[ KALAM PIMPINAN: BAHTERA KESATUAN ]
[ KALAM PIMPINAN: BAHTERA KESATUAN ]
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wrh wbt
Alhamdulillah bersyukur kepada Allah di atas pemberian nikmat yang tidak terhingga terutamanya nikmat iman dan Islam yang merupakan nikmat terbesar yang wajib kita syukuri. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta para sahabat baginda.
Islam merupakan agama yang menyatukan semua umat manusia tidak mengira bangsa, kaum dan keturunan. Kita boleh melihat semula sirah baginda Nabi Muhammad bagaimana baginda mempersaudarakan antara suatu kaum dengan kaum yang lain. Hasilnya kita boleh lihat dan nikmati Islam yang kini berada di seluruh pelusuk dunia.
Islam juga menitikberatkan nilai kesatuan dalam kalangan umatnya. Sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ هَٰذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ
Maksudnya: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah tuhan kamu maka beribadahlah (kepada-Ku)."
(Surah al-Anbiya’: Ayat 92)
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Maksudnya: "Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam."
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi)
Begitulah apa yang dibawa oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir iaitu membentuk sebuah kesatuan dan menolak sebarang anasir perpecahan selari dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir juga boleh diibaratkan seperti sebuah bahtera yang berlayar di lautan yang luas dan dipimpin oleh seorang ketua serta anak-anak kapal yang berada di bawah kuasanya. Pastinya terdapat pelbagai cabaran dan ujian yang melanda ketika sesi pelayaran menuju ke sebuah destinasi yang ingin dituju.
Mustahil tidak berlaku sebarang permasalahan antara ketua dan anak-anak kapalnya dalam mengemudi bahtera tersebut. Terdapat beberapa faktor dalaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam, antaranya:-
1. Orang mukmin yang mendengki.
2. Orang munafik yang membenci.
3. Orang kafir yang memerangi.
4. Syaitan yang menyesatkan.
5. Nafsu yang sentiasa berbisik.
Sama-samalah kita menjaga bahtera kesatuan yang telah dibina ini. Moga-moga Allah sentiasa merahmati kita semua.
Saya akhiri dengan sepotong ayat al-Quran dan hadis yang melarang umat Islam daripada berpecah belah. Firman Allah SWT:
وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا
Maksudnya: "Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah."
(Surah Ali Imran: Ayat 103)
Hadis yang diriwayatkan oleh ‘Arfajah bin Shuraih bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ يَدَ اللَّهِ عَلَى الْجَمَاعَةِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ مَنْ فَارَقَ الْجَمَاعَةَ يَرْكُضُ
Maksudnya: "Sesungguhnya tangan Allah bersama dengan jemaah. Dan sesungguhnya syaitan itu akan berlari bersama dengan mereka yang memisahkan diri dari jemaah (kelompok umat Islam)."
(Riwayat an-Nasa’ie)
Disediakan oleh:
MUHAMMAD FAIZ BIN MOHAMAD SHAHARIN
Bendahari Agung BKAWM sesi 2021
"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment