[ KALAM PIMPINAN: KEPIMPINAN PEMANGKIN KESATUAN UMMAH ]
[ KALAM PIMPINAN: KEPIMPINAN PEMANGKIN KESATUAN UMMAH ]
Alhamdulillahirabbil ‘Alamin. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, tuhan yang Maha Agung, yang mengikat hati-hati hambaNya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Mustofa, Muhammad SAW serta seluruh ahli keluarga baginda SAW. Juga kepada para sahabat baginda yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Islam amat menitikberatkan soal kepimpinan dan meletakkannya sebagai tonggak utama dalam kehidupan manusia kerana kepimpinan merupakan tunjang utama bagi kesatuan ummah. Allah menciptakan manusia adalah untuk menjadi pemimpin di muka bumi ini. Pemimpin dalam skop yang lebih luas meliputi dirinya, masyarakat setempat dan juga keluarga.
Nabi Muhammad SAW pernah bersada :
كُلُّكُمْ راعٍ وكُلُّكُمْ مسئولٌ عنْ رعِيَّتِهِ. والأِمَامُ رَاعٍ ومسئولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. والرَّجُلُ رَاعٍ في أَهْلِهِ ومسئولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. والمرْأَةُ راعِيةٌ في بيْتِ زَوْجِهَا ومسئولة عنْ رعِيَّتِهَا. والخَادِمُ رَاعٍ في مالِ سيِّدِهِ ومسئولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ. فكُلُّكُمْ راعٍ ومسئولٌ عنْ رعِيتِهِ
“Ingatlah setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang amir dalam kalangan masyarakatnya menjadi pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka. Seorang lelaki menjadi pemimpin terhadap keluarganya dan bertanggungjawab atas mereka. Seorang wanita menjadi pemimpin dalam rumah tangganya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab atas mereka, seorang hamba sahaya menjadi pemimpin terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap daripada kalian pemimpin dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya.”
(Hadis riwayat Imam Muslim)
Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa setiap pemimpin akan dipersoalkan tentang kepimpinan mereka. Ini bermakna setiap pemimpin akan dihitung segala amal perbuatannya. Sekiranya mereka berlaku jujur dan adil atas kepimpinannya, maka mereka akan dibalas baik oleh Allah swt diakhirat kelak. Adapun jika sebaliknya, maka Allah akan membalas buruk dengan apa yang telah mereka kerjakan.
Kita selaku mahasiswa/wi di Mesir amat beruntung sekali kerana berada di bawah kepimpinan Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutan Mesir (BKAWM). Dengan tertubuhnya BKAWM ini, ia dapat menjaga kebajikan dan kesatuan mewakili seluruh anak-anak Wilayah Persekutuan yang berada di bumi Mesir ini.
Untuk mencapai matlamat kebajikan Islam, setiap pimpinan haruslah menjadikan metode pimpinan Rasulullah SAW sebagai teladan terbaik mereka.
Ini kerana Rasulullah SAW bukan sahaja menyampaikan risalah dan ajaran Islam semata-mata, bahkan baginda sendiri juga adalah pemimpin dan negarawan yang bijak . Segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda mencerminkan keperibadian Islam yang dituntut dan dikehendaki oleh Allah SAW untuk dicontohi oleh umat manusia.
Firman Allah di dalam surah al-Ahzab ayat 21,
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلْيَوْمَ ٱلْءَاخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya, “ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” .
Firman Allah ini dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik untuk kita bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain, Rasulullah SAW adalah "role model" bagi setiap pemimpin di muka bumi ini.
Di samping kesibukan kita belajar di universiti dan di tempat-tempat pengajian sekitarnya, jangan lupa, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan komuniti mahasiswa/wi di perantuan ini sentiasa utuh dan bersatu. Melalui gerak kerja berpersatuan inilah, kesatuan dan kebersamaan mahasiswa/wi dapat diperkukuh dan dieratkan.
Sebagai contoh dalam menguruskan sebarang aktiviti, perjumpaan dan perbincangan, kerjasama antara mahasiswa amat diperlukan bagi memastikan aktiviti yang dirancang dapat dijalankan dengan baik. Melalui gerak kerja berpesatuan inilah mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama kita dan mengajar kita untuk sentiasa bantu-membantu antara satu sama lain.
Selaku mahasiswa/wi yang rabbani, kita haruslah sentiasa membantu dalam menyumbang buah fikiran kepada pimpinan dan bekerjasama dalam apa jua gerak kerja agar segala kebajikan ahli dapat dijaga bersama dengan sebaiknya.
Nabi SAW bersabda :
خَيْرٌ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلْنَّاسِ
"Sebaik-baik manusia adalah orang yang memanfaatkan dirinya untuk manusia lain"
Akhir sekali, saya mengharapkan agar mahasiswa/mahasiswi Wilayah Persekutuan Mesir terus istiqamah bersama-sama dengan BKAWM agar kesatuan ini dapat dijaga. Diharapkan agar semua peringkat dapat memainkan peranan dan posisi masing-masing dengan kefahaman yang jitu dan tulen agar kesatuan kita tidak goyah digoncang anasir-anasir yang memecah-belahkan kesatuan ini.
Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 103,
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟
Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecah belah
BKAWM Keluarga Kita!
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Abdul Syahid bin Abdul Ahad,
Ketua Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
BKAWM Sesi 2017/2018.
Comments
Post a Comment