[RISALAH AL-HIKMAH : SYARAT-SYARAT MENJADI IMAM]
Syarat-syarat Menjadi Imam
وَعَنْ أبن
مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى الله عَلَيْهِ
وَسَلّم: يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ ، فَإِنْ كَانُوا فِي
الْقِرَاءَةِ سَوَاءً ، فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ ، فَإِنْ كَانُوا فِي
السُّنَّةِ سَوَاءً ، فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً ، فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ
سَوَاءً ، فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا ، وَلَا يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي
سُلْطَانِهِ ، وَلَا يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلَّا بِإِذْنه
Dari
Ibnu Mas'ud ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Yang mengimami kaum adalah
orang yang paling pandai membaca al-Quran di antara mereka. Jika dalam bacaan
mereka sama, maka yang paling banyak mengetahui tentang Sunnah di antara
mereka. Jika dalam Sunnah mereka sama, maka yang paling dahulu berhijrah di
antara mereka. Jika dalam hijrah mereka sama, maka yang paling dahulu masuk
Islam di antara mereka, dan janganlah seseorang mengimami orang lain di tempat
kekuasaannya dan janganlah ia duduk di rumahnya di tempat kehormatannya kecuali
dengan izinnya." (HR Muslim, no. 1709)
Berdasarkan hadis di atas, orang yang
berhak menjadi imam mengikut turutan adalah:-
1 1) Orang yang paling baik bacaan al-qurannya,
beserta tajwid dan tartil.
2 2) Orang yang memahami fiqh solat. Sekiranya ada
dua orang, salah seorangnya baik dalam bacaannya tetapi kurang faham berkenaan
fiqh solat, sedangkan orang yang kedua lebih faham mengenai fiqh solat tetapi
kurang baik bacaannya, maka hendaklah mendahulukan orang yang faham fiqh solat.
3 3) Orang yang memahami hadis nabi SAW. Maka dia
lebih berhak menjadi imam berbanding orang yang hanya baik dalam bacaannya
sahaja.
4 4) Orang yang lebih awal hijrah (dari kafir ke
Islam) lebih diutamakan, apabila sama
dalam ilmu dan bacaannya.
5 5) Orang yang paling lebih awal masuk Islam.
6 6) Orang yang lebih tua umurnya (jika mempunyai
kemampuan yang sama dari nombor 1 hingga 5).
Selain itu juga, antara intipati yang
terdapat dalam hadis di atas ialah:-
▪️Tuan
rumah dan imam rawatib (imam tetap), lebih berhak menjadi imam solat daripada
yang lain, kecuali mendapat izin daripada mereka. Hal ini bersandarkan hadis nabi SAW: “Dan janganlah seseorang
menjadi imam bagi orang di tempat kekuasaan orang itu.”
▪️Jika dalam keadaan darurat, maka
kanak-kanak yang mahir dan fasih membaca al-quran dibenarkan menjadi imam.
Dalilnya dari Amr bin Salamah RA, dia
berkata, “Ketika pembukaan kota Mekah, setiap kaum berlumba-lumba menyatakan
keislamannya dan ayahku telah mendahului keislaman kaumku, tatkala dia datang
kepada mereka, dia berkata,
”Demi
Allah, aku datang kepada kamu semua dari sisi nabi. Baginda bersabda:
Solatlah begini pada waktu begini, dan solatlah begini pada waktu begini.
Apabila (waktu) solat tiba, hendaklah seorang diantara kamu mengumandangkan
azan dan hendaklah yang paling banyak hafalan qurannya yang menjadi imam kamu.
“Kemudian para sahabat mencari dan tidak ada hafalan qurannnya lebih banyak
dariku, kerana sebelum ini aku pernah belajar al-quran daripada sejumlah
musafir, kemudian mereka memilihku sebagai imam, padahal aku masih berusia enam
atau tujuh tahun.” (Sunan Nasaei)
Orang yang diharamkan menjadi imam
1 1) Wanita yang mengimami lelaki. Hal ini
berdasarkan sabda Nabi SAW. “Tidak akan bahagia sesuatu kaum, yang menyerahkan
urusan mereka kepada wanita.” (HR Muslim)
2 2) Orang yang berhadas atau terkena najis, padahal
dia mengetahuinya. Jika makmum tidak mengetahuinya, hingga selesai solat, maka
solat mereka sah.
3 3) Orang yang ummi, iaitu orang yang kurang
baik dalam bacaan al-fatihah, tajwid atau tilawah al-quran, seperti mengidghamkan
huruf yang bukan idgham.
4 4) Orang fasik dan ahli bida’ah.
Orang yang makruh menjadi imam
1 1) Orang yang lahhan (lafaz dan makhraj
huruf tidak jelas) dan banyak salah ketika membaca.
2 2) Orang yang tidak disukai oleh sebahagian
jemaah. Rasulallah SAW, bersabda: ”3 hal yang solat mereka tidak akan merangkak
naik walau hanya sejengkal dari kepala mereka, seseorang yang mengimami suatu
kaum, namun kaum tersebut membencinya.” (HR Ibnu Majah)
Disediakan oleh:
Muhammad Azan bin Abdul Malek,
Bendahari, Unit Pendidikan dan Pengetahuan BKAWM
sesi 2016/2017
"Menjulang Thaqafah, Melestarikan Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"
Comments
Post a Comment