[KALAM PIMPINAN : ERTI KEMERDEKAAN]

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam keatas Junjungan besar Nabi Muhd SAW, keluarga, sahabat serta pengikut-pengikutnya.

 Allah berfirman didalam al-Quran;

 إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا ۖ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)". al-An'am ayat : 79

Ayat ini sering kali dibaca dalam solat iaitu semasa membaca doa Iftitah, namun adakah kita menghayati ayat ini ketika membacanya dalam solat?

Ayat ini lanjutan daripada 3 ayat sebelumnya yang mana menceritakan tentang kisah Nabi Allah Ibrahim SAW mencari-cari siapakah Tuhan yang selayaknya untuk disembah. Bermula daripada menganggap bintang, bulan dan matahari yang bersinar-sinar itu sebagai Tuhan, tetapi ditolak kerana ianya akan terbenam pada waktunya. Nabi Allah Ibrahim SAW juga berlepas diri (menyucikan diri) daripada kesyirikan dan kekufuran yang dilakukan oleh kaumnya yang menyembah berhala sehingga diberi petunjuk oleh Allah SWT supaya beriman, berserah dan tunduk kepada kekuasaanNya.



Kisah ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa orang yang benar-benar tidak dijajah adalah orang yang beriman, serah dan tunduk kepada kekuasaan Allah, tidak mengikut arahan selain arahan Allah, menjauhi apa yang dilarang Allah.

Allah juga berfirman didalam ayat yang lain

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam". ali-Imran ayat : 64

Berdasarkan ayat ini, kemerdekaan yang hakiki juga dapat kita fahami dengan baik bahawa tidak sekali-kali kita tunduk sesama manusia apatah lagi mereka yang membelakangi Allah dan RasulNya. Jika kita menghayati sejarah utusan Panglima perang negara islam Saad bin Abi Waqas iaitu Rub' bin 'Amir bertemu komander perang negara Parsi iaitu Rosterm, Rub' ditanya untuk apa mereka datang ke negara itu, jawab utusan yang beriman ini, "untuk memerdekakan kamu daripada sekutukan Allah kepada menyembah dan menyucikanNya.

Kemerdekaan yang hakiki bukan hanya sekadar sesuatu negara dipimpin oleh pemerintah daripada negara sendiri tetapi pemerintah itu membawa rakyatnya kepada menyembah Allah dengan sebenar-benarnya.

Dapat kita hayati kisah Nabi Allah Musa SAW yang merupakan (keturunan bani israel) bukan penduduk asal negara mesir, menentang untuk memerdekakan mesir daripada pemerintahan Firaun yang kufur dan merupakan bangsa Qibti iaitu penduduk asal negara Mesir.

Akhirnya, dapat kita simpulkan bahawa kemerdekaan yang sebenar tidak akan tercapai sehingga kita memerdekakan diri sendiri terlebih dahulu.

Musuh utama yang memerangkap manusia membawa hala tuju kehidupan mengikut cita rasa sendiri bukan petunjuk daripada Allah itulah nafsu didalam diri.

Semoga kita semua bebas daripada dijajah oleh diri sendiri dan hasutan syaitan yang sentiasa ingin menjajah iman, jiwa dan akhlak anak-anak Nabi Allah Adam SAW.

Disediakan oleh:
Muhammad Aiman bin Md Rashid
Ketua Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan,
BKAWM sesi 2016/2017

"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"





Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]