[ RISALAH HISBAH : MENYURUH KEPADA KEBAIKAN DAN MELARANG DARIPADA KEMUNGKARAN ]



MENYURUH KEPADA KEBAIKAN

Dewasa ini, hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah Taala tidak lagi diterap dan diamalkan oleh kebanyakan umat Islam, tetapi diganti dengan perlembagaan yang dicipta oleh pemikiran manusia, malah berlumba-lumba mempelajarinya di institusi-institusi dan fakulti undang-undang.

Selain hudud (hukuman syar’i) terdapat juga ta’zir. Menjatuhkan ta’zir (hukuman disiplin) terhadap dosa-dosa yang di dalamnya tidak terdapat hudud (hukuman syar’i). Ta’zir berbeza mengikut keadaan kesalahan dan pelaku itu sendiri. Menjatuhkan ta’zir juga terdapat dalam kesalahan hisbah sama ada terhadap kebaikan yang ditinggalkan atau kemungkaran yang dilakukan. Menyuruh kepada kebaikan terbahagi kepada 3 bahagian:

1. Menyuruh kepada kebaikan yang berkaitan dengan hak Allah
Menyuruh kepada kebaikan yang terkait dengan hak Allah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu perintah untuk berjemaah (tidak bersendirian) dan juga  perintah sunnah. 
Contoh perintah untuk berjemaah (tidak bersendirian) ialah solat Jumaat di tempat yang berpenghuni atau berpenduduk. Harus mencari kemaslahatan dengan manjatuhkan ta’zir terhadap mereka kerana kelalaian tidak mengerjakan amalan sunnah. 
Ancaman kerana tidak ikut solat berjemaah harus dengan memperhatikan keadaan seseorang.
Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:

لَقَد هَمَمتُ أَن آمُرَ أَصحابي أن يَجمَعُوا حَطَباً, وَآمُرَ بِالصَلاةِ فَيُؤَذَّنَ لَهَا, وَتُقامُ, ثُمَّ أُخالِفَ إلى مَنَازِلِ أقوامٍ لا يَحضُرونَ الصَّلاةَ فَأُحَرِّقَهَا عَلَيهِم
 “Sungguh aku bertekad menyuruh sahabat-sahabat aku mengumpulkan kayu dan memerintahkan mereka solat. Azan dikumandangkan untuk solat kemudian iqamah. Setelah itu aku pergi ke rumah orang-orang yang tidak ikut solat berjemaah kemudian aku bakar rumah-rumah mereka kerana mereka tidak ikut solat berjemaah.”
 (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Malik, ad-Darimi dan Ahmad).

2. Menyuruh kepada kebaikan yang berkaitan dengan hak sesama manusia.
Perintah petugas hisbah berkaitan kebaikan dalam hak-hak manusia terbahagi kepada dua, iaitu bersifat umum (seperti tanggungjawab baitulmal) dan khusus (seperti penundaan hak dan pembayaran hutang, nafkah anak-anak yang tidak dilunaskan, penerimaan wasiat dan hadiah).

3. Menyuruh kepada kebaikan yang berkaitan hak bersama antara hak Allah dan sesama manusia.
Dinyatakan beberapa keadaan mengikut suasana masa kini yang perlu segera untuk melakukan kebaikan dan tanggungjawab yang dipertanggungkan ke atas setiap yang terlibat.
Sebagai contoh, wali yang mempunyai gadis-gadis yatim, menjalani iddah bagi wanita yang diceraikan, ayah yang menolak mengakui anaknya dengan segala bukti yang jelas, orang yang mengambil barang tercicir, orang yang menjumpai barang yang hilang.

MELARANG DARIPADA KEMUNGKARAN

Perbahasan melarang daripada kemungkaran sangatlah panjang kerana kemungkaran itu tidak terhitung jumlahnya. Tetapi didatangkan beberapa contoh keadaan untuk dijadikan rujukan dan sempadan agar kita lebih berhati-hati dan termasuk dalam kalangan orang yang bertaqwa. Melarang manusia daripada kemungkaran terbahagi juga kepada 3 bahagian:

1. Melarang daripada kemungkaran yang berkaitan dengan hak Allah.
o Terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu kemungkaran yang berkaitan dengan ibadah, perkara haram dan muamalah.

i) Kemungkaran berkait dengan ibadah seperti:
- Melaksanakan ibadah dengan cara yang tidak syar’i (membaca secara kuat dalam solat yang disunnahkan untuk membaca secara perlahan dan sebaliknya).
- Melihat seseorang makan pada siang hari di bulan Ramadan.
- Orang yang tidak solat, tidak mandi hadas, tidak puasa, tidak membayar zakat.

ii) Kemungkaran berkait dengan perkara haram seperti:
- Orang Islam yang memperlihatkan perbuatan meminum minuman keras.
- Manusia berada di tempat yang meragukan seperti:
i) Seorang lelaki dan seorang wanita berhenti di jalan yang sunyi dan mencari tempat yang sunyi.

iii) Kemungkaran yang berkaitan dengan muamalah:
- Jika sesuatu yang dilarang oleh syariat sepakat pengharamannya oleh ulama seperti zina dan jual beli yang tidak sah.

2. Melarang daripada kemungkaran yang berkaitan dengan hak sesama manusia.
o Antara contoh keadaan kemungkaran yang berkaitan dengan hak sesama manusia ialah pelanggaran batas/kawasan penduduk A dan B, ranting-ranting pohon kayu menjalar di rumah jiran, akar-akar pohon memasuki kawasan jiran, menyalakan tungku dan asapnya mengganggu jiran.

3. Melarang daripada kemungkaran yang berkaitan hak bersama antara hak Allah dan sesama manusia.
o Antara contoh keadaan kemungkaran yang berkaitan hak bersama antara Allah dan sesama manusia ialah:
i) Imam masjid memanjangkan solat hingga orang lemah dan yang mempunyai urusan menghentikan solatnya. Peranan petugas hisbah: Melarang imam daripada memanjangkan solat.

*Sebagaimana Rasulullah pernah melarang Muaz bin Jabal r.a. memanjangkan solatnya ketika menjadi imam kepada kaumnya. Rasulullah bersabda:  

أَفَتَّانٌ أَنتَ يَا مُعاذُ؟
“Apakah engkau wahai Muaz hendak membuat orang benci solat (dengan memanjangkannya)?”
                           (HR Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Majah dan ad-Darimi)

ii) Hakim mewajibkan pihak yang bersengketa datang kepadanya. Namun, dia menolak untuk menyelesaikannya sehingga tiada kepastian hukum dan mendatangkan keburukan. 
Peranan petugas hisbah: Tiada larangan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

*Ketinggian posisi hakim tidak menghalang petugas hisbah daripada melarang kesalahan yang dilakukannya.


Disediakan oleh: 
Unit Promosi, Unit HISBAH, 
Jabatan Yang Dipertua BKAWM sesi 2018/2019

"Menjunjung Keilmuan, Menjulang Kesatuan"
"BKAWM Keluarga Kita"
"Bersama Bersatu"

Comments

Popular posts from this blog

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]

[ BERITA: MAJLIS TIMBAL TERIMA RASMI AJKT HEWI BKAWM SESI 2021/2022 ]

[ PEMAKLUMAN DISCUSSION GROUP (DG) MANHAJI ]