[ KALAM PIMPINAN: UMAT AKHIR ZAMAN ]




بسم الله الرحمن الرحيم

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

   Alhamdulillah hingga ke saat ini kita masih lagi diberi peluang untuk merasakan nikmat Iman dan Islam yang merupakan hasil dari usaha dan pengorbanan para ulama dan pendakwah yang berterusan dalam memikul tugas yang diwariskan oleh Baginda Muhammad SAW. Dengan semangat inilah Islam dapat tersebar luas ke persada dunia termasuklah ke negara kita sendiri.

عن أبي زيد عمرو بن أخطب الانصاري رضي الله عنه قال: "...فأخبرنا ما كان وما هو كائن فأعلمنا احفظنا." (رواه مسلم)

Maksudnya: Daripada Abu Zaid, Amr bin Akhtab al-Anshari r.a, katanya: “…Baginda memberitahu kepada kami perkara-perkara yang telah terjadi dan perkara-perkara yang bakal terjadi. Maka sesiapa yang terpandai di antara kami, dialah yang paling banyak menghafalnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

   Hadis tersebut merakamkan khutbah Baginda SAW yang panjang menerangkan tentang hal-hal permulaan penciptaan makhluk hingga ke akhir zaman dan perkara-perkara berkaitan alam barzakh dan hari kiamat. Banyak lagi hadis lain yang Rasulullah SAW tinggalkan kepada kita sebagai garis panduan untuk menghadapi dan menyelesaikan permasalahan sepanjang zaman.

عن ثوبان رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يوشك الأمم أن تداعى الأكلة إلى قصعتها، فقال قائل: ومن قلة نحن يومئذ؟ قال بل أنتم يومئذ كثير ولكنكم غثاء كغثاء السيل، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم، وليقذفن الله في قلوبكم الوهن، فقال قائل: يا رسول الله وما الوهن؟ قال: حب الدنيا وكراهية الموت. (رواه ابو داود)

Maksudnya: Daripada Tsauban r.aberkata: Rasulullah SAW bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’”. Seorang sahabat bertanya: “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Cinta pada dunia dan takut pada mati”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

   Begitulah keadaan umat Islam pada akhir zaman, lebih pada kuantiti tetapi kurang pada kualiti dan seringkali dipersendakan dan ditindas sehingga wujudnya fenomena “Islamofobia”. Rasulullah SAW juga ada menyebutkan penyakit umat akhir zaman iaitu cintakan dunia dan takutkan mati. Hakikatnya, penyakit inilah punca kepada segala kemunduran Islam. Lebih memilih kehidupan di dunia yang sementara sehingga leka tidak membuat persiapan untuk akhirat sana.

  Tidak perlu untuk kita lihat jauh, cukup dengan lihat di negara kita sendiri pun sudah boleh nampak bermacam kes dan musibah yang menimpa umat Islam. Pelakon muslimah diminta untuk menanggalkan tudung demi menaikkan  rating filem, anak didera sehingga meninggal dunia, pendakwah dicalit dengan pelbagai skandal tidak senonoh dan banyak lagi. Keadaan ini amat menyedihkan dan merisaukan bagi kita umat Islam yang sepatutnya menjadi cerminan kepada peribadi Islam yang unggul dan mulia.

  Koreksi diri dan renungkan, apakah sumbangan dan usaha yang kita telah lakukan untuk mempertahankan agama Islam? Sudah adakah hujah untuk kita kemukakan apabila kita ditanya tentang saudara-saudara kita di akhirat kelak? Sungguh, kita hanya akan menzalimi diri sendiri jika kita hanya memperbaiki diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain.

عن ابي نجيح العرباض بن سارية رضي الله تعالى عنه قال: وعظنا رسول الله صلى الله عليه وسلم موعظة وجلت منها القلوب وذرفت منها العيون فقلنا يا رسول الله كأنها موعظة مودع فأوصنا، قال: أوصيكم بتقوى الله عز وجل والسمع والطاعة وإن تأمر عليكم عبد فإنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدين الهديين عضوا عليها بالنواجذ واياكم ومحدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة. (رواه ابو داود والترمذي)

Maksudnya: Dari Abi Najih “Irbadh bin Sariyah r.aberkata: “Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda: “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang Panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyyin  dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

   Hadis di atas mengandungi pesanan dan nasihat yang amat berharga daripada Rasulullah SAW bagi umatnya, terutamanya apabila berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan seperti zaman yang kita hadapi sekarang ini.  Perumpamaan “gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham” ini menunjukkan betapa hebat dan dahsyatnya ujian dan fitnah di akhir zaman. Kita tidak boleh hanya mengharapkan usaha dari orang lain malah kita sendiri yang perlu kuatkan jati diri dengan memantapkan ilmu di dada dan beramal dengannya kerana itulah senjata utama umat Islam pada masa kini.

   Justeru itu, bersiap siagalah kita bersama dalam menghadapi ujian dan fitnah akhir zaman. Moga-moga kita tergolong dalam golongan mereka yang selamat dan dalam lindungan Allah SWT. Wallahua’lam.

Disediakan oleh:
NUR QASDINA BT MOHD IHWAN
Timbalan Unit Kemasyarakatan Sukan dan Rehlah
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2019/2020 

"Memperkasakan Kebajikan, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]