Pengisian Thaqafah Mengakhiri Ramadhan 1433 Hijrah
KAHERAH, 16 Ogos 2012 - Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2011/2012 di bawah program Ramadhan and Eidul Fitri Celebration 2012 (REIDHWAN’12) telah menganjurkan diskusi kitab bagi memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadhan yang lalu.
Berbeza dengan minggu-minggu sebelumnya, buku yang didiskusikan kali ini adalah dalam bahasa Inggeris bertajuk Islam and Love. Buku tersebut telah didiskusikan oleh jemputan khas, saudara Muhammad Yazid bin Hanzir yang merupakan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Johor Mesir (BKPJM).
Majlis telah bermula sekitar jam 10.00 pagi. Dengan kefasihan berbahasa Inggeris, saudara Muhammad Yazid yang juga merupakan mahasiswa tahun 4 jurusan Perubatan Universiti Al-Azhar berjaya menarik perhatian mahasiswa yang hadir dengan huraian yang menarik berserta tayangan yang disediakan oleh beliau.
Beliau selesai mendiskusikan kitab tersebut sekitar jam 11.45 pagi. Yang Dipertua BKAWM, saudara Mohd Mawardi bin Mohd Zain mewakili pijak penganjur menyampaikan cenderahati kepada saudara Muhammad Yazid atas kesudian beliau mendiskusikan buku Islam and Love. Majlis ditutup dengan solat Zohor berjemaah.
Sebelum itu pada 13 dan 14 Ogos 2012, REIDHWAN’12 telah menganjurkan majlis pengajian buku Silsilah Hadis-hadis Terpilih 2 yang telah disampaikan oleh saudara Hairul Nizam bin Mat Husain yang juga merupakan penulis buku tersebut.
Majlis telah bermula pada jam 10.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari pada kedua-dua hari tersebut. Saudara Hairul Nizam dengan cara yang tersendiri berjaya memberikan penjelasan panjang lebar berkaitan perawi, intipati dan pengajaran hadis.
Sebanyak 10 hadis berjaya dipelajari dan didalami oleh mahasiswa yang hadir pada kedua-dua hari tersebut. Sebelum majlis berakhir pada hari kedua, Timbalan Yang Dipertua, saudara Muhammad Syazwan bin Hamzah mewakili pihak penganjur menyampaikan cenderahati kepada saudara Hairul Nizam.
REIDHWAN’12 telah menjalankan pengisian-pengisian berbentuk thaqafah bagi memenuhi masa singgang mahasiswa khususnya anak-anak Wilayah Persekutuan pada minggu terakhir Ramadhan yang lalu. Semoga segala ilmu yang diterima dimanfaatkan sebaik mungkin demi kesinambungan Islam.
Mamartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan
Kesatuan Ukhuwah Pemangkin Kecemerlangan
Comments
Post a Comment