[RISALAH AL-HIKMAH: PANDUAN GAYA HIDUP SIHAT]

    
      Dalam tidak sedar, semua orang menjalani proses penuaan. Namun proses ini akan lebih dirasai kala usia menjengah angka 40, apatah lagi jika penyakit gaya hidup mula menjadi ‘penumpang kekal’ yang sukar dihalau jika tiada penjagaan bersungguh-sungguh.

     Malah ketika ini sebahagian besar daripada kita akan dapati betapa mudahnya berat badan bertambah dan susahnya untuk mengembalikan bentuk badan seperti ketika muda.

     Pertambahan umur, perubahan fisiologi dan biologi dalam badan menyebabkan kadar metabolik menurun, sedangkan selera makan kita masih seperti dulu. Jadi tidak hairanlah jika saban tahun, saiz baju dan seluar kita semakin membesar.

     Walaupun pakar kesihatan menyarankan kita mengamalkan gaya hidup sihat melalui pengambilan makanan seimbang dan melakukan aktiviti cergas (bersenam), tetapi masih ramai yang ‘belum bersedia’ untuk menyahut seruan itu.

     Suka atau tidak, kita perlu melakukan sedikit pengorbanan untuk kesihatan diri sendiri dengan berpantang. Sememangnya berpantang makan itu tidak menyeronokkan, apatah lagi membabitkan makanan kegemaran kita. Walaubagaimanapun, berpantang dalam konteks ini bukanlah bermakna tidak boleh makan langsung tetapi kita perlu mengehadkan jumlahnya demi kebaikan diri sendiri.

Berikut merupakan panduan pemakanan yang sihat bagi memastikan gaya hidup yang sihat.

1. Jangan terlebih makan

     Pada usia kecekapan tubuh untuk menukarkan lemak kepada tenaga juga sudah merosot berbanding ketika kita muda dulu. Malah selepas menjengah usia 40, kebanyakan orang sudah kurang aktif dan penggunaan tenaga juga tidak sebanyak dulu. Inilah langkah yang paling mudah untuk menjaga berat badan.

2. Lebihkan pengambilan serat
     Sistem perkumuhan yang lambat boleh menyebabkan sesetengah orang mengalami masalah sembelit. Lebihkan makanan berserat untuk membantu melawaskan proses perkumuhan dan meningkatkan penghadaman.

3. Lebihkan minum air

     Jangan tunggu sehingga berasa haus kerana deria rasa kita mungkin tidak aktif seperti dulu. Minum banyak air supaya badan sentiasa terhidrat dan ia juga akan memudahkan proses perkumuhan.

4. Mula berjinak dengan vitamin dan mineral

     Walaupun pada asasnya kita sepatutnya memperoleh vitamin dan mineral daripada makanan, tetapi dengan corak pemakanan masyarakat kita sekarang, sukar untuk badan menerima semua khasiat yang diperlukan setiap hari terutama bagi yang kurang makan sayur dan buah. Namun dapatkan pandangan doktor terlebih dulu sebelum mengambil sebarang makanan tambahan.

5. Makan sedikit tetapi kerap

     Ada yang mencadangkan makan lima kali sehari (tiga masa makan yang mengenyangkan dan dua kali snek). Cara ini akan membantu kita mengekalkan tenaga sepanjang hari dan mengelakkan kita daripada makan berlebihan.

6. Sediakan makanan ringan yang sihat

     Jika selera berkurangan, ambillah makanan ringan yang sihat dan mudah dimakan seperti roti gandum penuh, bijirin, susu, buah-buahan, yogurt, keju atau sup.

7. Amalkan penjagaan oral (mulut) yang baik
     Kekurangan gigi atau penggunaan gigi palsu mungkin boleh menjejaskan pemakanan. Amalkan membersihkan gigi setiap kali selepas makan untuk mengelakkan sisa makanan terselit di celah gigi dan boleh menyebabkan kaviti serta masalah bau nafas. Ini amat penting khususnya selepas mengambil makanan yang kuat baunya seperti sajian mengandungi banyak bawang, rempah, durian, petai dan jering.

8. Mulakan bersenam
     Senaman yang paling mudah, ringkas dan semula jadi ialah berjalan. Kita tidak perlukan sebarang peralatan kecuali sepasang kasut sukan yang baik. Bagi yang tidak pernah bersenam, boleh memulakan aktiviti berjalan ini di sekitar kawasan rumah selama 15 hingga 20 minit, mengikut kemampuan. Apabila sudah biasa, tambahkan tempoh dan jaraknya. Selang-selikan antara berjalan cepat, berjalan biasa dan berlari anak bagi memberi impak yang lebih baik.

9. Kekalkan keseronokan

     Jadikan waktu makan satu perkara yang menyeronokkan. Caranya makan bersama keluarga atau teman, juga boleh menikmati sajian di beranda atau luar rumah sambil menghirup udara segar dalam suasana dan persekitaran berbeza.

Disediakan oleh:
Unit Khas Sains Kesihatan,
Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2016/2017

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]