[ KALAM PIMPINAN YANG DIPERTUA BKAWM : SEMPENA PEPERIKSAAN FASA PERTAMA ]
Bismillahirrahmanirrahim,
Bersyukur
kita kepada Allah swt, selawat dan salam kepada Rasulullah dan keluarganya
serta para sahabat yang mengikuti perjuangan baginda.
Firman Allah taala :
وَمَا
كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ
مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا
رَجَعُوا
إِلَيْهِمْ
لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
"Dan tidak sepatutnya orang-orang
mukmin itu semuanya pergi ke medan perang, mengapa sebahagian di antara mereka tidak pergi untuk
memperdalam ilmu pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka
telah kembali, agar mereka dapat menjaga dirinya " - at-Taubah ayat :122
Merujuk ayat al-Quran di atas, dapat kita fahami kewajipan kita sebagai
muslim untuk menuntut ilmu khususnya ilmu agama. Sebagaimana ayat diatas juga, Allah SWT
memerintahkan sebahagian masyarakat pergi berperang dan sebahagian lagi mesti
menuntut ilmu. Menuntut ilmu juga penting berbanding keluar ke medan jihad.
Tidak seharusnya mementingkan kepada berjuang semata-mata dan meninggalkan
tuntutan menuntut ilmu pengetahuan. Ini kerana golongan yang berilmu
berkewajipan menyampaikan ilmu yang berkait dengan hukum hakam dan sebagainya
kepada golongan yang keluar berjihad apabila mereka pulang.
Sahabat
sekalian,
Pengertian لِيَتَفَقَّهُوا (hendaklah kamu mendalami
ilmu) di dalam ayat di atas memberi makna mendalami dan mempelajari ilmu
pengetahuan untuk menyeru manusia kepada al-haq (kebenaran). Ilmu itu adalah untuk
memberi peringatan dan membimbing para pejuang agama Allah SWT kepada agama
yang sebenar serta memberi amaran kepada mereka tentang bahaya sifat jahil dan
hendaklah menjauhkan perkara-perkara maksiat kepada Allah SWT.
Namun
hakikatnya berjuang di medan jihad dan menuntut ilmu adalah dua kewajipan ke
atas semua muslim, maka kita sebagai mahasiswa seharusnya bijak melihat dua
kewajipan tersebut untuk dipraktikkan berdasarkan realiti sekarang.
Sahabat
sekalian,
Bersempena
peperiksaan semester pertama yang mendatang, BKAWM ingin mengucapkan “Selamat
menempuhi peperiksaan kepada seluruh mahasiswa/wi di Perlembahan Nil”. Jadikan
peperiksaan ini salah satu wasilah untuk kita menterjemahkan ilmu yang
diperolehi dan menjadi pemangkin untuk kita menuntut ilmu seterusnya
mengingatkan kembali tujuan asalnya iaitu mencari keredhaan Allah SWT.
BKAWM
merupakan satu wadah kesatuan anak Wilayah Persekutuan di Mesir yang amat
menitikberatkan tentang pendidikan dan thaqafah ahlinya. Justeru, tema sesi
kali ini “Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan” mampu diaplikasi dengan
baik oleh seluruh peringkat BKAWM. Bersama-sama kita menjayakan segala aktiviti
dan program anjuran BKAWM demi kelangsungan anak Wilayah Persekutuan di bumi
anbiya’ ini.
Akhir kalam,
menuntut ilmu di dalam agama adalah satu tuntutan. Bahkan beramal dengan ilmu
itu satu kewajipan.
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Disediakan oleh :
Abdul Wafi bin Alias
Yang Dipertua
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir,
2016/2017
Comments
Post a Comment