[KALAM PIMPINAN : MUDA MASA BERHARGAMU]
Masa muda adalah masa yang paling berharga bagi setiap
manusia. Amatlah rugi sekiranya masa muda dibazirkan dengan aktiviti yang tidak
bermanfaat. Masa muda adalah masa yang terbaik untuk mempelajari dan menguasai
sesuatu bidang ilmu.
“Rasulullah SAW telah
bersabda: Diantara (tanda) kebaikan keislaman seseorang, adalah dia
meninggalkan perkata yang tidak berguna baginya.” (Hadis Hasan)
Seorang pemuda seharusnya bijak dalam menguruskan diri
sendiri agar seimbang dalam semua bidang. Tugas utama menuntut ilmu tidak
diketepikan, dalam masa yang sama ilmu
kemahiran diasah dan diceburi. Di dalam turutan 10 muwasofat tarbiah dalam
matan “Memberi manfaat kepada orang lain” adalah suatu yang dituntut. Mereka
seharusnya bijak menempatkan diri dalam kalangan masyarakat.
“Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sentiasa berpesan-pesan
dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran (3)” (Surah al-Asr)
Sikap tidak suka membuang masa dan tidak suka bertangguh
dalam pekerjaan merupakan sikap yang perlu diterapkan dalam diri anak muda.
Masa yang ada, benar-benar digunakan dengan aktiviti yang berfaedah. Tugas yang
sedia ada, disusun satu persatu dengan bijak agar tiada yang tertinggal haknya
untuk ditunaikan. Seperti kalam saidina Ali RA:
“Kebenaran yang tidak tersusun, akan dapat dikalahkan dengan
kebatilan yang tidak tersusun.”
Melalui kalam hikmah ini, jelaslah bahawa sikap bertangguh
dan pengurusan diri yang tidak tersusun akan memberi impak yang buruk kepada
diri seseorang. Ingatlah, musuh Islam itu sentiasa menunggu ruang dan peluang
untuk menjatuhkan Islam pada zaman ini. Apakah kita masih mahu terus lena
diulit mimpi?
Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menyingkap kembali
sejarah pembukaan kota Konstantinopel yang berjaya ditakluk oleh seorang pemuda
yang bernama Sultan Muhammad al-Fateh dengan strateginya yang memindahkan 70
buah kapal layar dengan melalui jalan daratan dalam satu malam. Kemenangan ini
tidak akan berhasil melainkan dengan pertimbangan kebijaksanaan dan pertolongan
daripada Allah SWT. Beliaulah sebaik-baik raja yang mempunyai sebaik-baik
tentera.
Nur Hafizah binti Mohamad Rahman,
Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi 2016/2017
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment