[ KALAM PIMPINAN: MARDHATILLAH ]



[ KALAM PIMPINAN: MARDHATILLAH ]


بسم الله الرحمن الرحيم 


السلام عليكم ورحمة الله وباركاته


إن الحمدلله نحمده و نستعينه ونستغفيره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا, من يهده الله فلا مضل له, ومن يضلل فلا هادي له, وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له, وأشهد أن محمدا عبده ورسوله.


Bersyukur ke hadrat ilahi di atas segala pemberian nikmat dari awal kelahiran kita di muka bumi ini sehingga ke harini. Nikmat paling utama perlu kita syukuri adalah nikmat iman dan Islam, tanpa kedua-dua nikmat ini, nescaya telah kita sirnakan cahaya hakiki kehidupan dari diri kita.


Dalam meniti kehidupan pada marcapada, sering kita lupa untuk meraih satu pecahan dari dua nikmat utama yang disebutkan di bahagian pendahuluan, iaitu mardhatillah. Sebagai umat Islam dan juga orang yang beriman, meraih reda Allah adalah cita-cita yang tertinggi bagi sekalian umatnya. Usaha untuk mendapatkannya perlu dimanifestasikan dengan setiap cubaan, tutur kata perkataan, tingkah laku perbuatan dan sebagainya.


Tambahan lagi, al-Quran juga menerangkan bahawa tujuan hidup seorang muslim adalah mencari reda Allah, yang akan menatijahkan syurga buatnya, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat ke-28:


ٱرۡجِعِيٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةٗ مَّرۡضِيَّةٗ


Maksudnya: "Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!”


Jika dicermati tujuan hidup berupa reda Allah, dapat kita keluarkan beberapa elemen yang menjadi wasilah kepadanya. Ketika kita mencarinya secara individu, Allah perintahkan kepada hambanya untuk sentiasa memperlakukan amal soleh, iaitu amalan yang dilakukan adalah amalan yang baik dan suci bersih menurut Islam. Oleh kerana orang yang beriman adalah orang yang melakukan amal soleh, sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat ke-7:


إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ أُوْلَٰٓئِكَ هُمۡ خَيۡرُ ٱلۡبَرِيَّةِ


Maksudnya: “Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”


Malah, jika dikorek reda daripada ilahi, kita sebagai penuntut ilmu Allah telah menggariskan kelebihannya di dalam al-Quran. Kerana, seorang muslim yang cerdas perlu tahu bahawa dengan adanya ilmu, ia adalah cara untuk kita mengenali Allah SWT sepenuh hati. Al-Quran telah menyatakan, darjat orang yang berilmu di sisi Allah adalah berbeza jika ilmu yang ada digunakan sebaiknya di jalannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat ke-11:


يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا قِيلَ لَكُمۡ تَفَسَّحُواْ فِي ٱلۡمَجَٰلِسِ فَٱفۡسَحُواْ يَفۡسَحِ ٱللَّهُ لَكُمۡۖ وَإِذَا قِيلَ ٱنشُزُواْ فَٱنشُزُواْ يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَٰتٖۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ 


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan.”


Selain itu, Allah telah menyediakan rezeki yang banyak buat hambanya, hanya syarat yang ditetapkan oleh Allah adalah bersyukur kepadanya, jika dengan kita bersyukur, maka Allah akan menambahnya lagi, jika mengkufurinya, Allah akan menyediakan azab yang pedih buatnya. Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat ke-7:


وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ


Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras".


Sementalahan, al-Quran telah memberikan sebuah perumpamaan tentang sebuah negeri yang aman dan penuh ketenteraman, namun rakyatnya tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan pada mereka, maka Allah memberikan balasan berupa rasa kelaparan dan ketakutan, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 112:


وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا قَرۡيَةٗ كَانَتۡ ءَامِنَةٗ مُّطۡمَئِنَّةٗ يَأۡتِيهَا رِزۡقُهَا رَغَدٗا مِّن كُلِّ مَكَانٖ فَكَفَرَتۡ بِأَنۡعُمِ ٱللَّهِ فَأَذَٰقَهَا ٱللَّهُ لِبَاسَ ٱلۡجُوعِ وَٱلۡخَوۡفِ بِمَا كَانُواْ يَصۡنَعُونَ 


Maksudnya: “Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.”


Konklusinya, reda Allah perlu dijadikan tujuan utama kehidupan, supaya kehidupan di dunia sentiasa di landasan kehendak-Nya lalu menatijahkan syurga buat kita. Tanpa reda Allah takkan mampu kita berjalan dengan lurus di muka bumi-Nya. Usah berkata besar kita mampu berdiri tanpa pertolongan daripada Allah, kita ciptaan-Nya, kita perlukan reda-Nya untuk menuai buah-buahan di syurga kelak.


Sebagai akhirnya, firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 96:


وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ 


Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”


Semoga bermanfaat. 


Disediakan oleh: 

UMAR RAHIMIE BIN SAHROM 

Bendahari Agung BKAWM sesi 2021/2022


"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"


Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]