[ KALAM PIMPINAN TIMBALAN LAJNAH DAKWAH DAN PEMBANGUNAN INSAN: BULAN ZULHIJJAH BULAN IBRAH ]

BULAN ZULHIJJAH BULAN IBRAH 
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah SWT di atas nikmat yang tidak akan mampu kita kira mahupun balas. Maha suci Tuhan, Engkau sahaja yang layak memuji diri-Mu. Tiada pujian yg mampu menandingi pujian-Mu ke atas diri-Mu. Selawat dan salam yang sempurna kepada Rasulullah SAW dan juga ahli keluarga baginda SAW. 

Bermacam nikmat dan kemuliaan yang dikurniakan tuhan yang seharusnya menjadikan kita hamba yang bersyukur. Bersyukur kerana dimuliakan Allah SWT untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini iaitu bulan Zulhijjah yang merupakan antara bulan-bulan haram berperang. Bersyukur juga kerana dianugerahkan kepada kita 1 hingga 10 Zulhijjah yang merupakan sebaik-baik hari yang Allah azza wa jalla anugerahkan buat umat Muhammad SAW. Allah SWT bersumpah di dalam surah al-Fajr dengan berfirmannya,

“Demi malam yang sepuluh.”

Para ulama berbeza penafsiran terhadap ayat ini. Ada ulama yang mengatakan ianya adalah 10 malam terakhir Ramadan. Ada juga yang mengatakan ianya adalah 10 malam pertama daripada bulan Muharram. Malah ada juga yang mengatakan ianya merujuk kepada 10 malam pertama pada bulan Zulhijjah. Sabda Habibana Muhammad SAW, 

“Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah SWT melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah).” Hadis riwayat Bukhari

Mulianya bulan Zulhijjah ini antara sebabnya kerana Islam disempurnakan pada bulan ini. 9 Zulhijjah tahun ke 10 Hijrah, Allah SWT menurunkan ayat pengiktirafan bahawa ajaran Islam yang diajar oleh Nabi SAW telah pun sempurna.


“Hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan buat kamu akan nikmatku. Dan aku reda dengan Islam sebagai agama kamu.“ (Surah al-Maidah, ayat 3)

Bulan Zulhijjah juga dikenali sebagai bulan melaksanakan ibadah haji. Seorang muslim yang berkemampuan wajib melaksanakannya untuk menyempurnakan rukun Islam. Zulhijjah merupakan bulan yang memberi kesempurnaan kepada umat Muhammad SAW ini. Muslim di seluruh pelusuk dunia berkumpul di kota suci Mekah untuk melaksanakan haji. Masyarakat di seluruh dunia sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan seringkali berasa takjub serta gerun dengan kehebatan umat Islam yang melaksanakan syiar Islam ini. 

Zulhijjah juga dikenali sebagai bulan berkorban. Di dalam bulan ini, pelaksanaan ibadah korban itu merupakan sunat yang sangat dituntut. Perkataan korban juga berasal daripada perkataan qarba iaitu dekat. Ibadah korban adalah merupakan salah satu wasilah ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Di BKAWM, ahli dididik agar sentiasa mempunyai jiwa yang siap sedia untuk berkorban. Berkorban masa, tenaga, wang dan perasaan untuk melaksanakan satu misi, iaitu berkhidmat menegakkan Islam dalam kalangan ahli BKAWM. Ahli BKAWM juga diajar menyumbang sesuai dengan kemampuan mereka dan menjadi pekerja untuk Islam tanpa dijanjikan upah dan balasan daripada BKAWM . Malah hanya Allah SWT sahaja yang mampu mengganjari pengorbanan mereka. 

Telah berkata al-‘Allamah al-Habib Abdullah Alwi al-Hadad, “Sesungguhnya aku tidak ingin bercakap-cakap dengan masyarakat, aku juga tidak menyukai perbicaraan dengan mereka dan aku tidak peduli kepada siapa pun dari mereka. Sudah menjadi tabiat dan watakku bahawa aku tidak menyukai kemegahan dan kemasyhuran. Aku lebih suka berkelana di gurun sahara. Itu keinginanku, itulah yang aku dambakan. Namun aku menahan diri agar tidak melaksanakan keinginanku agar masyarakat dapat mengambil manfaat dariku.” 

Ketika Siti Hajar AS ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di tengah-tengah padang pasir yang gersang beliau bertanya, “Adakah ini perintah Allah? Setelah mengetahui bahawa perbuatan Nabi Ibrahim merupakan wahyu daripada Allah SWT maka Siti hajar menenangkan dirinya. Beliau berkata, “Jikalau begitu, Allah tidak akan sia-siakan kami.” Maka, daripada seorang wanita ini akhirnya wujudlah kota Mekah . Kota suci ini kekal sehingga kini kerana kemuliaan Siti Hajar AS. Hari ini jutaan umat Islam seluruh dunia baik lelaki mahupun wanita yang menunaikan haji, berlari daripada Safa dan Marwa demi memperingati peristiwa seorang wanita solehah iaitu Siti Hajar AS. Hanya kerana seorang wanita yang dengan ikhlas melaksanakan perintah Allah SWT.

Oleh itu, ikhlaskan hati dalam memberi khidmat dan berkorban di jalan ini bersama dalam satu kesatuan yang telah lama terbina ini. Sheikh Zaki, seorang ulama Singapura berkata, “Hamba itu ibarat air musta’mal yang tidak mampu untuk menyucikan, bahkan lebih teruk dari itu jika hamba itu mutanajjis yang keji lagi menjijikkan. Namun air musta’mal jika dikumpulkan hingga mencecah dua kolah, ia mampu kembali menjadi air mutlak. Air mutanajjis jika dicampurkan dengan air mutlak, boleh menjadi suci dan menyucikan.”

Akhir sekali, berkata Imam Malik, ”Segala apa yang kerana Allah, akan kekal”. Maka jadikan setiap sendi anggota badan kita kerana Allah SWT agar syurga yang kekal itu akan menjadi balasan buat diri kita. Jadikanlah kesempatan waktu ini untuk kita berkorban. Salurkanlah bakti kita mengikut kemampuan kita dalam berkhidmat kepada ahli-ahli BKAWM melalui program-program yang diadakan khususnya dan kepada segala yang mampu untuk menegakkan agama Islam umumnya. Serta, janganlah berlaku zalim kepada diri sendiri dengan membiarkan hari-hari mulia ini berlalu tanpa diri kalian bertambah dekat dengan Allah SWT. Contohilah Siti Hajar AS, nabi Ibrahim AS dan nabi Ismail AS dalam kehambaan dan ketaatan tanpa berbelah bagi kepada Allah SWT dan kekasih kita Muhammad SAW dalam perjuangannya menyebarkan Islam sehingga Allah SWT meredai agama ini. Moga Allah SWT menerima amalan-amalan kita seluruhnya serta memasukkan kita dalam kalangan mereka yang dikasihi-Nya.

Nurul Hannah binti Kushairi,
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
Sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]