KOWIY'15: Memaknai Erti Pengorbanan Anak Wilayah

KAHERAH, 2 Oktober – Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2014/2015 telah menganjurkan program Korban Anak Wilayah Persekutuan 2015 (KOWIY’15) yang bertempat di Asrama Sementara Wilayah Persekutuan (ASWP) Mesir.

Program ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim di antara ahli asrama dan ahli-ahli rumah sewa. Program yang berlangsung selama 4 hari ini telah berjaya membawakan ahli aktiviti-aktiviti yang bermanfaat seperti Fiqh Qurban, Ribat Khas, Manasik Haji, Pertandingan Status dan Gambar Terbaik serta banyak lagi. Antara objektif KOWIY’15 ialah “Menyambut hari kebesaran Islam Aidiladha 1436H”. Seluruh ahli BKAWM telah digalakkan untuk menunaikan solat hari raya Aidiladha bersama warga tempatan di Masjid Ibadurrahman dan Masjid Tontawi, Hayyu Sabie. Objektif "Menambahkan pengetahuan yang berkaitan ibadah haji dan ibadah korban” pula telah direalisasikan melalui pengisian yang dikelolakan oleh Unit Pengisian dan Disiplin yang banyak memberi pendedahan tentang kaifiat penyembelihan dan haji.
Selepas berakhirnya Majlis Perasmian, telah berlangsungnya Fiqh Qurban yang diulas oleh saudara Muhammad Fahmi bin Mat Lazim, mantan penasihat Majlis Kebajikan Keluarga Kedah Mesir. Beliau telah banyak menyelesaikan kekeliruan yang timbul dalam kalangan para peserta. Sempena hari Arafah pada 9 Zulhijjah, seluruh ahli BKAWM telah digalakkan untuk berpuasa sunnah. Di antara kelebihan berpuasa pada hari tersebut adalah ditebus dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Pada hari kedua, ahli asrama serta rumah sewa telah bersama-sama mendirikan solat sunat hari raya Aidiladha di Masjid Tontawi bagi siswi dan Masjid Ibadurrahman bagi siswa. Kemudian, seluruh ahli BKAWM termasuk Atase Pendidikan Wilayah Persekutuan, Encik Ahmad Yahya bin Muhd Haniff bergotong-royong bersama-sama menjayakan sesi penyembelihan dan melapah yang bertempat di sekitar ASWP.
Hari Jumaat bersamaan 11 Zulhijjah, aktiviti telah dimulakan dengan Qiamullail diikuti dengan Ribat Khas yang disampaikan oleh saudara Hanifulfuad bin Hussain yang bertajuk, 'Aidiladha Umat Islam Seluruh Dunia'. Pada hari terakhir, pihak program juga menganjurkan slot Manasik Haji yang dibentangkan oleh saudara Muhammad Anas bin Bukhori, Yang Dipertu Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir. Slot praktikal telah dijalankan untuk mendedahkan kepada ahli tentang berihram, tawaf dan saie. Dengan ini secara tidak langsung kita dapat menghayati kisah pengorbanan Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail AS. Akhir sekali, program melabuhkan tirai dengan Majlis Penutup yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua BKAWM, saudara Muhammad Yasin bin Awang.
Semoga pemahaman mengenai erti korban yang sebenar dan semangat kebersamaan yang dipupuk dalam kalangan ahli BKAWM akan terus berpanjangan dan berkekalan selamanya. “Aidiladha Dirai, Pengorbanan Dimaknai” “Pemantapan Fikrah Tunjang Kebersamaan”

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]