Forum Motivasi Memorabilia dan Sambutan Hari 'Asyura
KAHERAH,29 November - Pada 24 November 2012 yang lalu, Badan
Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKAWM) di bawah Unit Pendidikan dan
Pengetahuan (UPEP) telah menganjurkan Forum Motivasi Memorabilia sempena
imtihan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Program diserikan dengan kehadiran tiga ahli panel yang
dijemput khas dari kalangan pelajar pengajian islam dan perubatan bertepatan
dengan usul Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir (PMRAM) pada tahun ini iaitu
‘memperkasakan hubungan baik antara mahasiswa pengajian islam dan sains
kesihatan ’. Antara ahli panel yang dijemput ialah Saudara Mohamad Sarkawi bin
Mohamad Salleh, mantan Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang
Mesir, saudari Mardhiah Nordin, Ketua Unit Pendidikan dan Komunikasi Bahasa,
HEWI PMRAM serta Dr. Aisyah Zahirah Sukeri, Timbalan Presiden II Persatuan
Pelajar – pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN).
Forum motivasi kali ini bertajuk Sinergi: Sahsiah dan Ilmu,
sejajar dengan tema pembawaan BKAWM sesi ini iaitu ‘Keunggulan Sahsiah Wasilah
Keilmuan’. Topik ini telah dikupas dari pelbagai sudut dan telah membawa forum
menjadi amat menarik dan bermanfaat. Ditambah pula dengan kehadiran moderator
jemputan, iaitu saudara Jasri Raimy Johari yang begitu bersemangat dan
bertenaga dengan pelbagai persoalan yang diajukan.
Antara isi yang menarik ialah penekanan terhadap niat dalam
menuntut ilmu, bertepatan dengan hadith pertama dalam Matan Arba’in Nawawi,
‘Sesungguhnya
setiap amalan itu bermula dengan niat.’
Seterusnya, panel menjelaskan pula, perkara – perkara yang
dapat membentuk sahsiah diri, iaitu hati, nafsu dan akal, dikuatkan lagi dengan
kisah – kisah para fuqaha seperti Imam Syafie dan pelbagai kisah lain. Program
menjadi segar apabila moderator bijak mengawal suasana dengan gurauan bersahaja
yang mencuit hati para hadirin.
Sebelum program menutup tirai, para hadirin telah disajikan
dengan sedikit halwa mata iaitu tayangan video dari WIMAC dan hidangan bubur
a’syura yang disediakan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan (LDPI) bersempena
Hari ‘Asyura. Majlis berakhir pada jam 11 malam.
Comments
Post a Comment