[ KALAM PIMPINAN: IDEOLOGI DALAM ISLAM ]

[ KALAM PIMPINAN: IDEOLOGI DALAM ISLAM ]

اَلْحَمْدُ لله الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالْهُدَى وَدِيْنِ الْحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْدًا، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ, اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ اَجْمَعِيْنَ, أَمَّا بَعْدُ

Bismillahirrahmanirrahim, 
Assalamualaikum wbt.

Insya-Allah pada kesempatan ini mari sama-sama kita bincangkan berkenaan dengan satu topik yang polemik yang saya rasa cukup relevan untuk kita mahasiswa dan mahasiswi bincangkan, tajuknya berbunyi "Ideologi dalam Islam".

Apa itu Ideologi?

Ideologi secara umumnya adalah gagasan yang membentuk pemikiran seseorang terhadap sesuatu konsep untuk menyelesaikan masalah manusia.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan bermulanya kekufuran yang juga disebabkan pemikiran melalui kisah iblis yang enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. dengan mengatakan: 
انا خير منه.                                 
خلقتني من نار و خلقته من طين    
              
"Aku lebih mulia daripada Adam. Aku diciptakan dari api sedangkan dia diciptakan dari tanah."

Maka di sini jelas menunjukkan bahawa pemikiran yang ditunjukkan oleh iblis adalah dengan meletakkan nilai rasional melebihi ketetapan wahyu dari Allah SWT.

Rentetan itu, pelbagai ideologi telah lahir seperti feminisme, liberalisme, sekularisme, vandalisme, nasionalisme dan pelbagai ideologi lain yang walaupun gagasan berlainan, namun atas tujuan yang sama iaitu memenangkan nafsu tanpa berpandukan kitab Allah dan sunnah Nabi SAW.

Adakah Islam sebuah Ideologi? 

Firman Allah SWT: 

إن الدين عند الله الاسلام                        

Mafhumnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah adalah Islam." [Surah Ali-Imran: Ayat 19]

Maka terang lagi bersuluh bahawa Islam adalah sebuah agama dan jauh sama sekali sebuah ideologi. Islam itu bersifat inklusif, merangkumi seluruh aspek kehidupan sedang ideologi yang lahir pada era moden kini bersifat eksklusif, hanya khusus kepada seperkara dan terpisah daripada perkara-perkara yang lain.

Pegangan umat Islam terhadap ideologi.

Dalam al-Quran Allah telah berfirman: 
(أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِینَ یَزۡعُمُونَ أَنَّهُمۡ ءَامَنُوا۟ بِمَاۤ أُنزِلَ إِلَیۡكَ وَمَاۤ أُنزِلَ مِن قَبۡلِكَ یُرِیدُونَ أَن یَتَحَاكَمُوۤا۟ إِلَى ٱلطَّـٰغُوتِ)

Mafhumnya: "Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu."
[Surah an-Nisa': 60]

Dalam ayat ini, Allah menceritakan berkenaan simptom-simptom yang ada pada mereka yang bergelar Islam tetapi tidak mahu ikut penyelesaian Islam bahkan mereka mengikut taghut (perkara yang menyesatkan manusia). 

Kesyirikan yang cukup besar yang didakwa oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam sebuah penulisannya bahawasanya kesyirikan paling besar adalah dengan menjadikan selain Allah sebagai penentu hidup. 

Sebagai kesimpulan, kita tidak boleh memandang enteng masalah ideologi yang berlaku mutakhir ini. Kalau kita lihat dari sudut sejarah, setelah jatuhnya khilafah Uthmaniyah, umat Islam mula disogok dengan anutan peninggalan penjajah iaitu sekularisme khususnya dan gagasan ideologi yang lain yang dalam tak sedar memberi ancaman akidah kepada umat Islam untuk terpesong dan menyeleweng sehingga mengakibatkan jatuhnya khilafah yang sudah bertapak lebih 500 tahun lamanya.

Untuk itu, peliharalah akidah kita dengan mendampingi orang-orang soleh, tingkatkan amal fardi dan yang paling penting duduklah dalam jemaah agar kita sentiasa terpandu dan mampu untuk berjuang dengan kekuatan jemaah.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD NU'MAN ZAFRI BIN MOHD NAZIR
Ketua Lajnah Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM sesi 2021

"Memperkukuh Keilmuan, Memperkasakan Kebajikan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) AMALI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021 ]

Borang Bacaan Tahlil Arwah