[RISALAH IQTISODIAH : SIRI 01]




Boikot: Antara Realiti dan Kontroversi
                                     Muhammad Ilman bin Abdul Razak

Siri 01
Pendahuluan

Semenjak krisis antara Palestin-Israel kembali meruncing, perbincangan berkenaan boikot menjadi salah satu isu yang giat dipolemikkan dan diperbincangkan; adakah ianya berkesan ataupun tidak di dalam memberikan tekanan terhadap negara haram Israel atau sebenarnya hanya menzalimi perusahaan perniagaan yang tidak terkait dengan kezaliman di Gaza?

Adakah Wajib Untuk Boikot?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, sebaiknya kita melihat terlebih dahulu perbincangan di kalangan ulama’ berkenaan boikot secara ringkas; adakah ianya dibolehkan atau sebaliknya. Pada permulaan, kita fahami dahulu hukum asal jual beli antara muslim dan orang yahudi (atau syarikat dimiliki orang yahudi). Menjalankan aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan daripada orang yahudi asal hukumnya adalah harus, ianya disandarkan kepada tindakan nabi Muhammad SAW membeli makanan daripada orang yahudi yang dirakamkan di dalam hadith riwayat Bukhari. Begitu juga Allah menghalalkan memakan daging sembelihan ahli kitab dan turut sama dibolehkan untuk mengahwini mereka, maka apatah lagi berurus niaga dengan mereka (selagi mana menepati syarat jual beli di dalam Islam).


Bagaimana pula tindakan memboikot barangan-barangan yang dihasilkan oleh syarikat yang jelas sumbangannya kepada Israel? Dalam konteks ini, kita telusuri semula sirah Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi pernah bertindak memulau perkampungan Yahudi Bani Nadzir bahkan menebang pohon-pohon kurma milik mereka (sumber ekonomi mereka) berikutan ancaman yang dizahirkan oleh mereka untuk memerangi umat Islam. Begitu juga jika dilihat terhadap pemulauan yang dibuat terhadap yahudi Bani Quraidzah yang mana mengkhianati umat Islam di dalam peperangan Ahzab. Tetapi adakah di sini titik penilaiannya apabila ianya datang daripada Yahudi, maka perlu diperangi dan diboikot? Tidak. Tetapi ianya merujuk wujudnya sifat memerangi terhadap umat Islam dan tekanan ekonomi melalui tindakan boikot terhadap yang memerangi itu menjadi suatu jalan jihad untuk menggesa pengembalian semula hak yang dirampas.

Berkenaan persoalan adakah ianya menjadi wajib dan haram untuk membeli barangan yang disenaraikan sebagai barangan boikot? Di sini terdapat perbezaan antara Fatwa dan Qadha’ (arahan pemerintah), yang mana sifat Fatwa adalah ghairu mulzim dan Qadha’ bersifat mulzim. Ianya akan menjadi wajib apabila telah diperintahkan oleh ‘Ulil Amri (jika wujud khilafah) atau tertakluk kepada kerajaan umat Islam di negara masing-masing (bagi tempoh ketiadaan khilafah). Selagi ianya tidak menjadi suatu arahan daripada pemerintah, boikot masih berada di dalam lingkungan ‘digalakkan’.

Berikutan beberapa situasi terpencil yang mempamerkan perilaku pendokong usaha boikot yang keterlaluan seperti memusnahkan harta pemilikan syarikat atau melakukan pemaksaan secara keras terhadap pilihan individu lain adalah dilarang dan perlu dihentikan. Begitu juga dalam perlaksanaan boikot; memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap maklumat dan latar belakang syarikat yang diboikot. Kerana hukum asal berurus niaga dengan Yahudi adalah harus, sebarang sangkaan dan khabar angin yang tidak dapat disahkan ketulenan faktanya tidak dapat boleh dijadikan sandaran untuk memasukkan sesebuah syarikat tersebut ke dalam senarai boikot. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang mafhumnya; “ Keyakinan tidak akan diketepikan hanya kerana suatu sangkaan.” (Al-Majmu, al-Nawawi)

Disediakan oleh:
Unit Tugas-tugas Khas (Unit Promosi),
Unit Ekonomi,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM)
Sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]