[KALAM PIMPINAN: MENELUSURI DUNIA IMTIHAN]


Segala puji dan syukur dipanjatkan  ke hadrat Ilahi, Tuhan yang maha berkuasa ke atas segala sesuatu, dan dengan cahaya petunjukNya mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya keimanan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang telah bersusah payah membawa risalah agama tercinta ini. Tanpa kesungguhan dan berkat kesabaran baginda, sudah tentu kita tidak dapat mengecapi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Iman dan Islam.

Firman Allah SWT :

( وَالْعَصْرِ * إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ * إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ)
[Surah Al-Asr 1 - 3]

Ayat di atas jelas menunjukkan tentang kepentingan menjaga masa terutamanya ketika musim imtihan ini. Perancangan masa yang teratur sangat penting dalam menjaga kualiti ilmu yang dikecapi baik dari segi membaca mahupun secara hafalan.

Seterusnya Firman Allah SWT :

قال الله تعالى : { يَرْفَعِ اللهُ الذِّينَ ءَامَنُواْ مِنكُمْ وَالذِّينَ أُوتُواْ العِلْمَ دَرَجَاتٍ }
[Surah Al-Mujadalah 11]

Berdasarkan ayat di atas, Allah  SWT mengangkat darjat orang-orang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan kepada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam dalam urusan agama”.

Masa berlalu begitu pantas. Tanpa disedari, kita sudah pun memasuki fasa imtihan. Ketika ini, masing-masing sibuk menelaah kitab-kitab kuliah dan bahan rujukan lain sebagai persediaan menempuh imtihan sehingga merasakan bahawa masa yang diperuntukkan selama 24 jam tidak mencukupi. Sesungguhnya kewajipan kita melebihi masa yang ada. Ramai manusia tewas disebabkan tidak pandai memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, usia mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa senangmu sebelum papa, masa lapangmu sebelum sibuk, dan masa hidupmu sebelum mati”.

Selain itu, hubungan dengan Allah Taala (حبل من الله) serta sesama manusia (حبل من الناس) adalah dua aspek yang sangat penting dimana perlulah dipelihara dengan baik. Marilah kita mewujudkan suasana biah solehah seperti melazimi solat berjemaah, tegur -menegur, ziarah-menziarahi, dan sebagainya agar dapat menguatkan lagi ikatan ukhuwah yang telah terbina. Hilangkanlah segala sengketa dan permusuhan kerana kita semua adalah bersaudara.

Firman Allah SWT :

 (وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ)

"Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam perkara dosa dan persengketaan". [Surah Al-Ma'idah 2]

Untuk akhirnya, marilah sama-sama kita berusaha semaksima mungkin untuk mencapai kejayaan. Lakukanlah yang terbaik dalam peperiksaan supaya kejayaan yang bakal kita kecapi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam. Sesungguhnya keberkatan dalam menuntut ilmu dapat dilihat setelah kita mempraktikkan ilmu yang dimiliki walaupun sedikit.

Imam al-Ghazali pernah berkata:

“Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama, amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia”.

Selamat melayari bahtera imtihan…

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]