[ RISALAH BIAH SOLEHAH: SEJARAH SEBAGAI BUKTI KEBENARAN ]
Segala puji bagi Allah Yang Maha Esa. Selawat dan salam sejahtera kepada baginda Nabi Muhammad SAW.
Sejarah merupakan penyelidikan terhadap peristiwa yang telah berlaku atau pada masa lampau. Segala peristiwa yang direkod oleh para sejarawan dianggap sejarah. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, sejarah didefinisikan sebagai sastera lama, asal-usul, riwayat, salasilah dan peristiwa yang benar-benar berlaku pada zaman lampau.
Tokoh sejarah Islam, Ibnu Khaldun (1332-1406M) mengikut keutamaan dalam penulisan sejarah beliau. Beliau telah menjadikan ibrah sebagai kata kunci utama dalam penulisannya. Beliau tidak melihat kepada aspek zahir atau penceritaan kisah-kisah dan peristiwa semata-mata, tetapi turut melihat kepada aspek makna tersirat sejarah itu. Al-Quran sememangnya amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa perlunya mengambil pengajaran daripada kisah-kisah yang terdapat dalamnya. Allah SWT telah berfirman:
“Demi sesungguhnya, kisah nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.”
(Surah Yusuf: 111)
Tujuan kajian dan penulisan sejarah yang paling utama bukan hanya mewujudkan kebenaran sesuatu peristiwa, bahkan dalam pensejarahan Islam pada peringkat awal juga telah menekankan aspek kebenaran khususnya dalam mentafsir al-Quran dan menolak sebarang pandangan peribadi ataupun tahyul bagi mencapai tujuan tersebut.
Selain itu, pengkajian sejarah itu juga turut bertujuan mengingatkan atau mengajar generasi akan datang supaya mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang telah berlaku. Hal ini adalah demikian supaya kita tidak akan menyesal di kemudian hari bak kata pepatah melayu “sudah terhantuk, baru terngadah”.
Oleh itu, sebagai seorang Islam seharusnya kita besungguh-sungguh mengkaji dan mendalami sejarah lebih-lebih lagi mengenai sejarah Islam. Perkara ini akan menjadi salah satu usaha kita dalam membentuk pandangan baru tentang masa silam supaya dapat disesuaikan mengikut keperluan masyarakat kini dan akan datang berdasarkan sumber yang betul dan tepat. Wallahu’alam.
Disediakan oleh:
Unit Biah Solehah | Lajnah
Dakwah dan Pembangunan Insan
Badan Kebajikan Anak
Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2018/2019
Comments
Post a Comment