[ INFO IQTISODIAH: PERANAN WAKAF DALAM EKONOMI ISLAM ]
Peranan Wakaf Dalam Ekonomi Islam
Ekonomi Islam
memainkan peranan penting dalam kehidupan era globalisasi di dalam perkembangan
rezeki manusia. Aspek ekonomi Islam meliputi banyak perkara seperti infaq, zakat, pusaka serta
wakaf. Wakaf memainkan peranan penting sebagai institusi ekonomi umat Islam.
Ianya perlu dikembangkan dengan cara yang baik dalam membantu perkembangan
ekonomi Islam dengan cara mekanisme perkongsian harta kekayaan seseorang dengan
orang lain.
Konsep Wakaf
Wakaf berasal dari perkataan Arab:
waqafa. Ia membawa berbagai pengertian, antaranya:
berhenti, mencegah dan menahan.
Para fuqaha
sepakat mentakrifkan wakaf mengikut istilah bahasa dengan al-habs
ertinya menahan, kerana perkataan al-habs itu lebih hampir kepada
pengertian syarak. Lebih-lebih lagi perkataan al-habs itu banyak diucapkan oleh
Rasulullah SAW dalam beberapa
buah hadisnya, antaranya:
" حَبِّسِ الأَصْلَ وَسَبِّلِ الثَّمَرَةَ "
“Wakafkanlah tanah itu dan berikanlah hasil
buahnya sebagai sedekah” – HR Bukhari
Kedudukan
wakaf dalam Islam sama seperti zakat yang memindahkan sebahagian daripada
kekayaan masyarakat kepada mereka yang memerlukan. Apa yang membezakan zakat
dan wakaf ialah zakat adalah satu amalan diwajibkan dan apa yang
disumbangkan itu tidak akan kekal di mana sumbangannya akan digunakan dalam
bentuk hangus. Wakaf khususnya yang berbentuk produktif ialah menggabungkan
unsur simpanan tetap dan pelaburan. Aset wakaf adalah berbentuk kekal dan boleh
dilaburkan dalam pelbagai bentuk untuk faedah pada masa hadapan.
Menurut cerita
Anas bin Malik, bahawa Abu Talhah
adalah seorang Ansar yang paling banyak memiliki kebun kurma di Madinah. Antara
kebun kurma yang paling disayangi ialah kebun kurmanya di Bairuha, yang
terletak berhadapan masjid. Rasulullah SAW sendiri pernah mengunjunginya dan
meminum airnya yang sangat nyaman.
Apabila turunnya wahyu Allah SWT
kepada Rasulullah SAW,surah
ali-Imran, ayat 92:
لَن تَنَالُوا الْبِرّ َحَتَّى ٰتُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
- 3:92
“Kamu
sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sebenarnya
sehingga kamu belanjakan
sebahagian daripada harta yang paling
kamu sayangi dan apa sahaja yang
kamu belanjakan dari sesuatu,
maka sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui.”
(Surah
ali-Imran, ayat 92)
Maka Abu Talhah
berkata kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya harta yang paling aku sayang
ialah hartaku di Bairuha dan sesungguhnya hartaku di Bairuha itulah diwakafkan
ke jalan Allah SWT”. Amalan mewakafkan harta ke jalan yang baik akan
diberikan oleh Allah SWT ganjaran pahala yang berkekalan dan berpanjangan
selama harta wakaf itu masih ada dan terus dimanfaatkan atau tidak musnah.
Peranan wakaf dalam ekonomi Islam.
Sejarah
membuktikan bahawa wakaf memainkan peranan
yang sangat signifikan dalam ekonomi sesebuah negara. Wakaf telah menjadi alat agihan
semula kekayaan bagi mencapai pembangunan ekonomi dalam konteks yang
menyeluruh. Ini kerana wakaf telah memainkan peranan untuk menyediakan
pendidikan, pusat kesihatan, tempat ibadat serta menyediakan kemudahan jalan
raya, jambatan dan sebagainya.
Jika ditinjau
pada zaman Rasulullah SAW, sahabat nabi, Uthman bin Affan telah mewakafkan
telaga ar-Raumah yang
menjadi sumber bekalan air utama untuk umat Islam ketika itu bahkan sehingga
sekarang.Air merupakan kemudahan asas yang diperlukan dalam kehidupan.
Menurut Prof
Murat Cizakca,cendiakawan ilmu dari Turki, wakaf wang yang dilaksanakan semasa
zaman Kerajaan Uthmaniyyah pula banyak membantu dalam menyediakan pelbagai
aktiviti pembangunan ekonomi masyarakat seperti kemudahan pendidikan,
kesihatan, kebajikan dan lain-lain aktiviti yang banyak memberikan manfaat
kepada masyarakat. Wakaf wang dilaksanakan dengan cara wang yang diwakafkan
tersebut dilaburkan dan hasil keuntungan dibelanjakan untuk benefisiari wakaf.
Ini bermakna modal asal yang wang wakaf kekal dan tidak berkurangan.
Pada masa ini
peranan wakaf dalam ekonomi Islam
dapat dilihat diseluruh dunia. Di Malaysia sahaja, pengurusan dan pentadbiran wakaf
diletakan bawah Majlis Agama Negeri masing-masing serta penubuhan JAWHAR bertujuan untuk
memastikan bahawa pentadbiran harta wakaf, zakat, mal dan haji di seluruh
negara lebih sistematik, tersusun dan berkesan. Projek-projek ekonomi yang
dilaksanakan di Malaysia adalah menggunakan harta wakaf itu sendiri, hasil
pulangan daripada harta
wakaf atau daripada
kumpulan wang dana saham wakaf.
Manakala di Singapore 170,000 pekerja Islam membuat
caruman sebanyak $2-$11.50 sebulan menggunakan mekanisme CPF(Tabung Simpanan
Pekerja) dan berjaya mengumpul sebanyak $6 juta setiap tahun. Hasil daripada perolehan harta wakaf
diagihkan untuk masjid, madrasah, kebajikan, pengebumian, orang
miskin dan lain-lain.
Di United Kingdom, penubuhan Islamic
Relief telah memperkenalkan beberapa bentuk wakaf untuk membantu umat Islam
di seluruh dunia iaitu wakaf air dan sanitasi, wakaf korban, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan, wakaf anak yatim, wakaf bantuan
kecemasan, wakaf pendapatan generasi dan wakaf dana masa hadapan. Antara pihak
yang mendapat manfaat daripada
pelbagai projek wakaf ini ialah kanak-kanak Palestin, mangsa perang
Bohsia, rakyat miskin di Bangladesh, Mali, Sudan dan
sebagainya.
Banyak lagi peranan wakaf
yang bergerak diseluruh dunia dalam membantu ekonomi masyarakat Islam. Sesuai
dengan konsep Islam sebagai sistem hidup yang lengkap,amalan tolong-menolong dan sama membantu,
telah digariskan dengan jelas dalam syarak. Ini bersesuaian dengan pepatah “berat sama dipikul dan
ringan sama dijinjing”, di mana amalan tolong-menolong seharusnya bermula daripada keluarga terdekat,saudara
mara,jiran tetangga sehinggalah kepada masyarakat dan umat sejagat. Apa yang
jelas, wakaf amat pentingdalam memenuhi sebahagian kekurangan di dalam
masyarakat di samping
memangkin perkembangan ekonomi masyarakat.
Disediakan oleh:
Mohd Asrool Hasbullah bin Shuib,
Juruaudit,
Badan Kebajikan Anak Wilayah Pesekutuan Mesir sesi 2017/2018
Comments
Post a Comment