[IHYA JUMAAT SIRI 1 - TAFSIR ALI IMRAN:31]

[Ihya Jumaat Siri 1- Tafsir Ali-Imran:31]
Erti mencintai dan mengagungkan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam yang sebenarnya adalah, Allah ‘azza wa jalla berfirman:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah SWT, maka ikutilah (sunnah)ku, nescaya Allah SWT akan mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu, Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Qs. Ali ‘Imran: 31)

Imam Ibnu Katsir ketika menafsirkan ayat ini berkata, “Ayat yang mulia ini merupakan hakim iaitu pemutus perkara bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT, akan tetapi dia tidak mengikuti jalan Rasulullah SAW, maka dia adalah orang yang berdusta dalam pengakuan tersebut dalam masalah ini, sehingga dia mahu mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan, perbuatan dan keadaannya.” (Tafsir Ibnu Katsir, 1/477)
Imam Al Qadhi ‘Iyadh Al Yahshubi berkata, “Ketahuilah bahawa barangsiapa yang mencintai sesuatu, maka dia akan mengutamakannya dan berusaha meneladaninya. Kalau tidak demikian, maka bererti dia tidak dianggap bersungguh dalam kecintaanya dan hanya mengaku tanpa bukti yang nyata. Maka orang yang benar dalam pengakuan mencintai Rasulullah SAW adalah jika terlihat bukti kecintaan tersebut pada dirinya. Bukti cinta kepada Rasulullah SAW yang utama adalah dengan meneladani baginda SAW, mengamalkan sunnahnya, mengikuti semua ucapan dan perbuatannya, melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangannya, serta menghiasi diri dengan adab-adab dan contoh daripada baginda SAW, dalam keadaan susah mahupun senang dan lapang mahupun sempit.” (Asy Syifa bi Ta’riifi Huquuqil Musthafa, 2/24)
Dari keterangan di atas jelaslah bagi kita makna mencintai sunnah Rasulullah SAW yang sebenar, dan besarnya keutamaan mengikuti sunnah baginda SAW. Maka, wajiblah seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi yang mengaku sebagai ahli sunnah wal jamaah adalah orang yang paling semangat dalam mempelajari dan menerapkan sunnah Rasulullah SAW dalam sikap dan tingkah lakunya. Khususnya di zaman yang moden ini, sunnah Rasulullah SAW menjadi asing dan jarang diamalkan oleh kaum muslimin sendiri. Seorang muslim yang mengamalkan satu sunnah yang telah dilupakan, akan mendapat dua pahala sekaligus, iaitu pahala mengamalkannya dan menghidupkannya di tengah-tengah manusia yang telah melupakannya.
"Memperkasa Kefahaman, Meneguh Kebersamaan" "BKAWM Keluarga Kita" "Bersama Bersatu Satu Fikrah Satu Amal
Disediakan oleh: Unit Biah Solehah Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2015/2016

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]