FIKIR '14 Menyuburkan Suasana Ilmiah




KAHERAH, 21 September 2014– Unit Pendidikan dan Pengetahuan (UPEP) Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2013/2014 telah menganjurkan satu program ilmiah iaitu Festival Ilmuwan Kontemporari 2014 (FIKIR ’14) dengan bertemakan “Sejarah Terdahulu, Panduan Generasi Baharu”. FIKIR ‘14 telah diadakan bertujuan untuk menyuburkan budaya perbincangan ilmiah secara sihat dan progresif serta mendedahkan kepada ahli mengenai peristiwa penting sepanjang abad ke-20 dan hala tuju umat Islam pasca kejatuhan khalifah.


          FIKIR ’14 ini diserikan dengan alunan qasidah dari kumpulan Qasidah BKAWM sebagai persembahan pembukaan program FIKIR ’14. Kehadiran peserta pada program ini amat memberangsangkan dan suasana ilmiah yang kondusif dapat dirasai sepanjang program FIKIR ’14 ini berlangsung. 
          Program FIKIR ’14 telah diadakan selama sehari bertempat di Dewan Sri Putra, Asrama Rumah Wilayah Persekutuan Kaherah dengan dua slot pengisian yang menarik bermula dari jam 10 pagi dengan slot pengisian “Merungkai Faktor Kemunduran Timur Tengah” oleh saudara Muhammad Ilman Bin Abdul Razak, Pengarah Pusat Sumber Tenaga PMRAM (PESAT) yang juga merupakan Penasihat BKAWM sesi 2013/2014. Manakala di sebelah malam pula diadakan forum “Pasca 1924: Adakah Kita Masih Perlukan Khilafah?” yang dibarisi oleh dua orang panelis yang hebat iaitu saudara Mohamad Naqib Bin Mohd Bakhudin, Felo MANHAL dan saudara Ahmad Shakir Bin Muhammad Faleh Lai, Pengarah Mini Pavilion yang melabuhkan tirai program FIKIR ’14 dengan fakta-fakta sejarah yang padat dan mutakhir. Forum ini dikendalikan oleh moderator saudara Muhammad Luqman Hakim Bin Abd. Halim, Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan BKAWM 2013/2014. 
          “Program FIKIR ’14 ini merupakan gelanggang ilmiah yang diwujudkan bagi merungkai kemelut persoalan yang ada dalam komuniti kita. Oleh itu, Jawatankuasa Pelaksana FIKIR ‘14 ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian semua yang hadir menimba ilmu sepanjang berada dalam program FIKIR ’14 ini,” ujar saudara Ahmad Faris bin Mazlan, Unit Tindakan Khas FIKIR ’14.
          Harapan agar program FIKIR ’14 dapat dijadikan sebagai program tahunan dan lebih banyak program ilmiah sebegini dapat diwujudkan bagi menambahkan thaqafah ahli khususnya dalam kecaknaan isu global semasa.


“Satu Fikrah Satu Amal”
“Meneguh Ukhuwah, Menjana Tarbiah”





Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]