[ KALAM PIMPINAN: AL-QURAN DAN AKHLAK MULIA ]



Bismillahirrahmanirrahim

عنْ مَالِك أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik telah sampai kepadanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Telah aku tinggalkan untuk kalian, dua perkara yang kalian tidak akan sesat selama kalian berpegang teguh dengan keduanya; Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya."

Kelemahan kita di saat dan zaman ini adalah ramainya golongan yang membaca al-Quran, namun terlupa untuk mentadabburnya. Membaca al-Quran tanpa mentadabburnya dengan cahaya iman seharusnya menjadi muhasabah ke atas diri kita. Apakah tujuan kita membaca al-Quran selama ini?

Adakah sekadar mengejar tawaran pahala yang dijanjikan, atau kita membacanya sesuai dengan tujuan al-Quran yang diturunkan Allah SWT? Ketahuilah, menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian kita adalah penting kerana ianya merupakan pemisah antara hak dan batil.

Syaitan sentiasa berusaha keras menyusun strategi untuk menjauhkan manusia daripada hidup beramal dengan al-Quran, malah menghasut manusia agar terus berfikir seperti gaya syaitan yang kufur.

Kesinambungan daripada itu, marilah sama-sama kita telusuri sebahagian surah-surah yang banyak mengajar kita untuk menjadi seorang hamba yang baik. Antaranya, surah al-Hujurat yang memiliki 18 ayat. Ia merupakan surah madaniyah yang mengandungi manhaj pembentukan dan penyusunan umat beradab sekaligus menerangkan beberapa nasihat tarbawi tentang personaliti dan identiti seorang muslim agar dipraktikkan dalam sebuah jemaah Islamiah. Pada permulaan ayat dalam surah ini, ia mengandungi seruan nasihat yang mesra, “Wahai orang-orang yang beriman...”

Sayyid Qutb memperluaskan huraiannya dalam tafsir “Fi Zilaalil Quran” dengan membahagikan penafsiran surah ini kepada beberapa topik:
Akhlak orang beriman terhadap Nabi SAW (أدب المؤمنين مع نبيهم صلى الله عليه وسلم).
Memastikan kebenaran khabar berita (التثبت من الأخبار).
Bersikap damai sesama saudara (الصلح بين الأخوة).
Larangan bersikap angkuh, prasangka dan mengumpat (النهي عن السخرية والظن والغيبة).
Mereka yang paling mulia adalah yang paling tinggi takwanya (أكرمكم أتقاكم).
Hakikat iman dan pengukuhannya (حقيقة الإيمان والثبات عليه).

Menurut Sayyid Qutb lagi, surah ini mengandungi huraian tentang hakikat keagungan akidah dan syariat serta hakikat-hakikat kemanusiaan, termasuklah hakikat-hakikat yang membuka wawasan yang luhur bagi hati dan akal.

Surah al-Baqarah pula menceritakan sebahagian besar berkenaan kisah Bani Israel. Adalah kesilapan yang besar sekiranya kita beranggapan mereka bukan musuh utama yang mesti kita hadapi dengan persiapan yang rapi.

Sedangkan hakikat yang perlu kita ketahui adalah sebagaimana Nabi SAW melahirkan pelapis, syaitan juga melahirkan pelapis. Maka di situlah persaingan antara hak dan batil.

Kembalilah kita kepada Islam. Al-Quran merupakan panduan yang menyelamatkan kita daripada kesesatan. Justeru, al-Quran berserta mesej-mesejnya perlu disegarkan kembali dalam kehidupan kita. Wahyu yang menitikberatkan perhambaan kepada Allah yang Maha Kuasa dan menjadikan kita seorang hamba yang berakhlak mulia jika kita benar-benar ambil pengajaran dan mengamalkannya di setiap sudut kehidupan kita.


Kita berada di bawah langit yang terbuka luas, tetapi hati dan minda manusia seakan-akan tertutup rapat. Maka, ia perlu disedarkan dengan cahaya Iman dan Islam. Orang beriman tenang menghadapi gelombang dunia berbekalkan janji Allah dan al-Quran.

Disediakan oleh:
MASITAH NADHIRAH BT ANUAR
Timbalan Lajnah Dakwah dan Pembangunan Insan BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]