[ KALAM PIMPINAN: TUNTUTAN AMANAH ]

[ KALAM PIMPINAN: TUNTUTAN AMANAH ]

‎بسم الله الرحمن الرحيم
‎الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين

Firman Allah SWT:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ یَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّوا۟ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰۤ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَیۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُوا۟ بِٱلۡعَدۡلِۚ
 
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.”
[Surah an-Nisa’: Ayat 58]
 
Sabda Rasulullah SAW:

كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Kalian adalah pemimpin dan kalian akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinan kalian.” (HR. Bukhari dan Muslim)
 
Setiap daripada kita ada amanah yang perlu ditunaikan. Amanah sebagai hamba Allah, amanah sebagai anak, amanah sebagai pelajar, amanah sebagai pemimpin dan sebagainya. Semuanya akan dipersoal pada hari akhirat kelak. Tidak boleh tidak kita mesti berusaha untuk menunaikan amanah yang terpundak dengan sebaiknya mengikut kemampuan tersendiri.
 
Antonim bagi amanah ialah khianat dan ia merupakan antara sifat munafik. Semestinya kita tidak mahu tergolong dalam golongan munafik yang melihatkan betapa Allah dan Rasulullah SAW mengancam golongan ini di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
 
Imam al-Ghazali pernah ditanyakan oleh anak muridnya, “Apakah perkara yang paling berat di dunia ini?” dan beliau menjawab, “memegang amanah”. Beratnya amanah sehinggakan gunung yang utuh tinggi pun tak sanggup nak pikul amanah, hal ini disebutkan dalam al-Quran Surah al-Ahzab ayat ke-72. Dengan amanah juga mengakibatkan ramai dari kalangan manusia masuk ke neraka kerana berlaku khianat atau tidak menunaikan amanahnya dengan baik.
 
Setelah kita fahami konteks dan kepentingan melaksanakan amanah, maka perlulah kita usaha dan cari cara yang terbaik untuk menjayakannya. Terdapat beberapa perkara yang dapat membantu dalam melaksanakan amanah, antaranya:
 
• [ IKHLAS DAN JUJUR KERANA ALLAH ]

Firman Allah SWT:

‎وَمَن یُسۡلِمۡ وَجۡهَهُۥۤ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنࣱ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَـٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ 

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.”
[Surah Luqman: Ayat 22]

Rasa ikhlas akan menjadikan hati tenang dan lapang serta ringan dalam menjalankan amanah. Jujur pula akan menjadikan diri terus berusaha untuk tunaikan amanah dalam apa jua keadaan kerana merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya. Dua sifat ini akan hadir bila mana kita yakin bahawa amanah itu datang daripada Allah SWT. Seterusnya kita akan kembali kepada Allah dan sentiasa memohon taufiq dan pertolongan dari-Nya.

Adapun jika hadir rasa riyak atau menunjuk-nunjuk dalam menjalankan amanah, ia akan membuatkan taufiq dan pertolongan Allah terhalang serta menjadikan segala penat lelah dan keringat itu sia-sia. Ia juga akan menjadikan diri mengharapkan kepada balasan dan pujian dari manusia. Maka perlulah dihadirkan niat utama dalam menjalankan amanah iaitu semata-mata untuk menggapai keredaan Allah SWT.
 
• [ PERANCANGAN YANG RAPI ]

Pesan Sayidina Ali bin Abi Talib r.a.:

‎الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام

Maksudnya: “Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun.”

Bagi mencapai hasil yang baik perlukan kepada perancangan yang baik. Senaraikan objektif utama dan cara-cara untuk mencapainya atau istilah Bahasa Inggerisnya, Management by Objective (MBO). Setelah itu perlu dinilai semula prestasi adakah cara itu bagus dan mencapai objektif utama atau kata lainnya, Key Performance Indicator (KPI).
 
Pentingnya MBO dan KPI ini dalam merancang adalah supaya perjalanan dan pelaksanaan gerak kerja lebih teratur serta memudahkan jika menghadapi sebarang cabaran. Ia juga amat membantu dalam mencapai hasil yang terbaik.
 
Dalam konteks pelaksanaan amanah sebagai hamba Allah, antara usaha yang boleh dilakukan adalah menggunakan Mutabaah Amal untuk meningkatkan prestasi diri dalam beribadah. Dalam konteks sebagai penuntut ilmu pula, kita boleh usahakan dengan menyusun jadual belajar dan menggunakan teknik yang terbaik bagi mendapatkan ilmu dan kefahaman yang sebenar.
 
• [ ITQAN DALAM PELAKSANAAN ]

Sabda Nabi SAW:
 
‎إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun.”

Itqan atau tekun dalam pelaksanaan bermaksud usaha sehabis baik untuk menyempurnakan dan melaksanakan suatu tuntutan tanpa mengurangi sedikitpun.

Kita cuma perlu usaha yang terbaik dan serahkan hasil kepada-Nya kerana Dia menilai berdasarkan usaha dan bukannya hasil. Sekuat mana pun usaha dan kemampuan kita, tidak akan mampu tercapai hasil yang terbaik kecuali dengan taufiq dan pertolongan Allah.
 
Semakin luas medan tanggungan, maka makin besar dan beratlah amanah. Rentetan dari itu, perlulah ditingkatkan lagi usaha dan pergantungan kepada Allah SWT. Ala kulli hal, yakinlah bahawa Allah tidak akan pundakkan suatu bebanan amanah itu di luar kemampuan kita.

Firman Allah SWT:

رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۤۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ 

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”
[Surah al-Baqarah: Ayat 286]

Disediakan oleh:
NUR QASDINA BINTI MOHD IHWAN
Timbalan Setiausaha Agung,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2021

“Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan”
“BKAWM Keluarga Kita”
“Bersama Bersatu”

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]