayahNya pada hari ini kita dapat hidup dalam kalangan orang-orang yang
beriman dan bertaqwa. Semoga taufiq dan hidayahNya terus menyinari hidup kita
sehingga kita dapat berkumpul dengan Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW di hari
kiamat kelak. Selawat dan salam ke atas baginda, Rasulullah SAW serta ahli
keluarga baginda
yang mulia. Jika bukan kerana
perjuangannya bersama para sahabat kita tidak akan dapat mengecapi dua nikmat
yang terbesar, iaitu nikmat iman dan Islam.
Kesatuan
merupakan satu agenda yang amat dituntut oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Dalam hadisnya, baginda SAW memberitahu kepada kita tentang erti pentingnya persatuan dan
kesatuan.
Diriwayatkan dari Abu Burdah dari Abi Musa dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:
Diriwayatkan dari Abu Burdah dari Abi Musa dari Rasulullah SAW, baginda bersabda:
“Perumpamaan
di antara orang mukmin dengan mukmin yang lainnya diibaratkan seperti sebuah
bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain.”
Melalui hadis
ini, Rasulullah SAW mengumpamakan orang-orang mukmin seperti sebuah bangunan
yang saling menguatkan di antara satu sama lain. Demikianlah juga perihalnya
kita sebagai ahli BKAWM. Selaku mahasiswa yang menuntut ilmu jauh di perantauan,
BKAWM inilah yang akan menjadi pengganti keluarga kita di tanah air. Kita
saling memerlukan antara satu sama lain serta saling menguatkan sama ada di
dalam keadaan senang mahupun susah.
Oleh sebab itu,
hendaklah kita selaku anak Wilayah Persekutuan di Perlembahan Nil ini bersatu
di bawah naungan BKAWM. Janganlah disebabkan berbeza pendapat, kita berpecah
belah dan saling menyalahkan antara satu sama lain. Berlapang dadalah di antara
kita seperti kata as-Syahid Imam Hasan al-Banna:
“Setinggi-tinggi
ukhuwah adalah ithar (melebihkan saudaranya) dan serendah-rendah ukhuwah adalah
berlapang dada.”
BKAWM
mengharapkan bukan sahaja pimpinan malah ahli juga turut sama-sama memelihara
kesatuan ini daripada ancaman-ancaman luar yang boleh menganggu gugat kesatuan
ini. Kita perlulah merasai BKAWM ini
seperti keluarga kita sendiri selari dengan misi keenam Badan Kebajikan Anak
Wilayah Persekutuan Mesir pada sesi ini
iaitu membudayakan slogan ‘BKAWM Keluarga Kita’. Semoga melalui slogan ini akan
lebih mengeratkan hubungan sesama kita, anak-anak
Wilayah Persekutuan di bumi Mesir bukan sahaja anak-anak Kuala Lumpur,
malahan juga anak-anak Putrajaya dan anak-anak Labuan. BKAWM Keluarga Kita!
Nur Hazimah binti Mat Basri,
Naib Pengerusi HEWI I,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
sesi 2014/2015.
Comments
Post a Comment