[KALAM PIMPINAN: Keimanan membentuk kesatuan]
Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah Tuhan Esa yang tidak ada sekutu bagiNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, keluarganya, para sahabat serta pengikut-pengikut baginda SAW.
"لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ"
"Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu."
Maha suci Allah SWT, berduyun-duyun manusia dari pelusuk dunia tidak kira bangsa juga warna kulit direzekikan ke tanah suci Mekah untuk melaksanakan ibadah rukun Islam yang kelima. Ia juga membuktikan tanda cinta dan taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Ibadah haji merupakan cerminan kesatuan umat Islam. Keimanan kepada Allah SWT dan kepatuhan pada syariatNya, inilah yang membuatkan umat Islam bersatu ketika melaksanakan ibadah haji. Ketaatan kepada Allah SWT dalam ibadah haji membuatkan umat Islam memakai pakaian ihram yang sama, tawaf di tempat yang sama, mengelilingi Baitullah dengan arah yang sama, wukuf pada tanggal 9 zulhijjah di tempat yang sama, melontar jamrah di tempat yang sama dan bersama-sama dalam melakukan rukun-rukun ibadah haji yang lain.
Tetapi sayang, kesatuan umat ini hanya saat melakukan ibadah haji sahaja. Setelah itu umat Islam kembali ke negara asal dengan membuat urusan masing-masing.
Nasionalisme dengan sistem politik negara dan bangsanya dengan gemilang memecah-belah umat Islam seluruh dunia. Lihat sahaja negara-negara Arab yang berpecah-belah akibat diterapkan nasionalisme dalam negara mereka.
Kita boleh lihat ketika ibadah haji, umat Islam dapat bersatu kerana keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT. Demikian juga diluar ibadah ini, keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT seharusnya juga perlu secara menyeluruh pada syariat Islam kerana ianya akan menyatukan umat Islam bukan hanya dalam ibadah, tetapi juga dalam seluruh aspek kehidupan. Kerana tentunya hidup ini diatur oleh syariat yang satu, iaitu syariat Allah SWT (syariat Islam).
Lantaran itu, semasa para jemaah haji melontarkan jamrah di Mina, umat Islam di tempat lain diberi ruang mengerjakan solat Aidil Adha dan menyembelih haiwan korban demi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ingatkah kita kisah Nabi Ibrahim AS saat diperintahkan Allah SWT agar menyembelih anaknya sendiri nabi Ismail AS?
Firman Allah SWT:
(فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ)
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".
(Surah As-Saaffat: Ayat 102)
Dalam al-Quran telah merakamkan kisah tersebut. Betapa kuatnya keimanan serta ketaatan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS kepada Allah SWT ketika itu.
Oleh itu, ketaatan memerlukan pengorbanan. Teladan inilah yang harus kita pegang dalam perjuangan menegakkan agama ini, memperjuangkan Khilafah Islamiah yang akan menerapkan syariahNya secara menyeluruh. Dasar dari perjuangan ini adalah iman dan ketaatan kepada Allah SWT. Untuk itu, kita harus mengorbankan apa saja yang terbaik dari diri kita untuk dakwah ini, baik mengorbankan harta, tenaga mahupun mengorbankan jiwa.
Hasil dari pengorbanan untuk kebenaran adalah sangat lumayan. Juga berbuah kemanisan. Lihat sahaja sejarah pengorbanan Rasulullah SAW di dalam seruannya terhadap Islam, hasilnya? Tertegaknya daulah Islamiah di kota Madinah ketika itu. Demikian juga umat Islam yang ada pada ketika ini. Siapa lagi kalau bukan kita sendiri? Lebih-lebih lagi golongan remaja yang tidak berkecuali mempunyai pengaruh besar dalam tugas dakwah ini.
Teruslah bergiat aktif dalam masyarakat dan menyeru mereka kepada Allah yang Esa agar kita dapat merasakan sunnah Rasulullah SAW yang paling besar ini. Semoga bertambah juga keimanan serta ketaatan kita kepada Allah SWT sebagai seorang penyeru kepada kebaikan.
Wallahua'lam.
Selamat menyambut hari kemerdekaan yang ke-60 dan selamat hari raya Aidiladha buat seluruh mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir.
Taqabbalal Allahu Minna Waminkum.
Disediakan oleh:
Nor Shafiqah Bt Sazali
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan, BKAWM sesi 2016/2017
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment