"Penuhi Masa Dengan Sebaiknya"
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang ,segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam serta selawat dan salam pada junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda.
Alhamdulillah setelah lama kita beruzlah dengan menadah kitab sepanjang fatrah imtihan merebut kejayaan dunia, tanpa kita sedari masa berlalu begitu pantas meninggalkan masa-masa lalu kita yang tidak mungkin akan berpatah kembali.
Sebagai Mahasiswa/wi kita perlu manjadikan masa yang ada digunakan dengan sebaiknya. Ada segelintir mahasiswa/wi yang tidak tahu mengenai kepentingan atau berharganya masa walaupun sesaat dalam kehidupan kita.
Mereka hanya membazirkan masa-masa yang ada dengan menonton cerita-cerita yang melalaikan, sebenarnya banyak aktiviti-aktiviti yang kita boleh lakukan selepas imtihan, tidak salah untuk menonton tetapi jangan pula masa kita disia-siakan begitu saja.
Mesir adalah satu gudang ilmu yang perlu bagi mahasiswa/wi Al-azhar mencedok setiap ilmu yang datang dalam setiap sudut. Contohnya banyak sekali, antaranya kelas-kelas Tafaquh Fiddin dari Masyaikh-masyaikh Al-Azhar dan kelas-kelas ilmiah yang diadakan oleh setiap rumah negeri.
Selain itu, banyak juga program-program yang dianjurkan untuk kita penuhi masa-masa terluang kita dengan perkara yang bermanfaat untuk diri dan Ad-din.
Rasullullah S.A.W telah menekankan supaya merasai demikian melalui sabdanya: “Ambillah peluang lima perkara sebelum lima perkara : usia muda kamu sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, harta kekayaan kamu sebelum papa,masa hidup kamu sebelum mati, dan masa kosong kamu sebelum sibuk.”
Sesungguhnya ada seorang muslim pada zaman nubuwwah telah mengasingkan dirinya atas sebuah bukit ,maka dia berjumpa dengan Rasullulah S.A.W lalu baginda bersabda: “Kesabaran seseorang dari kamu satu saat disuatu tempat jihad lebih baik daripada beribadat enam puluh tahun.”
Maka jelas bagi kita bahawasanya islam telah mengajar kita untuk memanfaatkan masa-masa muda kita dengan perkara-perkara yang berfaedah. Bagi mahasiswa/wi yang merancang akan pulang Malaysia pula banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang boleh dilakukan untuk mengajak masyarakat memahami islam.
Bukan sekadar pulang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga semata-mata, tetapi sebagai seorang yang bergelar mahasiswa/wi perlu tahu membahagikan masa untuk masyarakat dan keluarga kerana kita juga seorang pemuda/di yang menjadi harapan bangsa untuk masa depan islam.
Marilah wahai saudara-saudari ku, kita gunakan masa dengan sebaiknya selepas imtihan ini dengan perkara-perkara yang bermanfaat, kerana kita tahu masa yang telah kita gunakan tidak mungkin berulang kembali.
Apabila masa-masa yang terluang ini kita sia-siakan dengan perkara yang tidak memberi manfaat baru disesalkan maka tiada gunanya lagi walaupun ditebus dengan pelbagai usaha.
Kita boleh katakan masa boleh jadi pencuri amalan bagi seseorang yang mensia-siakan masa. Dan masa juga boleh jadi sahabat yang mengingatkan seseorang untuk melakukan amalan. Dengan ini jelaslah Allah juga telah bersumpah dengan masa dan rugilah bagi mereka yang mensia-siakan masa tanpa melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Semoga Allah menilai setiap masa-masa yang telah kita gunakan.
Wa Allahu A’alam.
Siti Norhalimah Binti Saleh
Timbalan Setiausaha Agung(Unit Pendaftaran)
Badan kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir
Sesi 2010/2011
Comments
Post a Comment