HTU '12 - Menaut Ukhuwah, Membina Kebersamaan

Kaherah, 5 Oktober 2012 - Urus Setia Sambutan Mahasiswa Baru (USMB) telah mengadakan program Hari Tautan Ukhuwah (HTU '12) bermula 1 hingga 3 Oktober 2012 yang bertujuan membina persediaan buat para peserta yang merupakan pelajar - pelajar baru yang tiba di Mesir 29 September lalu.

Pada sesi kali ini, Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir telah menerima kedatangan 24 orang pelajar baru yang terdiri daripada 6 orang pelajar Pengajian Islam dan 18 orang pelajar Perubatan.
Program telah berlangsung dengan lancar dan diadakan di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan (ARWP).

Pelbagai slot menarik telah dijalankan bertujuan memberi persediaan awal kepada mereka dalam memasuki alam mahasiswa di Mesir. Antara yang menarik ialah slot berbentuk pengisian seperti Slot Teknik Muamalah dengan Arab Mesir, Slot Talkshow Alam Mahasiswa, Slot Mesir: Antara Permata dan Kaca serta Slot Forum Motivasi dan Kecemerlangan.

Selain itu, mereka turut diberi pendedahan tentang universiti dan sistem pengkuliahan masing-masing melalui Slot Senat Fakulti. Slot Penerangan Discussion Group pula bertujuan memberi kefahaman akan keperluan dan kepentingan berusrah.
Bukan itu sahaja, para peserta juga mendapat pengisian berbentuk praktikal melalui slot Gerak Kerja Berkumpulan (GKB) yang dikendalikan oleh para fasilitator.
Pada hari ketiga pula, para peserta telah dibawa melawat sekitar Kaherah bersama fasilitator bagi mengenali Mesir dengan lebih dekat. Antara tempat menarik yang dilawati termasuklah Universiti al-Azhar, Masjid al-Azhar, Makam Saidina Hussain dan Makam Imam Soleh Ja’fari.
Pengarah USMB, saudara Muhammad Syazwan Syamil bin Muhd Razman berkata HTU merupakan medium terbaik bagi pelajar baru menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya Mesir.

“Diharapkan para peserta mendapat input yang berguna sepanjang program berlangsung serta mempraktikkan perkara yang dipelajari dalam kehidupan sebagai mahasiswa Islam di Mesir,” ujar beliau lagi.
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir mengucapkan selamat datang kepada pelajar-pelajar baru dan berharap mereka dapat menggunakan peluang yang ada untuk mengutip segala ilmu yang ada di sini dan seterusnya memberi khidmat bakti di Malaysia kelak.

'BKAWM Keluarga Kita'
'Keunggulan Sahsiah Wasilah Keilmuan'

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]