[ KALAM PIMPINAN: PENTINGNYA PENGURUSAN MASA DALAM ISLAM ]



Bismillahirrahmanirrahim,

Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِِإِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍِإِلَّا الَّذِينَ ءَامَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran”. (Surah al-Asr: 1-3)

Dalam satu hadis Rasulullah SAW memberi galakan kepada kita untuk memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin. Sabda baginda SAW:

اغتنم خمسا قبل خمس: حياتك قبل موتك، وصحتك قبل سقمك، وفراغك قبل شغلك، وشبابك قبل هرمك، وغناك قبل فقرك

“Manfaatkanlah lima masa sebelum datang lima masa;
1) Masa hidup kamu sebelum datang saat mati kamu.
2) Masa sihat kamu sebelum datang masa sakit kamu.
3) Masa lapang kamu sebelum datang masa sibuk kamu.
4) Masa muda kamu sebelum datang masa tua kamu.
5) Masa kamu kaya sebelum datang masa kamu ditimpa miskin.
(HR Imam al-Hakim dan al-Baihaqi)

Ayat al-Quran dan hadis di atas menunjukkan betapa pentingnya pengurusan waktu dalam diri sehingga Allah bersumpah dengan masa. Jika seseorang tidak memanfaatkan masanya dengan baik, dia akan menjadi orang yang sangat rugi. Hal ini kerana masa yang telah berlalu tidak boleh berpatah semula. Manusia yang berjaya dan beruntung ialah manusia yang memanfaatkan masanya di dunia dengan beriman, beramal soleh, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya bagi bekalan ke akhirat. Manakala manusia yang gagal dan rugi ialah manusia yang mensia-siakan masanya. Bahkan di akhirat nanti manusia akan ditanya tentang bagaimana dia menghabiskan waktunya ketika di dunia. Adakah dia memanfaatkan waktunya atau dia mensia-siakannya.

Oleh itu, sebagai seorang muslim kita perlulah memanfaatkan masa yang ada dan menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Dalam hal ini, kita juga mestilah bersungguh-sungguh melawan diri daripada membuang masa. Kebanyakan manusia membuang masa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton perkara yang sia-sia, menangguh kerja dan sebagainya. Jadi, seorang muslim mestilah melatih dan memaksa diri untuk melakukan perkara-perkara berikut:

1. Memastikan matlamat hidup dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
2. Membuang sikap malas, leka, lalai dan sebagainya.
3. Memberi perhatian kepada perkara-perkara aulawiyat dalam hidup.
4. Membuang sikap suka bertangguh.

Seorang muslim mestilah tahu membahagikan masanya mengikut kewajipan yang tertanggung di atas bahunya. Imam asy-Syahid Hasan al Banna berkata:
“Kita diperintahkan supaya mengguna dan membahagikan masa bagi empat tujuan:

1. Agama: melakukan ketaatan kepada Allah sama ada yang wajib/fardhu dan yang sunat.
2. Mencari rezeki yang halal bagi menyara diri dan keluarga. Sabda Nabi SAW:
من أمسى كالا من عمل يده أمسى مغفورا له
"Siapa yang berpetang dalam keadaan penat kerana bekerja/berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurniakan keampunan baginya" (HR Imam at-Thabrani)
3. Berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka. Sabda Nabi SAW:
من مشي في حاجة أخيه كان كمن اعتكف في مسجدي هذا شهرا
“Sesiapa yang berjalan (untuk keluar) memenuhi hajat saudaranya ia seolah-olah beriktikaf di masjidKu ini (iaitu masjid Nabawi) selama sebulan”.
4. Kerehatan badan. Sabda Nabi SAW:
فإن لبدنك عليك حقا
"Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu".

Kesimpulannya, umat Islam yang dapat menjaga dan memanfaatkan masanya dengan baik akan menjadi seorang yang berdisiplin. Segala urusan yang dilakukan akan menjadi teratur dan mudah.

Disediakan oleh:
PUTERI SITI UMAIRA BT AMRAN
Timbalan Lajnah Kebajikan dan Perumahan
BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]