[ KALAM PIMPINAN : KEMASYARAKATAN, FARDU KIFAYAH ]



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta ke atas ahli keluarganya dan para sahabat baginda SAW.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.

Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan jelas menyuruh kita supaya sentiasa melakukan sesuatu pekerjaan secara berjemaah. Perkara ini kita dapat praktikkan dalam kehidupan seharian kita seperti solat fardu secara berjemaah, menunaikan haji, membayar zakat dan sebagainya. Tidak dapat tidak, kita mesti melibatkan diri kita dalam Jemaah untuk mendapatkan ganjaran yang lebih baik di sisi Allah SWT berbanding melakukan secara berseorangan.

Dalam sirah Nabi Muhammad SAW membuktikan negara Islam Madinah dapat ditegakkan dengan sokongan dan dokongan para sahabat baginda SAW. Baginda tidak melakukan kerja-kerja dakwah secara berseorangan, akan tetapi baginda dibantu oleh para sahabat dalam menyebarkan risalah Islam sehingga dapat menakluki negara-negara di sekitarnya.

Dalam buku “Apa ertinya saya menganut Islam” yang dikarang oleh Ustaz Fathi Yakan telah menyatakan bahawa: "Apabila saya mengaku sebagai seorang muslim, maka saya wajib bekerja untuk Islam. Saya patut bekerja dalam satu jemaah, bekerjasama dengan pendakwah lain yang menyeru kepada Allah dan menyuruh kepada kebaikan serta mencegah keburukan. Saya harus bekerja keras untuk mewujudkan individu muslim, rumah tangga muslim, masyarakat muslim dan negara yang benar-benar Islam."

Firman Allah taala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan Allah maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
(Surah al-Maidah: ayat 2)

Sebagai seorang pendakwah, kita mesti kreatif dalam mendekati dan menyampaikan dakwah kepada mad’u. Oleh itu, kita perlu melibatkan diri dalam medium kemasyarakatan bagi mengenal mad’u yang mempunyai pelbagai ragam. Jadi, tidak dapat tidak ilmu kemasyarakatan hanya boleh didapati apabila kita berada di dalam suatu komuniti.

Rasulullah SAW banyak menjebakkan diri ke dalam masyarakat untuk melakukan kebajikan sehingga boleh menyebabkan seseorang mengucap kalimah syahadah kerana akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi SAW sendiri. Akan tetapi, kita perlu memastikan amal ijtimaie yang kita lakukan selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh jemaah.

Akhir sekali, marilah sama-sama kita melibatkan diri dengan kesatuan yang telah menaungi anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir sejak 19 tahun yang lalu iaitu Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) yang menuntut untuk kita melakukan amal ijtimaie di samping menuntut ilmu di Mesir ini. Moga-moga dengan penglibatan kita di dalam BKAWM mampu membentuk diri yang tidak hanya mementingkan diri sendiri, akan tetapi sentiasa cakna dan mengambil berat antara satu sama lain dan sesama kita serta dapat menjaga suasana yang solehah di persekitaran kita.

Disediakan oleh:
Amirul Hakim bin Mohd Razib,
Yang Dipertua BKAWM sesi 2017/2018.

Satu Fikrah Satu Amal

"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]