[ BERITA: IHYA’ TARBAWI RAMADAN 2019 (IHTIRAM ’19) ]



KAHERAH, 19 Julai 2019 – Bersyukur ke hadrat Ilahi, program Ihya’ Tarbawi Ramadan 2019 telah melabuhkan tirai pada 4 Jun 2019. IHTIRAM ’19 adalah sebuah program yang dianjurkan oleh Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan (BKAWM) bagi memeriahkan suasana anak-anak Wilayah Persekutuan yang berpuasa di bumi Mesir. Program ini telah berlangsung sepanjang bulan Ramadan, bermula daripada 6 Mei 2019 sehingga 4 Jun 2019.

Antara objektif IHTIRAM ’19 adalah menerapkan penghayatan ibadah sepanjang program, membina thaqafah islamiah dalam kalangan ahli, meribatkan ukhuwah islamiah antara ahli dan BKAN Taakhi dan melatih ahli BKAWM bersifat kemasyarakatan.

Program IHTIRAM ’19 telah dimulakan dengan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh encik Ahmad Fadli bin Adam, Pegawai Atase Wilayah Persekutuan sekaligus melancarkan tabung sumbangan IHTIRAM ’19 dan gimik perasmian. Majlis diteruskan lagi dengan taklimat pengisian sepanjang program.



Terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak IHTIRAM ’19 sebagai panduan dan pilihan untuk memenuhi bulan Ramadan dengan perkara yang bermanfaat disamping menggalakkan ahli untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam peperiksaan semester 2 yang sedang berlangsung seiring dengan program IHTIRAM ’19 serta mencapai objektif yang telah ditetapkan.





Dalam masa yang sama sebahagian ahli telah dilantik untuk menjadi imam dan bilal tarawih serta pengisian tazkirah. Di samping itu pihak jawatankuasa program telah membahagikan tugasan gerak kerja untuk meringankan beban masing-masing, ia bertujuan untuk melatih ahli-ahli BKAWM bagi membiasakan diri untuk berkhidmat kepada masyarakat kelak.

Terdapat pelbagai program sepanjang Ramadan antaranya ialah Masjid Hopping di Masjid Rahman Al Rahim dan Masjid Syurtah, di mana ahli beramai-ramai berbuka puasa dan solat tarawih serta memberi Maidah Ramadan, iaitu bantuan dalam bentuk makanan kepada penduduk tempatan. Terdapat juga pemberian Syanthah Ramadan iaitu bantuan berupa barangan keperluan asasi kepada penduduk sekitar asrama. Ini bertujuan untuk menyempurnakan objektif IHTIRAM ’19 iaitu melatih ahli bersifat kemasyarakatan.




Terdapat juga aktiviti aktiviti solat tarawih bersama BKAN Taakhi, iaitu BKAN Terengganu di Hayyu A’syir dan BKAN Kedah di Hayyu Sabik. Ia bertujuan untuk mengeratkan talian silaturrahim sesama pelajar Malaysia di Mesir. Hal ini secara tidak langsung menjayakan objektif IHTIRAM ’19 iaitu meribatkan ukhuwah islamiah antara ahli dan BKAN Taakhi.




Pengisian thaqafah juga tidak ketinggalan dimana pihak IHTIRAM ’19 telah mengadakan diskusi kitab 'Maqasidul Saum' yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Firdaus bin Burhan dalam bab puasa. Terdapat juga Ceramah Penghayatan Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zahari bin Ali dan Ceramah Nuzul Quran yang disampaikan oleh Ustazah Nur Syamsina binti Zahid. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan thaqafah dan penghayatan ibadah dalam diri anak-anak Wilayah Persekutuan.




Sepanjang program berlangsung, ia diserikan lagi dengan aktiviti qiamullail, tadarus Al-quran, sahur berjemaah dan semestinya iftar jama’ie yang sering dinanti-nantikan oleh seluruh ahli. Secara tidak langsung talian silaturrahim yang dibina antara ahli dapat diperkuat dan diperkukuhkan.
IHTIRAM ’19 melabuhkan tirai pada 4 Jun 2019 bersamaan 30 Ramadan 1440H majlis penutup diisi dengan Majlis Khatam Al-Quran dan Solat Sunat Tasbih seterusnya disambung dengan majlis perasmian Warna-Warni Aidilfitri 2019 (FITRI '19).

Pihak program ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli jawankuasa program yang telah banyak menyumbang tenaga dan masa demi menyerikan suasana Ramadan untuk anak-anak Wilayah Persekutuan di Mesir melalui program IHTIRAM ’19 ini. Bersama kita memohon agar Allah SWT menerima sumbangan kecil ini sebagai suatu yang barangkali dapat membantu kita masuk ke syurgaNya. Tidak lupa juga kepada penyumbang dana dan tenaga sama ada secara langsung mahupun tidak langsung yang telah berjasa dalam menjayakan program ini.

Harapan kami agar program IHTIRAM pada akan datang dapat mengambil anjakan paradigma dan melaksanakan program dengan lebih baik serta membahagikan masa antara tugasan, ibadah dan cabaran menempuh fasa peperiksaan dengan lebih tersusun.

Disediakan oleh:
MUHAMMAD RUSLI AKMAL BIN MOHD HAFIZ
Setiausaha, Ihya Tarbawi Ramadan 2019 (IHTIRAM ‘19),
Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir sesi 2018/2019.

“MADRASAH RAMADAN PEMANGKIN JIWA INSAN’’

“MENJUNJUNG KEILMUAN, MENJULANG KESATUAN’’
“BKAWM KELUARGA KITA’’
“BERSAMA BERSATU”

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ KALAM PIMPINAN: PEMUDA HARI INI, PEMIMPIN AKAN DATANG ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]