[ KALAM PIMPINAN: MENANGKIS RUWAIBIDHAH DALAM DIRI ]



بسم الله الرحمن الرحيم 
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين 


Firman Allah SWT:-

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ دِينَكُمۡ هُزُوٗا وَلَعِبٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَٱلۡكُفَّارَ أَوۡلِيَآءَۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِين

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum kamu. Dan orang-orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman. (Surah al-Ma'idah: 57) 

Dunia kini telah menjadi pentas yang semakin bebas kepada umat manusia untuk mereka sampaikan apa sahaja yang ingin disampaikan. 

Ada yang ingin berkongsi ilmu pengetahuan. Ada yang ingin luahkan perasaan. Ada pula yang ingin berikan pendapat tentang sesuatu isu. Ada juga yang cuba berlagak pandai dengan paling pantas untuk merespon tentang suatu perkara yang sedang giat 'viral' dan banyak lagi jenis-jenis manusia atau 'netizen' yang wujud di muka bumi ini. 

Dengan adanya platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tik Tok, Youtube dan sebagainya, makin berleluasalah sesuatu maklumat itu dapat disampaikan dan dapat disebarkan. Tidak dinafikan banyak perkara baik yang terdapat dalam media sosial ini. Namun, dari media sosial ini jugalah manusia menjadi bebas untuk berkata-kata apa sahaja. 

Berdasarkan firman Allah di atas, Allah melarang untuk kita menjadikan seseorang yang mempermainkan atau mempersendakan agama sebagai penolong bagi kita. Larangan ini sangat sejajar dengan situasi kita kini. 

Ramainya orang ingin menyampaikan berkaitan ilmu-ilmu agama, tetapi beberapa di antara mereka yang samar-samar dasar ilmunya. Cabaran penuntut ilmu masa kini adalah mencari guru atau pembimbing yang berlandaskan dasar ilmu yang benar. 

Begitulah realiti zaman kini, orang yang benar ditolak, disisih malahan dihina. Manakala, orang yang jahil diangkat, disanjung dan juga dijadikan sandaran dan teladan dalam kehidupan. Kita perlu sedar kita telah hampir sampai ke akhir zaman, iaitu zaman yang telah Nabi Muhammad SAW sebutkan dalam sebuah hadis; 

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ. قيل: وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال: الرجلُ التَّافَهُ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ 

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”. (Riwayat Ibn Majah) 

Nabi Muhammad SAW telah gariskan dan sampaikan dalam hadis ini kepada kita berkaitan tanda-tanda hari akhirat itu telah hampir iaitu dunia ini penuh dengan penipuan dan tipu daya. 

Mereka yang pendusta itu dipercayai, manakala mereka yang benar pula didustai. Orang yang amanah dikatakan pengkhianat dan tidak didahulukan dalam pemberian amanah, manakala pengkhianat atau pendusta pula yang lebih teruatama dalam taklifan amanah. 

Zaman yang disebutkan dalam hadis ini juga dinamankan sebagai zaman ketandusan. Ketandusan dari segi material dan juga pemikiran. Maka, terlahirlah satu golongan yang dinamakan 'Ruwaibidhah'. 

• Apakah yang dimaksudkan dengan 'Ruwaibidhah'? 

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi Ruwaibhidah, antaranya ialah: 

Ruwaibhidah adalah sighah tasghir bagi Rabhidah (رابضة) dan ta’ marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Rabhidah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. 

Erti kata lain, golongan ini tidak tahu apa-apa tetapi tetap ingin mengulas sesuatu walaupun tidak tahu dan bukan ahli dalam perkara tersebut. Mereka ini nabi telah sebut, adalah golongan yang hina tetapi masih ingin menguruskan urusan dunia. 

Bahasa yang lebih dekat dengan kita masa kini adalah 'Palatau'. 'Palatau' atau 'Kepala Tahu' ini adalah orang yang berlagak tahu setiap perkara sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut. Sifat ataupun golongan seperti ini sangat bahaya kerana dia akan mendorong orang dalam kesesatan dan merosakkan apa yang dibawanya. 

• Punca wujudnya golongan 'Ruwaibidhah'. 

Antara punca utama yang dapat kita lihat adalah kurangnya ilmu dalam diri dan sombong untuk menambah ilmu pengetahuan. Apabila seseorang itu bertindak dalam sesuatu perkara dengan tidak didorong atau didasarkan dengan ilmu, maka akan rosaklah perkara tersebut. 

Apabila disebut berkaitan ilmu, antara tanda-tanda akhir zaman juga adalah hilangnya ilmu dengan diangkatnya atau dicabut nyawa ulama dan para ilmuwan. 

ﺇِﻥَّ ﺍﻟﻠﻪ ﻻ ﻳَﻘْﺒِﺾُ ﺍﻟﻌِﻠْﻢَ ﺍﻧْﺘِﺰَﺍﻋَﺎً ﻳَﻨْﺘَﺰِﻋُﻪُ ﻣﻦ ﺍﻟﻌِﺒﺎﺩِ ﻭﻟَﻜِﻦْ ﻳَﻘْﺒِﺾُ ﺍﻟﻌِﻠْﻢَ ﺑِﻘَﺒْﺾِ ﺍﻟﻌُﻠَﻤَﺎﺀِ ﺣﺘَّﻰ ﺇﺫﺍ ﻟَﻢْ ﻳُﺒْﻖِ ﻋَﺎﻟِﻢٌ ﺍﺗَّﺨَﺬَ ﺍﻟﻨﺎﺱ ﺭﺅﺳَﺎً ﺟُﻬَّﺎﻻً ، ﻓَﺴُﺌِﻠﻮﺍ ﻓَﺄَﻓْﺘَﻮْﺍ ﺑِﻐَﻴْﺮِ ﻋِﻠْﻢٍ ﻓَﻀَﻠُّﻮﺍ ﻭَﺃَﺿَﻠُّﻮﺍ 

“Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak mengangkat ilmu dengan sekali cabutan dari para hamba-Nya, akan tetapi Allah mengangkat ilmu dengan mewafatkan para ulama. Ketika tidak tersisa lagi seorang ulama pun, manusia merujuk kepada orang-orang bodoh. Mereka bertanya, maka mereka (orang-orang bodoh) itu berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan.“ 

Dengan ketiadaannya mereka, ilmu itu semakin pudar dalam masyarakat dan masyarakat pula tidak mementingkan aspek ilmu malahan orang-orang salah diangkat. 

Masyarakat pula ingin terkehadapan dalam apa-apa perkara tetapi tidak menyampaikan dengan ilmu. Masyarakat yang menerima pula juga tidak menerima dengan berlandaskan ilmu. 

Maka, benarlah mereka yang pendusta dikatakan benar dan mereka yang benar dikatakan dusta kerana apa yang disampaikan dan apa yang diterima didasari dengan nafsu bukannya ilmu. 

Kian hari yang mendatang, dunia dipenuhi dengan pendusta. Di depan kelihatan dipercayai, hakikatnya di belakang dikhianati. Amanah pula diberikan kepada yang bukan selayaknya, mengakibatkan banyak kebinasaan yang melanda. 

• Kesan daripada golongan 'Ruwaibidhah'. 

Kita dapat lihat di sekeliling kita apa yang berlaku jika golongan yang salah terkehadapan. Sistem-sistem di dunia ini semakin pincang dan tersasar dari landasan al-Quran dan as-Sunnah yang benar lagi membenarkan. 

Umat Islam makin ditindas. Amat tragis lagi apabila umat Islam sendiri yang bersekongkol dengan orang kafir dalam menjatuhkan umat Islam. Segala hak-hak manusia juga seorang muslim semakin disisihkan. 

Kita perlu berhati-hati dengan perancangan musuh Islam. Mereka ini tidak akan putus asa dalam usaha menjatuhkan dan menyesatkan umat Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan firman Allah SWT; 

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ 

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). (Surah al-Baqarah: 120) 

Puak-puak mereka tidak akan berhenti menyesatkan sehingga kita mengikut ajaran mereka. Semoga kita dijauhkan dengan perancangan mereka yang sangat licik kerana Allah berfirman; 

ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ 

Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. (Surah al-Baqarah: 146) 

Mereka ini sangat mengenali Islam melebihi daripada umat Islam itu sendiri. Perangilah dan jauhilah dari tindak-tanduk musuh untuk menjatuhkan Islam. 

• Menangkis sifat 'Ruwaibidhah' dalam diri. 

Kita perlu berjaga-jaga dan berhati-hati dengan sifat golongan 'Ruwaibidhah' ini, takut-takut sifat itu wujud dalam diri kita. Antara tindakan yang kita boleh laksanakan adalah:- 

1. Menuntut Ilmu dan juga menyebarkannya. 

Ilmu ibarat cahaya yang menerangi kegelapan. Begitulah keperluan ilmu dalam diri, agar ia menerangi dan menghilangkan segala kejahilan dalam diri. Apabila kita melakukan sesuatu perkara dengan ilmu, setiap tindakan kita pasti di jalan yang benar dan sentiasa diredai Allah. 

Dalam menuntut ilmu, perlulah seiring dengan melazimi amalan yang soleh serta meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Bak kata Al-Imam Asy-Syafi'i; 

ﻗﺎﻝ ﺍﻻﻣﺎﻡ ﺍﻟﺸﺎﻓﻌﻲ: ﺷﻜﻮﺕ ﺇﻟﻰ ﻭﻛﻴﻊ ﺳﻮء ﺣﻔﻈﻲ - ﻓﺄﺭﺷﺪﻧﻲ ﺇﻟﻰ ﺗﺮﻙ ﺍﻟﻤﻌﺎﺻﻲ ﻭﺃﺧﺒﺮﻧﻲ ﺑﺄﻥ ﺍﻟﻌﻠﻢ ﻧﻮﺭ ﻭﻧﻮﺭ ﺍﻟﻠﻪ ﻻ ﻳﻬﺪﻯ ﻟﻌﺎﺻﻲ 

Maksudnya: " Saya (Al-Imam Asy-Syafi'i) mengadu ke Waqi' tentang daya hafalku yang buruk. Kemudian beliau menyarankan saya untuk meninggalkan maksiat. Beliau juga memberitahukan saya bahwa ilmu adalah cahaya, cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang bermaksiat ". 

Ilmu yang dipelajari juga perlu seiring dengan menyebarkan dan menyampaikannya. Nabi Muhammad SAW bersabda; 

بلغوا عني ولو آية 

Maksudnya: Sampaikanlah kamu daripadaku walaupun sepotong ayat. 

Nabi kita telah menyuruh kita untuk menyampaikan ilmu kepada orang lain dan perlulah ilmu tersebut benar dan bermanfaat. 

Ilmu yang dipelajari dan yang disampaikan kepada masyarakat perlulah dengan ilmu yang sahih agar ia diambil dan diamalkan serta tersebar hingga ke seluruh alam. Oleh itu, segala kebatilan akan dihapuskan dengan tersebarnya kebenaran. 

2. Mendampingi dan melazimi masyarakat. 

Lumrah manusia adanya masyarakat di sekeliling. Keperluan untuk bersama dalam masyarakat adalah keperluan yang sangat penting. Ia akan mendidik diri kita agar lebih matang dan berfikir ke hadapan. 

عن عبد الله بن عمر -رضي الله عنهما- عن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: «المؤمن الذي يخالط الناس, ويصبر على أذاهم خير من الذي لا يخالط الناس ولا يصبر على أذاهم». 

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan dari Nabi SAW, beliau bersabda, "Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan sabar atas gangguan mereka, lebih baik dari orang Mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak sabar atas gangguan mereka." 

Hadis di atas menunjukkan seseorang mukmin itu bergaul dengan masyarakat lebih baik daripada yang tidak bergaul dengan masyarakat. Masyarakat yang kita duduk bersama ini akan banyak kita pelajari dan juga dinasihati. 

Jika ada kesalahan yang kita lakukan, pasti mereka akan menegur dan membantu tarik kembali ke jalan yang benar. Manakala jika kita bersendirian, tiada siapa yang akan menegur kita malahan kita akan terus hanyut dalam kebinasaan. 

3. Memilih pemimpin yang amanah dan adil. 

Adanya masyarakat, pasti adanya organisasi. Adanya organisasi, pasti adanya pemimpin. Pilihan pemimpin dalam satu organisasi bukanlah suatu perkara yang remeh malahan ia perkara yang perlu dititikberatkan. Jika salah memilih pemimpin, maka rosaklah organisasi tersebut. 

Ciri-ciri pemimpin yang dipilih perlulah seorang yang amanah dan juga adil. Amanahnya dalam setiap tugasnya dan tidak mengkhianati untuk kepentingan diri. Adilnya dalam setiap tindakannya, meletakkan sesatu hak pada tempatnya dan mengambil juga sesuatu pada haknya. 

Jika kitalah yang Allah takdirkan untuk memimpin, pimpinlah dengan berlandaskan ilmu dan syariat. Taklifan itu daripada Allah. Perlulah lakukannya kerana Allah bukan kerana siapa-siapa. Ilmu yang didasarkan akan memandu setiap tindakan kita ke arah yang benar. 

Jangan biarkan orang atau golongan yang salah dalam memimpin. Takut-takut kita rasakan dia yang layak, tetapi dia sebaliknya akan memakan semula diri kita. 

Lantiklah orang yang benar. Banteraslah kebatilan. Kebatilan itu tersebar kerana diamnya orang yang benar dan bersuaranya orang yang batil. Pilihlah pemimpin sebaiknya kerana ia menentukan masa depan sesuatu organisasi. 

Dunia kita makin berakhir. Sebagai seorang mahasiswa yang bertanggungjawab, tunaikanlah segala hak sebagai seorang penuntut ilmu. Juga tidak lari dari tanggungjawab sebagai seorang masyarakat yang perlu sentiasa perbaiki diri dan juga orang sekeliling. 

Teruskan menuntut ilmu kerana ilmu itu tidak akan habis. Tuntutlah ilmu sedalam-dalamnya, tidak kira ilmu turathi mahupun kontemporari. Kita akan dapat rasai manisnya kefahaman dan indahnya kebenaran. 

Bergaullah dengan masyarakat walaupun akan menghadapi segala kemusykilan dan kekhilafan, kerana segala kesusahan itu bersamanya kemudahan juga mengajar kita erti kehidupan. 

Akhir sekali, jadilah pemimpin dan pilihlah pemimpin yang betul-betul memimpin ke jalan Illahi. Pemimpin yang baik itu kerana ahlinya yang baik. Ahli yang baik itu kerana pemimpinnya yang baik. 

Kita bersama sambut seruan ini. Teruskan perjuangan hingga ke titisan darah yang terakhir. 

Sekian, terima kasih. 

Disediakan oleh:
KHAIRUL IEMAN BIN AZMI
Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020 
"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]