Kalam Pimpinan - Kerohanian Dalam Menghadapi Peperiksaan
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji ke atas zat yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih yang di atas limpahan kurnia-Nya, hamba-hamba-Nya masih lagi dapat meneruskan hayat di alam yang fana ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Allah SWT, tuhan sekalian alam yang tiada tuhan yang berhak untuk disembah melainkan-Nya.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar, baginda Nabi Muhammad bin Abdullah, Rasulullah SAW, rasul utusan Allah SWT ke dunia bagi meratakan rahmat-Nya ke seluruh alam. Tidak dilupakan ahli bait serta para sahabat baginda yang mana, di atas pengorbanan mereka di dalam perjuangan inilah, kita pada hari ini di zaman ini masih lagi dapat merasai nikmat Iman dan nikmat Islam sebagaimana yang telah diwahyukan kepada Rasulullah SAW.
Daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah mengasihi seseorang yang apabila melakukan sesuatu kerja dia melakukannya dengan tekun.”
~Hadis Riwayat At-Tabrani
Di musim peperiksaan ini, sahabat sekalian pasti akan berhadapan dengan stres yang besar dalam meneruskan perjalanan hidup di bumi anbia ini, iaitu stres mengulang kaji pelajaran. Jangan bimbang dan jangan gundah kerana stres ini adalah suatu stres yang baik untuk kita bagi menghadapi peperiksaan yang sedang berlangsung. Jika tiada stres ini, maka sukar untuk kita menekan diri agar terus berusaha dengan sedaya upaya untuk mengulang kaji segala yang telah kita pelajari di kuliah.
Namun dalam kita menangani stres ini, pastinya ada unsur-unsur negatif yang dapat mengganggu usaha kita untuk menghadapi peperiksaan seperti malas, letih, tidak cukup tidur, boring, tension, perasaan tidak cukup masa dan pelbagai lagi perasaan yang dapat mengganggu kita daripada mengekalkan usaha yang terbaik dan konsisten. Oleh itu, perlu untuk kita sentiasa membersihkan diri kita daripada segala perasaan ataupun sifat negatif tersebut.
Diri kita terdiri kepada dua bahagian iaitu jasmani dan rohani. Kedua-dua bahagian ini merupakan aset utama bagi seseorang manusia yang hidup di dunia ini. Jasmani merujuk kepada anggota fizikal bagi manusia yang dapat dilihat dengan mata kasar. Manakala rohani menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud roh, batin, yang berkaitan dengan jiwa iaitu sesuatu semangat yang terdapat di dalam diri manusia dan roh ini tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia biasa.
Jika seseorang ingin memaksimumkan prestasi dirinya dan membersihkan dirinya dari sifat-sifat negatif maka dia perlulah memastikan kedua-dua bahagian dirinya ini dalam keadaan yang baik dan terpelihara. Kita semua pasti sudah jelas berkenaan dengan bagaimana untuk menjaga jasmani kita iaitu dengan menjaga pemakanan, melakukan senaman dan pelbagai lagi nasihat untuk menjaga kesihatan tubuh badan dan otak dalam musim peperiksaan kini. Tetapi adakah kita tahu bagaimana untuk memelihara rohani kita?
Dalam musim peperiksaan ini, pemeliharaan rohani perlu seiring dengan penjagaan anggota tubuh badan serta otak kita. Dengan penjagaan rohani dan jasmani yang seiring dapat memaksimumkan prestasi diri seseorang. Bagaimana menjaga rohani? Adakah sama seperti menjaga jasmani? Tidak jauh perbezaan penjagaan kedua-dua bahagian ini. Menjaga jasmani juga dapat memberi kesan kepada rohani secara tidak langsung. Contohnya, apabila pemakanan kita terjaga mesti tubuh kita akan bertenaga dan apabila tubuh kita bertenaga pasti jiwa kita tidak akan timbul perasaan malas untuk mengulang kaji atau menjalankan pekerjaan kita.
Begitu juga dengan rohani. Rohani perlu diberi didikan dan hanya diri kita yang boleh memberi didikan kepada rohani kita sendiri. Penjagaan rohani memerlukan mujahadah yang tinggi kerana menjaga sesuatu yang batin tidak semudah menjaga sesuatu yang zahir. Tetapi kalian tidak perlu risau kerana agama Islam sudah lama memberi garis panduan kepada kita tentang bagaimana untuk menjaga rohani individu tersebut.
Yang paling utama dalam menjaga rohani ialah kita melaksanakan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang. Dalam erti kata lain, melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk. Yang ingin disebutkan di sini ialah melaksanakan ibadah dan meninggalkan maksiat. Hanya dengan cara ini dapat memelihara rohani kita dari tercemar dek sifat-sifat yang negatif seperti yang telah disebutkan.
Dalam beribadah, ada ibadah yang wajib dan ada ibadah yang sunat untuk dilaksanakan. Ibadah wajib seperti solat, puasa dan berzikir ialah bagi mendidik jiwa seseorang agar sentiasa merasakan dirinya seorang hamba kepada zat yang lebih berkuasa ke atasnya, yang terikat dengan ketetapan yang telah diatur oleh Allah untuk kebaikannya. Ibadah sunat pula adalah ibadah yang telah diajar oleh Rasulullah SAW untuk mempercantikkan ibadah yang wajib dan untuk membentuk peribadi manusia ke tahap akhlak yang lebih mulia dan selayaknya bagi seseorang hamba terutamanya seorang muslim. Dengan mengamalkan ibadah wajib dan sunat ini secara istiqamah, pastinya rohani individu dapat dipelihara dengan sebaiknya.
Apabila rohani individu sentiasa dibersihkan dengan amalan tersebut barulah sifat positif dapat dipertingkatkan dan sifat negatif dapat diminimumkan. Maksudnya, barulah kita akan sentiasa rajin untuk berusaha secara optimum dan tidak sukar untuk kita melawan nafsu ataupun sifat malas yang terdapat dalam diri kita itu.
Apabila soal rohani kita sudah selesai, maka perjalanan kita dalam menghadapi peperiksaan tidak akan susah lagi. Ini kerana apabila rohani sudah bersih dan terdidik, sifat-sifat positif seperti rajin, komited, konsisten, dan sentiasa ceria akan membantu kita dalam proses mengulang kaji dan secara automatik sifat-sifat negatif seperti malas, tidak bersemangat, rasa boring dan tension dalam diri kita akan berkurangan.
Dengan rohani yang suci juga dapat meluaskan pemikiran kita untuk tidak merasakan peperiksaan dunia ini adalah segala-galanya. Rohani yang baik akan melihat kecemerlangan akhirat adalah lebih utama. Dengan mindset yang sebegini akan mengurangkan kebimbangan kita untuk gagal dalam peperiksaan. Bukanlah bermakna kita tidak perlu bimbang, tetapi kita perlu mengurangkan kebimbangan yang tidak perlu, yang hanya akan menyebabkan kita bertambah tension dan menimbulkan perasaan negatif. Dalam erti kata lain, dengan mindset sebegini, secara automatik kita telah menyerahkan segala urusan kita kepada Allah SWT. Dialah sebaik-baik perancang dan Dialah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
Di sini, saya mewakili seluruh kepimpinan BKAWM pada sesi ini ingin menyeru sahabat-sahabat, mahasiswa dan mahasiswi Islam sekalian untuk kita sentiasa berusaha dengan komitmen yang maksi mum untuk mempertingkatkan prestasi diri dengan meningkatkan pemeliharaan rohani kita agar ia dapat membantu kita dalam kita menghadapi peperiksaan fasa kedua ini.
Harapan kami adalah agar seluruh ahli BKAWM sekalian berjaya meraih kecemerlangan dengan natijah yang terbaik supaya dapat memberi khabar gembira kepada keluarga yang sedang menanti di Malaysia untuk kecemerlangan dalam jangka masa terdekat dan berjaya meraih keredaan Allah SWT di akhirat kelak untuk kecemerlangan sepanjang hayat. Siiru ‘ala barakatillah. Bittaufeeq Wannajaah!
“Tarbiah Ruhiyyah Membentuk Sahsiah“
KESATUAN UKHUWAH PEMANGKIN KECEMERLANGAN
MUHAMMAD SYAZWAN SYAMIL BIN MOHD RAZMAN
Ketua,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir [BKAWM],
Sesi 2011/2012.
Comments
Post a Comment