[ KALAM PIMPINAN: BAHANA MENJUAL AGAMA ]
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian
alam. Selawat dan salam atas junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW, ahli
keluarga serta para sahabatnya.
Firman Allah SWT:
(إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ )
"Sesungguhnya agama (yang benar dan
diredhai) di sisi Allah ialah Islam” (Surah ali-Imran: ayat 19)
Kurangnya ilmu, nipisnya iman dan kuatnya
dorongan hawa nafsu merupakan antara faktor yang melemahkan kita dalam
menyampaikan risalah Islam. Sedangkan ia adalah satu amanah dan tanggungjawab
yang perlu ditunaikan dan akan dipersoal di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
(وَادْعُ إِلَىٰ رَبِّكَ ۖ وَلَا
تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ)
“Dan serulah mereka ke (jalan) Rabbmu, dan
janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Rabb”
(Surah al-Qasas: ayat 87)
Allah telah mencipta manusia dengan
sebaik-baik ciptaan sepertimana yang telah dirakamkan dalam surah at-Tin bahkan
Allah SWT juga telah memberi taklifan khusus kepada manusia untuk memakmurkan
bumi Allah dengan syiar-syiar Islam.
Akan tetapi, realiti fenomena yang berlaku
dalam kehidupan umat zaman kini adalah sebahagiannya yang sanggup menjadikan
agama sebagai alat tarikan untuk mendapat kelazatan duniawi. Mereka inilah yang
disebut sebagai “Penjual Agama”, iaitu mereka yang memperguna dan menggadaikan
agama Allah demi menjana duniawi, kepentingan serta kemewahan peribadi.
Mereka menggunakan ayat Allah demi
kepentingan diri dan mempelajari ayat Allah dengan tujuan yang salah. Sebagai
contoh, isu yang pernah tular di tanah air berkaitan Valet Doa, iaitu pakej
khidmat doa di Kota Mekah dengan harga tertentu sedangkan hak termakbulnya doa
adalah milik Allah SWT bukannya manusia. Selain itu, ulamak yang dikurniakan
ilmu yang tinggi kemudiannya mengambil peluang untuk meraih keuntungan dan
manusia yang bertopikan Islam walhal berniat untuk menjatuhkan dan mengubah
sistem Islam serta lain-lain lagi.
Pada hakikatnya, sejarah fenomena ini
telahpun berlaku seawal zaman Nabi Musa a.s, firman Allah SWT:
(وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِي آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانْسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ)
"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai
Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan
mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari
mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah
dari orang-orang yang sesat" (Surah al-A'raf: ayat 175)
Sebahagian ulamak menafsirkan surah
al-A'raf, ayat 175 bahawa ia mengisahkan tentang seorang ulama yang bernama
Bal'am bin Ba'ura dari kalangan Bani Israil yang dimakbulkan doanya oleh Allah
SWT. Kisahnya berlaku apabila nabi Musa sedang beristirehat di satu negeri
bersama pengikutnya. Salah seorang daripada kabilah tersebut datang kepada
Bal'am seraya mengkhabarkan tentang berita itu dan mengatakan, "Musa
adalah seorang yang sangat kuat dan dia bersama pengikutnya yang sangat ramai,
jika mereka mengalahkan kita, maka mereka akan membinasakan kita". Oleh itu,
dia menyuruh Bal'am agar berdoa kepada Allah supaya mengusir Nabi Musa dan
pengikutnya keluar.
Kemudian Bal'am berkata bahawa jika dia
berbuat demikian, maka akan hilang dan lenyap dunia dan akhiratnya. Maka,
kaumnya terus-menerus memujuknya agar melakukan perkara demikian sehinggalah
Bal'am berdoa seperti apa yang diminta. Akhirnya, Allah SWT mencabut kelebihan
yang ada pada dirinya. Begitulah Allah memberi balasan bagi mereka yang berbuat
sedemikian dan pada ayat yang seterusnya diumpamakannya seperti anjing.
Sebahagian ulamak yang lain juga
menafsirkan bahawa seorang ulamak yang berasal daripada Bani Israel terkenal
dengan doanya yang mustajab. Nabi Musa mengutusnya kepada Raja Madyan untuk
menyerunya agar menyembah Allah SWT. Kemudian, raja tersebut memberinya
kekuasaan dan hadiah yang banyak. Akhirnya dia mengikuti agama raja tersebut
dan meninggalkan agama Nabi Musa.
Ketahuilah bahawasanya harta, pangkat,
keluarga, populariti dan sebagainya hanyalah ujian daripada Allah SWT.
Selayaknya kita sebagai hambaNya untuk melaksanakan perintah serta menjauhi
laranganNya tanpa mengharapkan apa-apa balasan melainkan keredaanNya, seperti
yang dilakukan para Anbiya', firman Allah SWT:
(وَمَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۖ إِنْ
أَجْرِيَ إِلَّا عَلَىٰ رَبِّ الْعَالَمِينَ)
"Dan aku tidak meminta kepada kamu
sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku
hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam." (Surah ash-Shu'ara:
ayat 109)
Diriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah
katanya Rasulullah bersabda: “Barangsiapa mempelajari suatu ilmu yang
semestinya dicari untuk memperoleh reda Allah, kemudian ia tidak mempelajarinya
kecuali untuk mendapatkan kemewahan dunia, maka ia tidak akan mencium bau
syurga pada hari kiamat.”
(HR. Abu Daud)
Dalil tersebut memberi pengajaran kepada
kita selaku hambaNya agar melakukan sesuatu perkara dengan hati yang
benar-benar ikhlas kerana Allah SWT kerana ia merupakan kunci utama yang dapat
mengangkat amalan kita kepada Rabbul Izzati bahkan sifat kkhlas itu haruslah
dicari, bukan hanya ditunggu.
Ia juga memberi tauladan kepada kita selaku
penuntut ilmu untuk mendidik hati agar sentiasa ikhlas dengan niat untuk
mencari keredaanNya serta membuang kejahilan dalam diri, bukannya meraih
populariti demi mengejar keuntungan duniawi. Ilmu itu adalah jambatan dan
antara wasilah bagi hamba untuk mendekatkan diri dengan Rabbnya. Jadikan ilmu
yang kita pelajari seiring dengan amal. Semakin tinggi ilmu yang dipelajari,
semakin luas amal ketaatan yang dilakukan agar mendapat nilai dan darjat yang
tinggi di sisi Allah SWT. Terapkanlah nilai-nilai Islam yang telah diajar oleh
baginda Nabi Muhammad SAW kerana agama Islam itu adalah agama yang paling
sempurna seperti yang telah dikhabarkan dalam al-Quran,
(الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا)
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan
untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai
Islam sebagai agama bagimu" (Surah al-Maidah: ayat 3]
Akhir sekali, perlulah kita sedari bahawa
agama Islam ini telah menjadi fokus utama bagi musuh-musuh Allah untuk
menjatuhkannya sejak awal kebangkitan Islam. Dengan umur dunia yang sudah kian
meningkat tua, yang semakin tua, semakin berleluasanya maksiat, serta realiti
segelintir masyarakat yang kurang pemahamannya berkaitan agama amat memberi
impak yang negatif. Maka, kita selaku penuntut ilmu, dalamilah ilmu agama
sebaiknya supaya kelak kitalah yang menjadi pembenteng dan pertahanan bagi
Islam. Semoga kita semua tergolong dalam mereka yang sentiasa menegak dan
mempertahankan kalimah Allah sehingga hujung nafas, bukan mereka yang akhirnya
menyeleweng malah menjatuhkan agama. Wallahu a'lam.
Disediakan oleh:
Fathimatuz Zahra' binti Rasid,
Timbalan Setiausaha Agung BKAWM sesi
2017/2018.
"Memurnikan Pemikiran, Melestarikan
Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment