[ RISALAH HISBAH: HISBAH ]




HISBAH
Hisbah merupakan salah satu tiang agama. Zaman dahulu para imam generasi pertama terjun secara langsung dalam medan ini untuk melaksanakan gerak kerja hisbah kerana manfaat dan pahala yang besar sangat didambakan. Namun, selepas zaman tersebut, sultan (khalifah) mengangkat orang yang tidak layak untuk menduduki jawatan ini serta menjadikan hisbah sebagai mata pencarian. Maka, hisbah akhirnya menjadi hilang fungsinya, malah segelintir manusia hanya memandang sebelah mata sahaja terhadap kepentingan hisbah kini.

Hisbah ialah menyuruh kepada kebaikan jika terbukti kebaikan ditinggalkan (tidak diamalkan), dan melarang kemungkaran jika terbukti kemungkaran itu dikerjakan/dilakukan.

Allah Taala berfirman:

وَلتَكُن مِّنكُم أُمَّةٌ يَدعُونَ إِلى الخَيرِ وَيَأمُرُونَ بِالمَعرُوفِ وَيَنهَونَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَئِكَ هُمُ المُفلِحُونَ
“Dan hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah ali-Imran: 104)

Gerak kerja hisbah berhak dilakukan oleh setiap individu Muslim. Namun, ada 9 perbezaan antara petugas hisbah secara sukarela dengan petugas hisbah (muhtasib) seperti berikut:

Petugas Hisbah Sukarela

1) Kewajipannya adalah fardhu kifayah.
2) Boleh disibukkan dengan urusan lain.
3) Tidak diangkat untuk diminta tolong terhadap perkara yang wajib dilarang.
4) Tidak wajib membantu orang yang minta tolong untuk menghadapi orang lain.
5) Tidak diharuskan mencari kemungkaran yang terlihat untuk dilarang, dan memeriksa kebaikan yang ditinggalkan (tidak diamalkan).
6) Tidak berhak melantik pembantu atau orang bawahan.
7) Tidak boleh menjatuhkan ta’zir kepada pelaku kemungkaran.
8) Tidak boleh meminta gaji.
9) Tidak berhak berijtihad dengan pendapatnya.

Petugas Hisbah (Muhtasib)

1) Kewajipannya adalah fardhu ain.
2) Tidak boleh disibukkan dengan urusan lain selain hisbah.
3) Diangkat untuk diminta tolong terhadap perkara yang wajib dilarang.
4) Wajib membantu orang yang minta tolong untuk menghadapi orang lain.
5) Harus mencari kemungkaran yang terlihat untuk dilarang, dan memeriksa kebaikan yang ditinggalkan (tidak diamalkan).
6) Berhak melantik pembantu atau orang bawahan.
7) Berhak menjatuhkan ta’zir terhadap pelaku kemungkaran yang dilihat tetapi tidak boleh melebihi hudud (hukum syar’i).
8) Berhak mendapat gaji daripada Baitulmal.
9) Berhak berijtihad dengan pendapatnya dalam masalah yang berkait dengan tradisi dan bukan berkait dengan syar’i.

Syarat yang harus dimiliki petugas hisbah (muhtasib) ialah:
i) Orang yang merdeka                                 iv) Tajam dalam berfikir
ii) Orang yang adil                                         v) Kuat agama
iii) Mampu memberi pendapat                      vi) Mengetahui berkaitan kemungkaran yang terlihat

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Disediakan oleh:
Unit HISBAH,
Jabatan Yang Dipertua BKAWM sesi 2018/2019




Comments

Popular posts from this blog

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ KALAM PIMPINAN: KEPENTINGAN BERJEMAAH ]