Kalam Pimpinan: Sudahkah Kita Bersedia?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahi walhamdulillah
Segala puji ke atas zat yang Maha Kuasa lagi Maha Pengasih yang di atas limpahan kurnia-Nya, hamba-hamba-Nya masih lagi dapat meneruskan hayat di alam yang fana ini. Setinggi-tinggi kesyukuran dipersembahkan ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang tiada Tuhan yang berhak untuk disembah melainkan-Nya.
 
     Selawat dan salam ke atas junjungan besar, baginda Nabi Muhammad bin Abdullah SAW, rasul utusan Allah SWT ke dunia bagi meratakan rahmat-Nya ke seluruh alam. Tidak dilupakan ahli bait serta para sahabat baginda.
Sedar tak sedar kita telah  menjengah ke fasa kedua setelah hampir dua minggu kita melalui cuti pertengahan penggal. Dalam mengisi masa cuti ini, pelbagai aktiviti telah disusun rapi. Ada yang bercuti, tidak kurang juga yang sibuk bekerja dalam menjalankan tugas masing-masing. Kini, adakah kita sudah bersedia untuk kembali ke medan pengkuliahan? Tepuk dada tanya iman. Antara persediaan yang perlu kita persiapkan adalah persediaan mental dan fizikal yang rapi.
Antara persediaan mental yang perlu dititik beratkan ialah memperbaharui niat dalam mencari tujuan sebenar kita menuntut ilmu. Adakah menuntut ilmu kerana hendak mengejar pangkat duniawi atau ingin meraih pujian dari masyarakat sekeliling atau sekadar suka-suka. Sama-sama kita fikir sejenak di dalam lubuk hati kita. Bak kata pepatah, tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad. Kenapa pentingnya niat? Hal ini kerana dengan niatlah mencerminkan segala tingkah laku harian kita. Niat merupakan tunjang utama dalam kehidupan kita seperti mana yang telah diriwayatkan dalam hadis Imam Nawawi, mafhumnya,

Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung pada niatnya.
Di samping itu juga, selaku seorang mahasiswa kita perlulah mempunyai usaha untuk mencapai matlamat dengan membuat perancangan yang bersistematik. Antara kaedah yang efektif adalah membahagikan masa dengan melakar jadual di antara waktu ulangkaji dan waktu peribadi. Dengan adanya jadual ini akan melicinkan pengurusan harian kita agar tidak berlaku pertindanan.
Selain itu, antara perkara lain yang tidak boleh dipandang enteng ialah penyucian hati dan jiwa. Raja dalam tubuh badan kita adalah hati, sekiranya hati penuh dengan noda hitam, maka akan terjejaslah aktiviti rutin harian kita. Andai hati dan jiwa kita tenang maka akan menerbitkan rasa gembira untuk hadir ke kuliah dan secara automatiknya memudahkan kita untuk menerima mutiara-mutiara ilmu.
Setelah panjang lebar berkisar tentang persediaan mental, jom kita beralih ke persediaan secara fizikal sempena kembali ke kuliah. Pepatah ada mengatakan, akal yang sihat lahir daripada tubuh yang sihat. Mengapa? Hal ini kerana, jika tubuh kita sihat, pergerakan kita mampu menjadi lebih efektif tanpa halangan. Maka, ini akan membentuk jiwa dan diri seorang mahasiswa yang proaktif dalam menuntut ilmu.
Kita juga hendaklah mementingkan aspek pengurusan masa kerana masa itu tidak akan kembali andai ia terbuang dengan perkara-perkara yang sia-sia. Waktu itu ibarat emas maka hargailah ia walaupun sesaat kerana dengan sesaat yang terbuang akan mendatangkan kemudaratan. Allah telah memberi kita peluang menuntut ilmu jauh di bumi perantauan maka  gunakanlah waktu yang ada dengan melunaskan amanah kita sebagai mahasiswa dengan menghadiri kuliah sama ada di universiti mahupun kelas – kelas lain di luar.
Selain itu, setiap mahasiswa perlulah meletakkan target yang tinggi dalam menuntut ilmu agar kita senantiasa berusaha, menggembleng tenaga untuk merealisasikan impian kita walaupun di saat kita diundang rasa putus asa. Bukan mudah untuk mensasarkan target yang tinggi tetapi setidak-tidaknya kita akan mencuba sedaya mungkin untuk mencapai yang terbaik. Pada akhirnya, kejayaan itu akan menjadi milik kita jika kita  berusaha, berdoa serta meletakkan pergantungan kepada Allah. Tidakkah kita mahu mengecapi kejayaan yang diredhaiNya? Sudah pasti ya kerana hanya dengan redaNya, ilmu kita akan diberkati dan dapat dikongsi bersama. Bak kata pepatah, ilmu tanpa amal adalah ibarat pokok yang tidak berbuah.
Akhir kalam dari saya, marilah kita bersama-sama melangsaikan tanggungjawab kita dengan menghadirkan diri ke kuliah untuk meningkatkan pengetahuan demi menjamin masa depan yang cemerlang. Lakukanlah sedikit pengorbanan di dunia ini sementara waktu masih ada, kerana Allah telah menjanjikan ganjaran syurga buat penuntut – penuntut ilmu yang bermujahadah di jalan Allah. Saya tinggalkan kalian dengan satu petikan kalam :
“AKAL ITU MENTERI YANG MENASIHATI,
HATI ITU RAJA YANG MENENTUKAN,
MAKA TAJAMKAN AKALMU, PELIHARA HATIMU,
KECEMERLANGAN PASTI AKAN MENYUSUL.”
*BERJAYA BERSAMA*

Nurul Syahidah binti Hamzah
Timbalan Unit Pendidikan dan Pengetahuan,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2012/2013

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]