FAMILY '13 Meriah!


KAHERAH, 31 Mac – ‘BKAWM Keluarga Kita’ merupakan tema yang telah meyatukan anak-anak Wilayah Persekutuan dalam Festival Mesra Wilayah 2013 (FAMILY ’13) anjuran Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM). Program yang bertujuan mengumpulkan anak-anak Wilayah Persekutuan ini telah dijalankan bermula 27 sehingga 30 Mac 2013 di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan serta beberapa tempat di sekitar Kaherah.

Antara objektif yang telah disusun ialah mengukuh dan mengeratkan ukhuwah sesama anak-anak Wilayah Persekutuan. Selain itu, FAMILY  ’13 juga telah dijalankan bagi meningkatkan pengetahuan ahli terutama mengenai kekeluargaan dan kesihatan. Bukan itu sahaja, antara objektif lain penganjuran FAMILY ’13 ialah membentuk sahsiah dan gaya hidup individu muslim yang sihat.
 Program yang telah dijalankan dengan jayanya selama empat hari berturut-turut ini telah mendapat sambutan dan pendaftaran melebihi jangkaan daripada anak-anak Wilayah Persekutuan.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan dengan jayanya sepanjang empat hari program berlangsung. Antaranya, ‘Family Go to School’ iaitu slot yang bertujuan menggalakkan ahli ke kuliah. Selain penyediaan sarapan, lencana ‘Saya Suka ke Kuliah’ juga turut disampaikan kepada setiap ahli yang ke kuliah pada hari tersebut.

Seterusnya, slot ‘Family Gathering’ iaitu usrah ringkas di rumah-rumah sewa sekitar Hayyu Sabie’ turut dianjurkan bertujuan meraikan ahli-ahli BKAWM di rumah sewa serta merapatkan silaturrahim yang telah terjalin.

Aktiviti santai iaitu 'Family Outing' telah dijalankan di Hadiqah Dauli di peringkat siswa serta di Hadiqah Hayawanat di peringkat siswi.

Permainan indoor siswa dan siswi telah dijalankan di Asrama Rumah Wilayah Persekutuan dengan penerapan pelbagai aktiviti permainan yang menarik serta pengisian minda. Manakala bagi permainan outdoor pula, permainan Paintball telah dianjurkan bagi sebelah siswa dan boling di sebelah siswi.

Majlis perasmian penutup telah dilangsungkan dengan jayanya pada 30 Mac 2013. Perasmi majlis, Encik Ahmad Yahya bin Muhd Haniff, Pegawai Asrama Rumah Wilayah Persekutuan telah menyampaikan ucapan perasmian seterusnya merasmikan majlis perasmian penutup Festival Mesra Wilayah 2013 (FAMILY ’13). Turut hadir, Badan Pengurus Angkat Wilayah Persekutuan, Saudara Haniful Fuad bin Husin.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Malam Kebudayaan Islam yang diserikan dengan persembahan-persembahan daripada Cawangan Taakhi, iaitu PMRAM Cawangan Terengganu dan PMRAM Cawangan Kedah. Selain itu, persembahan daripada anak-anak Wilayah Persekutuan turut diadakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan itu sahaja, FAMILY ’13 juga menjemput khas Kumpulan al-Wadi untuk membuat persembahan.

“Program FAMILY ’13 disusun dan dijalankan tidak lain dan tidak bukan bertujuan membentuk suasana dan rasa kekeluargaan dalam kalangan ahli-ahli BKAWM khususnya dan anak-anak Wilayah Persekutuan amnya,” ujar Ketua Pengarah Eksekutif FAMILY ‘13, Saudara Ahmad Bushra bin Mohamad Salleh.

FAMILY ’13 melabuhkan tirainya selepas empat hari menjalankan program-program yang telah dirangka bagi mencapai objektif yang telah digariskan. Semoga tema ‘BKAWM Keluarga Kita’ mendapat tempat di hati setiap anak-anak Wilayah Persekutuan, seterusnya meribat ukhuwah dan ikatan yang telah terbina serta berjaya menyatukan kita semua.

"BKAWM Keluarga Kita"
"KEUNGGULAN SAHSIAH WASILAH KEILMUAN"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]