[ KALAM PIMPINAN: USWAH HASANAH ]

 [ KALAM PIMPINAN: USWAH HASANAH ]


الحمد للّه رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين.


Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, Allah masih rezekikan kita nikmat hidup pada hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW kerana dengan berkat perjuangan baginda, dapat lagi kita merasai dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat iman dan nikmat Islam.


Alhamdulillah, pada kali ini Allah mengizinkan saya untuk berkongsi dengan para pembaca tentang satu tajuk yang seringkali kita dengar iaitu Uswah Hasanah.


Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 21:


{ لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا }


Maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."


Sebelum kita telusuri dengan lebih mendalam, apakah yang dimaksudkan dengan uswah?


Dari segi bahasa: Ikutan.

Dari segi istilah: Ikutan yang baik dari segi zahir dan batin.


Bahasa yang lebih mudah untuk kita faham, uswah ini adalah "role model". Setiap daripada kita pasti ada "role model" masing-masing. Ada yang meletakkan artis kesayangan, ibu bapa, atau tokoh-tokoh yang mereka minati sebagai "role model". Tetapi kita sebagai umat Islam, "role model" yang pertama mestilah tidak lain dan tidak bukan adalah Nabi Muhammad SAW.


Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa kita perlu letakkan Nabi Muhammad yang pertama dalam hidup kita? 


Seperti yang kita sedia maklum, sirah Rasulullah SAW dan manhajnya adalah sebaik-baik pendidikan bagi setiap insan. Baginda seorang pemimpin, seorang yang berpolitik, seorang guru dan juga seorang bapa. Baginda juga adalah contoh manusia yang paling sempurna bagi setiap orang yang ingin mendekati kesempurnaan dengan gambaran yang menakjubkan. Kata-kata baginda, perbuatan baginda dan segala perkara yang baginda lakukan menjadi ikutan, sunnah dan dalil dalam kehidupan kita.


Apa itu sunnah?

Sunnah adalah apa yang dinukilkan daripada Nabi Muhammad SAW selain daripada al-Quran melalui kata-kata atau perbuatan atau taqrir.


Sunnah terbahagi kepada tiga:


1. Sunnah Qauliyyah, contohnya:

Hadis tentang membaca Surah al-Fatihah saat solat.


"Tidak sah solat seseorang yang tidak membaca Surah al-Fatihah." 


(HR Bukhari dan Muslim)


2. Sunnah Fi’liyyah, contohnya:

Hadis tentang keistimewaan kucing.


“Ketika Nabi Muhammad berwuduk akan dihampiri oleh seekor kucing dan kucing tersebut minum di tempat baginda wuduk. Nabi berhenti hingga kucing tersebut selesai minum lalu berwuduk."


(HR Muslim)


3. Sunnah Taqririyyah, contohnya:

Hadis tentang daging dhab.


Hadis ini menceritakan ketika Rasulullah dijamu daging dhab (sejenis biawak), namun baginda tidak memakannya. Kemudian ada sahabat yang menanyakan apakah daging tersebut halal atau tidak.


”Apakah makanan ini haram ya Rasulullah?" Lalu Rasulullah menjawab, "Tidak, hanya saja makanan ini tidak terdapat pada kaumku dan aku tidak menyukainya."


Maka, sangatlah rugi bagi mereka yang menolak sunnah Nabi Muhammad SAW kerana seseorang muslim tidak mungkin mendapatkan kecintaan Allah SWT kecuali dengan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW.

Allah berfirman:


{ قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ }


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


(Surah Ali Imran: Ayat 31)


Kesimpulannnya, jadikanlah Rasulullah sebagai ikutan kita kerana baginda merupakan manusia yang paling terbaik untuk kita ikuti. 

Rasulullah SAW bersabda:


المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ


"Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya."


 [HR Bukhari]


Maka, andai kata kita letakkan cinta yang pertama kita artis kesayangan, kita akan dibangkitkan dengan mereka di akhirat kelak yang belum tentu mereka akan membawa kita ke syurga.


Tetapi, andai kata cinta kita yang utama adalah Rasulullah, maka kita akan dibangkitkan bersama baginda yang sudah tentu boleh memberi syafaat pada kita serta membawa kita ke syurga. Insya-Allah. 


Akhir kata, saya tinggalkan kalian dengan satu hadis yang diterjemahkan di dalam bahasa Inggeris. 

Rasulullah said:


"He who loves my sunnah has loved me, and he who loves me will be with me in paradise."


[HR Tirmidzi] 


Semoga bermanfaat.


Sumber rujukan:

1. Al-Quran

2. As-Sunnah

3. Kitab kuliah usul fiqh tahun 3

في الإجمال، والبيان، والنسخ، والسنة

د/ محمد إبراهيم الحفناوي


Disediakan oleh:


ANIS FITRIYAH BINTI LATFI AMIR, 

Timbalan Bendahari Agung BKAWM sesi 2021/2022


Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKAWM sesi 2021/2022


"Memurnikan Kesatuan,  Melestarikan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]