[ TINTA DAKWAH: SUDAHKAH KITA BERTAQWA? ]
Sudahkah
Kita Bertaqwa?
Taqwa menurut al-Quran:
Dalam kitab Minhaj al-Abidin, Imam Ghazali
menyenaraikan makna taqwa mengikut al-Quran iaitu:
1)
Taat
2)
Takut
3)
Membersihkan hati daripada
sebarang kederhakaan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Siapa yang taat kepada Allah dan
rasulNya, dan takut kepada Allah serta bertaqwa kepadaNya maka mereka ialah
orang yang beruntung." (Surah an-Nur:52)
Taqwa dari segi bahasa bererti pemeliharaan,
penjagaan atau perlindungan. Imam Ghazali telah membahagikan taqwa itu kepada
dua bahagian:
Pertama, taqwa fardu iaitu istiqamah dan
taat menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram. Kedua, taqwa adab
iaitu menahan diri daripada berlebih-lebihan dengan perkara yang halal kerana
takut dihisab dan malu kepada Allah pada hari kiamat kelak.
Orang yang bertaqwa akan sentiasa memelihara semua
batas dan hukum-hukum agama. Apabila seseorang memelihara hukum-hukum Allah,
maka Allah akan memeliharanya dan Allahlah sebaikbaik Pemelihara.
Soalnya sekarang, adakah kita telah dipelihara oleh
Allah? Jawapannya bergantung pada sejauh mana kita telah memelihara
hukum-hakam, batasan dan segala kehendak Allah. Jelas sekali tahap ketaqwaan
kita masih jauh daripada piawaian yang dikehendaki Allah. Hasilnya, hingga kini
kita belum mendapat bantuan Allah dalam menghadapi musuh-musuh Islam.
Jalan untuk mencapai taqwa itu bermula dengan
beberapa langkah yang bersinambungan. Antara langkah-langkah itu ialah:
1-
Menuntut ilmu dan beramal
dengannya
2-
Mujahadah dan istiqamah
3-
Bertaubat dan melakukan kebaikan
Allah SWT menjelaskan sifat-sifat orang bertaqwa
dalam al-Quran, antaranya:
1- Beriman dengan perkara-perkara ghaib
2- Menafkahkan sebahagian rezeki
3- Memandang kehidupan akhirat yang kekal dan hakiki berbanding
dunia
Antara kelebihan taqwa yang dipetik daripada
al-Quran:
1- Mendapat bantuan dan perlindungan. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya mereka tidak
sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau
engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya
menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang
salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang
yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya)." (Surah al-Jathiyah 45:19)
2- Penyelesaian masalah dan rezeki Firman Allah SWT:
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya
penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka (pintu pengurniaan) yang melimpahlimpah berkatnya, dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Surah al-A’raf 7:96)
3- Diterima amalan. Firman Allah SWT:
"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka
kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan
sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban
(untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata
(Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab:
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang -orang yang bertaqwa."
(Surah al-Maidah 5:27)
Kesimpulannya, hanya orang yang dicelikkan mata
hatinya dengan taufiq dan hidayah sahaja akan memburu taqwa. Hati orang yang
bertaqwa akan dipenuhi dengan rasa malu, cinta, takut, kagum, harap dan rasa
hina dengan Allah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Bahawasanya orang mukmin yang sebenar
itu, apabila disebut sahaja nama Allah, gementarlah hati-hati mereka dan
apabila dibacakan ayat-ayat Allah, bertambahlah iman mereka dan mereka terus
menyerah diri kepada Allah.” (Surah al-Anfal 8:2)
Disediakan Oleh:
Natasya Amirah binti Abdul Jalil,
Timbalan Unit Surau,
Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi
2017/2018.
Comments
Post a Comment