[ KALAM PIMPINAN: HIKMAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL ]

 [ KALAM PIMPINAN: HIKMAH PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL ]


  ﺍَﻟﻠﻬُﻢَّ ﺻَﻞِّ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ ﻭَﻋَﻠَﻰ ﺁﻝِ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪٍ


Pengorbanan kasih yang abadi. Hikmah di sebalik perjalanan Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar merupakan satu pengorbanan yang perlu untuk kita semua hayati dengan sepenuhnya. Pelbagai ujian, cabaran, rintangan dan mehnah yang dilalui oleh mereka pada zaman dahulu sungguh tak dapat dirasai.                         

                               

Nabi Ibrahim sebagai seorang bapa yang telah lama menantikan kehadiran cahaya mata dalam pernikahannya bersama Sarah, namun Allah SWT tidak menganugerahkan kepadanya seorang anak. Akhirnya, Sarah pun memutuskan untuk menghadiahkan seorang wanita yang bernama Hajar kepada Nabi Ibrahim untuk dinikahinya supaya mendapatkan keturunan, lalu Allah SWT pun memberikan rezeki seorang anak yang soleh hasil pernikahan beliau bersama Hajar. Allah ﷻ berfirman.


رَبِّ هَبۡ لِي مِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ فَبَشَّرۡنَٰهُ بِغُلَٰمٍ حَلِيمٖ 


“Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat penyabar.”


 (Surah as-Saffat: Ayat 100-101).


Namun, setelah cahaya mata yang dinantikan tersebut itu lahir ke dunia, Nabi Ibrahim pun diuji dengan harus membawa isterinya Hajar dan puteranya Nabi Ismail, ke negeri Mekah yang di kala itu hanyalah padang pasir tanpa penduduk. Setelah sampai di sana, Nabi Ibrahim pun pergi meninggalkan mereka berdua dengan hanya berbekalkan kurma dan air. Namun, tahukah apa yang dikatakan Hajar kepada Nabi Ibrahim? Hajar berkata:


اللهُ الَّذِي أمَرَكَ بِهَذا؟، قالَ: نَعَمْ، قالَتْ: إذَنْ لا يُضَيِّعُنا


“Apakah Allah yang memerintahkanmu untuk membawa kami ke sini? Nabi Ibrahim menjawab: Ya, Lalu Hajar berkata: jika demikian, Dia tidak akan membiarkan kami.” (HR Bukhari).


Setelah Nabi Ibrahim sampai ke tempat yang tidak boleh lagi dilihat oleh Hajar, Nabi Ibrahim pun berbalik menatap tempat dirinya meninggalkan isteri dan anaknya, lalu berdoa kepada Allah, kerana hanya Allah SWT yang mampu menjaga mereka berdua, Allah SWT berfirman:


رَّبَّنَآ إِنِّيٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيۡرِ ذِي زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ أَفۡ‍ِٔدَةٗ مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهۡوِيٓ إِلَيۡهِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ 


“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” 

[Surah Ibrahim: Ayat 37]


Ujian dan rintangan Nabi Ibrahim tidak sampai di situ, setelah berlalu sekian tahun, selama itu dirinya selalu mengunjungi puteranya balik dari negeri Syam ke Mekah. Dan sampailah ketika Nabi Ismail telah mula tumbuh dewasa. Nabi Ibrahim mendapatkan mimpi bahawa dirinya perlu menyembelih puteranya yang dicintai. Dan sudah difahami bahawa mimpi para nabi merupakan wahyu dari Allah SWT.


Ibnu Abdil Barr membawa sanadnya sampai ke Imam Syafie bahawa beliau berkata:


رُؤْيا الأنْبِياءِ وحْيٌ وقَدْ رُوِّينا عَنِ ابْنِ عَبّاسٍ أنَّهُ قالَ رُؤْيا الأنْبِياءِ وحْيٌ


“Mimpi para nabi adalah wahyu, telah sampai kepada kami sebuah riwayat dari Ibnu Abbas bahawa beliau berkata mimpi para nabi adalah wahyu.” 

(Attamhid: 6/393).


Setelah melihat mimpi tersebut, Nabi Ibrahim menyedari bahawa ini merupakan perintah dari Allah yang harus dilakukan. Lalu beliau pun menyampaikan mimpi tersebut kepada puteranya Nabi Ismail, bukan untuk membantah perintah Allah, tapi untuk melihat hasil dari didikan kenabian yang selama ini dijalani oleh Nabi Ismail. Ternyata hal tersebut terbukti, bagaimana Nabi Ismail tunduk kepada perintah Allah SWT dan berbakti kepada bapanya.

                 

Begitulah ujian yang dihadapi oleh para nabi dan rasul pada zaman dahulu dalam mentaati perintah Allah SWT dalam membawa dan menegakkan agama Islam itu sendiri. Kita sebagai umat Islam pada hari ini perlulah mengambil segala iktibar dan pengajaran dari kisah Nabi dan rasul pada zaman dahulu agar diri kita dapat menjadi insan yang terbaik dan menjadi mata rantai perjuangan kepada agama Islam sendiri hingga ke akhir hayat kita.


Wallahua’lam.


Disediakan oleh:

NURIL ANWAR BIN IBRAHIM

Ketua Lajnah Pendidikan dan Pengetahuan

BKAWM sesi 2021/2022


"Memurnikan Kesatuan, Melestarikan Kebajikan"

"BKAWM Keluarga Kita"

"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]