[ TINTA DAKWAH:HABLUM MINALLAH HABLUM MINANNAS ]
HABLUM MINALLAH HABLUM MINANNAS
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM,
Dengan nama Allah
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan besar
Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana masih
diberi nikmat yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.
Firman Allah SWT :
{ومن يتق الله يجعل
له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب ومن يتوكل على الله فهو حسبه إن الله بلغ أمره قد
جعل الله لكل شيء قدرا}
Maksudnya: "Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah akan membukakan jalan
keluar baginya dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
Dan barangsiapa bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, nescaya
Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan
urusanNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bahagi setiap sesuatu.
"
Berdasarkan ayat di
atas, jelaslah kepada kita bahawa sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah
akan memberi rezeki dalam pelbagai bentuk dari arah yang tidak kita sangka dan
sesiapa yang bertawakal kepada Allah, Allah akan mencukupkan keperluannya serta
memberi jalan keluar dari sebarang masalah yang dihadapi dalam kehidupan. Oleh
itu, sebagai muslim sejati khususnya sebagai penuntut ilmu, perlulah
meningkatkan keyakinan dan sematkan di dalam hati bahawasanya Allah adalah
penentu bagi setiap sesuatu.
Sebagai seorang
mahasiswa yang berjaya, perlulah menerapkan konsep hablum minallah dan hablum
minannas dalam diri. Dua perkara ini merupakan aspek yang tidak dapat
dipisahkan dan harus berjalan secara seiring.
Hablum minallah
ialah dengan kita menjaga segala amalan yang dituntut oleh Allah, seperti
solat, puasa, membaca al-Quran, zikir dan lain-lain. Apabila masuk waktu solat,
seharusnya kita meninggalkan perkara dunia dan mendahulukan perkara yang utama
iaitu solat. Solat di awal waktu membuatkan masa kita lebih berkat. Sebaliknya,
apabila kita solat di akhir waktu dan mendahulukan perkara yang lain berbanding
bertemu dengan rabb kita, Allah akan melambatkan kejayaan kita.
Selain itu, sebagai
mahasiswa yang taat kepada Allah, kita hendaklah memperbanyakkan amalan-amalan
sunat seperti puasa, solat sunat, zikir, selawat dan lain-lain. Amatlah malu
bagi kita yang masih muda ini jika tidak memanfaatkan usia muda dengan baik,
lebih-lebih lagi kita adalah seorang pelajar muslim.Tambahan pula, di dalam
al-Quran Allah ada berfirman yang bermaksud:-
"Dan pada
sebahagian malam hari, bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan
bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji."
[Surah al-Isra’: 79]
Imam Syafie juga
ada mengatakan "Doa di saat tahajud adalah panah yang tepat mengenai
sasaran."
Oleh yang demikian,
rebutlah peluang beribadah kepada Allah pada dua per tiga malam dan mohonlah
hajat kita. Letakkanlah pergantungan kita sepenuhnya kepada Allah, kerana dalam peperiksaan tiada siapa yang dapat
membantu kita selain Allah. Seterusnya, kita pergi kepada konsep hablum
minannas, iaitu hubungan kita sesama manusia. Sebagai contoh, hubungan kita
dengan ibu bapa, adab dengan guru dan akhlak kita sesama sahabat serta orang di
sekeliling kita. Adakah kita benar-benar sudah menjaga adab dan akhlak kita
dengan mereka? Tepuk dada tanya iman. Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu.
Hidup bermasyarakat
adalah perkara yang tidak boleh kita hindarkan. Sebagaimana yang kita tahu
seorang muslim tidak mungkin hidup secara bersendirian dan jauh daripada
jemaah. Bahkan dalam solat juga Allah menyuruh kita untuk melaksanakan secara
berjemaah. Hubungan sesama manusia dalam Islam adalah hubungan sebagai saudara
sebagaimana firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara,
kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah
kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."
Kesimpulannya, kita
selaku hamba perlu berusaha dan melaksanakannya dengan cara yang terbaik.
Segala natijah yang bakal kita peroleh diserahkan sebulatnya kepada Allah,
kerana hanya Dia Yang Maha Mengetahui perihal baik dan buruk hambaNya. Bila
kita sibuk memikirkan natijah yang bakal kita dapat, seolah-olah kita menyibuk
dengan urusan Allah. Seharusnya untuk kita terus berdoa dan bertawakal
kepadaNya. Jangan khuwatir, Allah adalah Tuhan yang tidak pernah menzalimi
hambaNya. Maka, sentiasalah berbaik sangka dengan Allah walau apa pun natijah
yang bakal kita peroleh.Wallahua’alam.
Disediakan
Oleh:
Natasya
Amirah Binti Abdul Jalil,
Timbalan
Unit Surau,
Lajnah
Dakwah dan Pembangunan Insan,
Badan
Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir ( BKAWM ) sesi 2017/2018.
Comments
Post a Comment