[ KALAM PIMPINAN: SABAR DAN SYUKUR ]

 


[ KALAM PIMPINAN: SABAR DAN SYUKUR ] 


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam dengan izin-Nya dapat kita merasa nikmat Iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda Rasulullah SAW, ahli keluarga serta para sahabat baginda. Semoga kita terus thabat dalam menyampaikan risalah Rasulullah SAW.


Dari Shuhaib bin Sinan r.a. dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:


عجبًا لأمرِ المؤمنِ . إن أمرَه كلَّه خيرٌ . وليس ذاك لأحدٍ إلا للمؤمنِ . إن أصابته سراءُ شكرَ . فكان خيرًا له . وإن أصابته ضراءُ صبر . فكان خيرًا له


Maksudnya: “Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”


Ketika mana kita diuji, maka terzahir nilai iman melalui sabar dan syukur. Cukuplah para nabi menjadi saksi bukti keimanan mereka melalui sifat sabar dan syukur yang tinggi.


Bahkan Allah kerap kali memuji mereka yang bersabar dan bersyukur dan meletakkan mereka pada makam terpuji.

 

Sabar dan syukur merupakan setinggi-tinggi pangkat. Ramai manusia mampu bersabar tapi tidak ramai pula manusia yang mampu bersyukur, ketahuilah bahawa syurga adalah tempat syukur yang tiada lagi padanya sabar.


Sabar bermaksud menahan diri daripada marah akan sesuatu yang tidak disukainya dan menahan lidah dari mengadu selain daripada Allah.


Syukur pula mengembalikan rasa berterima kasih atas segala kurniaan oleh Allah kepadanya.


Antara kelebihan yang dikurniakan oleh Allah hanya kepada manusia adalah sabar dan syukur, tidak diberi kepada haiwan mahupun malaikat. Begitu banyak kelebihan yang Allah beri kepada hambanya yang sentiasa sabar dan syukur dan sebaik-baik nikmat dan ganjaran adalah reda dan syurga-Nya.


Antara peringkat sabar adalah:


1. Sabarnya mengalahkan kekuatan yang menyeru kepada keinginan nafsu. Ini adalah setinggi-tinggi peringkat yang memerlukan kepada usaha yang luar biasa.


2. Sifatnya tidak lemah daripada berperang. Dorongan agama sentiasa melawan hawa nafsunya. Ketika menang dorongan agama maka terhasillah sabar, namun kadang kala nafsu juga memenangi keinginannya. Mereka ini dipanggil orang yang bermujahadah dan peringkat sabar ini adalah sabar pertengahan. 


Mereka bahkan berduka cita ketika mana tidak dapat memenangkan agama dari nafsunya.


3. Kuat hatinya kepada nafsu dan memenangkan nafsu keatas dirinya melebihi kepada agama. 


Sebagai contoh: "Aku ini ingin bertaubat tapi susah sungguh untuk bertaubat, lebih baik aku tinggalkan taubat kerana kepayahannya" maka jadilah mereka ini rugi.


Terdapat dua keadaan yang memerlukan kepada sabar:


1. Sabar dirinya kepada perkara yang dipersetujui oleh keinginan dan tidak melawan haknya, seperti sabar ketika sihat, kaya, memiliki apa yang ingin manusia miliki. Bahkan ia sangat susah kerana memerlukan hati yang sentiasa berjaga-jaga. 


2. Sabar dirinya kepada perkara yang berlawanan dengan keinginannya iaitu sabar pada mengerjakan kewajipanya, sabar ketika meninggalkan maksiat, sabar ketika dizalimi dan sabar ketika bala menimpa.


Kunci kepada sabar dan syukur ini tidak lain melainkan bersama ilmu dan amal.


Sabar dan syukurlah kerana sabar dan syukur yang akhirnya membuat kita sedar, bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. 


والله يعلم وأنتم لا تعلمون 



Rujukan Kitab: Penawar bagi hati


والله تعالى أعلم بالصواب. 


Disediakan oleh:

NUR ALYA NAJIHA BINTI ZAINUDDIN

Timbalan Lajnah Kebajikan dan Perumahan BKAWM sesi 2021/2022 


"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]